Dalam setiap tahun Allah menjadikan satu bulan yang paling mulia antara bulan-bulan lain iaitu bulan Ramadan dan dalam banyak-banyak malam dalam bulan Ramadan, Allah jadikan satu malam yang paling mulia iaitu malam lailatul qadr.
Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. [al-Qadr, 1-3]
Perkataan “Lailatulqadar” berasal dari dua perkataan Bahasa arab iaitu “Lailah“ yang bermaksud malam iaitu bermula apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar.
Manakala “al-Qadar” pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Dalam al-quran Allah berfirman yang bermaksud: “Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribubulan” Angka seribu merupakan satu angka yang agak besar tetapi sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam al-Qadar memang merupakan malam yang sangat istimewa dalam agama islam kerana diyakini sebagai malam di mana Al-Quran pertama kali diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang membimbing umat Islam ke arah yang lebih baik. Meskipun bukan malam perayaan dalam kata erti yang kita fahami tetapi umat islam merayakan dengan beribadah, berzikir dan amalan-amalan soleh yang lain kerana keistimewaannya yang luar biasa.
Antara hadith yang menunjukkan kesungguhan Baginda SAW dalam merayakan malam al-Qadar ialah:
- Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 3436]
- Diriwayatkan lagi daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2009]
Antara kisah para sahabat yang menginspirasikan berkaitan dengan Malam Lailatul Qadr ialah kisah yang pertama berkaitan dengan sahabat nabi iaitu Abu Hurairah. Abu Hurairah merupakan seorang sahabat yang sangat terkenal, sering beribadah dengan tekun pada Malam Lailatul Qadr. Beliau adalah sahabat yang rajin meriwayatkan hadis dari Nabi Muhammad SAW. Abu Hurairah juga dikenali kerana ketekunan dan kecintaannya pada ilmu agama. Ia menghabiskan sisa hidupnya di Syria sebagai seorang guru Feqh.
Kisah yang kedua daripada Mus’ab ibn Umair. Mus’ab ibn Umair adalah sahabat yang memainkan peranan penting dalam hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Mus’ab, yang awalnya hidup dalam kemewahan dan kesenangan dunia, meninggalkan semua itu setelah memeluk Islam. Ia menjadi teladan bagi umat Muslim dalam keteguhan iman dan ketundukan pada ajaran Islam
Seterusnya kisah daripada Uthman ibn Affan. Uthman ibn Affan merupakan Khalifah ketiga umat Islam, dikenali kerana kemurahan hatinya. Suatu hari, ketika masyarakat menghadapi kesulitan akibat kekurangan makanan, Uthman ibn Affan dengan murah hati memberikan bantuan berupa gandum kepada orang-orang yang memerlukan. Tindakan beliau mencerminkan kemurahan hati dan kepedulian terhadap sesama Muslim.
Kisah-kisah ini menggambarkan bagaimana para sahabat Rasulullah SAW menghargai dan memanfaatkan Malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Mereka memberikan contoh ketekunan, kemurahan hati, dan kesungguhan dalam beribadah, yang menjadi inspirasi bagi umat Islam untuk mengikuti jejak mereka dalam memanfaatkan malam yang penuh barakah ini.
Kita sepatutnya menghidupkan setiap malam pada bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam yang terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Antara rahsia Allah SWT menyembunyikan malam al-Qadar adalah supaya ia menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Selain itu juga, supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari malam tersebut, seperti disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan juga disembunyikan namanya yang agung daripada segala nama-nama yang Dia miliki.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Rujukan :