8

Profesor Madya Dr. Nik Rosmawati binti Nik Husain telah dilahirkan pada 27 April 1972. Berkongsi hidup dengan Encik Azmi bin Mat Nor, mereka telah dikurniakan tiga orang putera dan tiga orang puteri. Dr. Nik Rosmawati telah mendapat Ijazah Doktor Perubatan di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1997. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam Sarjana Perubatan Masyarakat dan seterusnya Doktor Falsafah dalam Mikrobiologi Makanan dan Pemakanan di universiti yang sama.

Dr. Nik Rosmawati telah memulakan kerjaya sebagai doktor pelatih dan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu pada tahun 1997 dan seterusnya pegawai perubatan dan kesihatan di Klinik Kesihatan Sungai Pinang Tumpat, Kelantan pada tahun 1998. Beliau menjadi penolong pengarah Unit Kawalan TB/Kusta pada tahun 2005 dan selepas itu menjadi pensyarah perubatan di USM pada tahun 2008.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai doktor perubatan, pelbagai anugerah dan pencapaian telah berjaya diperolehi. Antaranya adalah :

  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (2007)
  • Best Poster Presentation In Clinical Science (Tempat Ke-3) untuk pembentangan poster saintifik semasa 3rd National Conference on Medical Sciences pada tahun 2008
  • Best Oral Presentation untuk pembentangan Poster Saintifik semasa 16th National Conference on Medical And Health Science (2011)
  • Anugerah Khas PAPISMA atas kecemerlangan melibatkan diri dalam aktiviti PAPISMA Kelantan (2012)

Supervisor Kumpulan Terbaik untuk program Kajian Kes Komuniti dan Keluarga di peringkat Pusat Pegajian Sains Perubatan, USM (2012).

Walaupun disibukkan dengan tugas sebagai seorang doktor, beliau tetap meluangkan masa untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti pendidikan, kerohanian dan kemasyarakatan. Menyedari bahawa sistem tarbiah yang tersusun dapat mendidik jati diri muslim, doktor muslimah ini tidak mengabaikan aspek tarbiyah dalam kehidupannya. Beliau terlibat dengan aktiviti tarbiah pelajar universiti secara tidak formal sejak masih belajar hingga kini, dan menjadi naqib untuk pelajar siswazah, pasca siswazah dan kakitangan USM.

Dalam kesibukan sebagai isteri dan ibu kepada 6  orang anak yang masih kecil dan bersekolah, beliau amat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merancang, mencari dana dan mengetuai setiap aktiviti melibatkan peningkatan kualiti hidup masyarakat. Beliau aktif bergerak dalam Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dalam aktiviti khidmat kesihatan, ceramah pendidikan kesihatan dan bantuan kemanusiaan. Selain itu, Dr. Nik Rosmawati turut menjadi penasihat dalam Kem Tahfiz Dan Fardhu Ain Remaja (ketfar) yang diadakan selama sebulan pada tahun 2013 dan 2014. Kem ini khusus untuk remaja mengisi masa ruang di waktu cuti sekolah. Tidak cukup dengan itu, beliau juga terlibat aktif sebagai AJK Persatuan Strok Negeri Kelantan (PESONA) dalam penubuhan awal persatuan dan menjalankan aktiviti rehabilitasi serta kemandirian untuk pesakit dan keluarga strok, melatih trainer untuk sukarelawan dalam masyarakat, dan penulis serta editor buku ‘DIY Strok : Pengurusan Pesakit Strok Di Rumah’.

Seakan belum puas menabur bakti, Dr. Nik Rosmawati juga merupakan penasihat kepada Persatuan Mencegah Penyakit TB Negeri Kelantan. Beliau terlibat aktif dalam merangka, melaksanakan program dan memberi ceramah untuk masyarakat dalam mencegah dan mengesan awal penyakit TB. Walaupun sudah berjaya di dalam kerjaya sebagai seorang pensyarah dan doktor perubatan, namun beliau tetap meluangkan masa untuk menyertai pelbagai aktiviti khidmat kesihatan yang diadakan tanpa menghiraukan imbalan wang. Tidak kira masa dan di mana beliau diperlukan,  beliau hadir memberi khidmat dan menjiwai setiap program yang disertai demi membangun sebuah masyarakat yang sihat dan berilmu.

Sumber : Buku Cenderahati Hari Sayyidatina Khadijah 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *