Variasi Resepi Berasaskan Kulit Popia

Perkongsian kali ini, saya terpanggil untuk kongsi pelbagai versi resepi berasaskan kulit Popia. Ada yang tak pernah makan popia ke?

Kulit popia ini boleh didapati di mana-mana pasaraya berdekatan. Boleh pilih nak yang banyak lapisan atau pun sedikit. Tengok maklumat pada plastik Kulit Popia.

Semasa di rumah, kebetulan ibu saudara saya datang dan dia memang seorang yang suka memasak. Suka makan itu sudah semestinya. Saya teruja sebab biasanya banyak beli dekat kedai berbanding buat sendiri. Setelah tahu resepi-resepi ini, anda semua boleh lah cuba buat di rumah. Yakinlah kosnya jauh lebih murah dan lebih puas hati dinikmati bersama seisi keluarga.

Popia oats

Popia oats ni rasanya macam kita makan popia nestum. Kalau diikutkan nestum ini lagi mahal jika dibandingkan dengan harga oats.

Masa penyediaan: 30 Minit

Masa Memasak: 10 Minit

Jumlah hidangan: 10 orang

Bahan-bahan yang diperlukan

  1. 1 bungkus kulit popia
  2. ½ cawan Oats, kisar halus
  3. ½ cawan gula halus
  4. ¼ cawan air
  5. 2 sudu besar tepung

Langkah penyediaan

  1. Bancuhkan tepung bersama air dan ketepikan.
  2. Gulung kulit popia menggunakan sebatang lidi atau chopstick. Pastikan ada sedikit ruang di tengah-tengah untuk gulungan.
  3. Sapukan bancuhan tepung di bahagian hujung supaya gulungan kulit popia melekat. Ulang proses sehingga habis kulit popia. Tutup dengan kain supaya tidak kering.
  4. Gunting gulungan kulit popia secara menyerong dalam jarak 1.5cm.
  5. Goreng sehingga kekuningan.
  6. Taburkan dengan campuran oats dan gula tadi. Gaul sebati kemudian masukkan ke dalam bekas kedap udara.

Tips:

Kulit popia perlu sentiasa ditutup dengan kain semasa proses menggunting popia supaya berkeadaan sentiasa lembap dan tidak keras.

Popia Crispy Super Ring

Tak tau nak gambarkan macam mana. Best sangat flavour ni. Serbuk Super Ring boleh didapatkan di kedai, pasaraya, atau kedai buat kek. Jimat, berbaloi dan sangat memuaskan. Boleh juga guna serbuk cheese, Horlick dan juga Milo jika ingin pelbagaikan lagi perisa.

Bahan-bahan yang diperlukan

  1. 1 bungkus kulit popia
  2. 2 cawan Serbuk Super Ring
  3. ½ cawan gula halus (Ikut citarasa)

Langkah penyediaan

  1. Gunting kulit popia sama ada kepada 4 bahagian ataupun ikut saiz yang disukai.
  2. Panaskan minyak yang penuh, goreng popia tadi apabila sedikit kekuningan.
  3. Toskan.
  4. Kisar Serbuk Super Ring tadi dengan gula sehingga halus dan sebati.
  5. Campurkan dengan kulit popia rangup tadi sehingga sebati.
  6. Masukkan ke dalam bekas kedap utara.

Tips:

Angkat cepat jangan sampai jadi perang. Masa masih ada yang putih-putih, boleh terus angkat dan tos.

Kemudian, yang lagi best, Popia Carbonara versi sihat. Sihat sebab menggunakan bahan asli seperti isi ayam segar, dan lobak merah. Nak bagi lebih menarik, boleh juga masukkan isi daging, udang dan sotong. Ada juga yang masukkan cendawan bagi menggantikan ayam tadi. Atas selera dan kreativiti masing-masing.

Popia Carbonara

Popia Carbonara ini pula first time saya makan sewaktu berada di zaman Universiti. Harga yang dijual 2 keping Rm1.00. Lumayan kalau ditengok pada saiz popia itu sendiri agak kecil dan comel. Jadi, sebagai inisiatif, saya cuba buat sendiri di rumah.

Bahan-bahan

  1. 1 Tin sos carbonara
  2. 250 gram isi ayam yang dipotong dadu
  3. Lobak merah yang diparut
  4. Garam dan gula jika perlu
  5. 1 bungkus kulit popia
  6. 1 bawang besar dipotong dadu
  7. 1/4 cawan air

Langkah penyediaan

  1. Panaskan minyak
  2. Tumis bawang hingga naik bau
  3. Masukkan sos carbonara
  4. Masukkan sedikit air
  5. Masukkan lobak merah yang diparut
  6. Biarkan memekat sedikit, baru masukkan isi ayam
  7. Masukkan perasa jika perlu
  8. Tutup api dan sejukkan bahan inti
  9. Akhir sekali gulung dengan kulit popia seperti biasa
  10. Goreng sehingga perang
  11. Sedia untuk dihidangkan

Boleh dijadikan sebagai menu petang bersama-sama keluarga. Di samping itu, bagi yang ingin menambah pendapatan, boleh juga jadikan idea ini untuk dijual sama ada dalam bentuk frozen ataupun sudah siap.

Saya yakin anda semua sangat kreatif ditambah pula musim cuti sekolah ini, lagilah rasa nak makan sentiasa.

Apa-apapun, sentiasa jaga kesihatan diri dan ahli keluarga. Jangan lupa amalkan memakai pelitup muka dan mulut serta sentiasa hindari keadaan yang sesak.

Semoga bermanfaat.

Artikel ini disediakan oleh Nur Atiqah Asri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *