BELAIAN AGUNG
BUAT SANG HAWA GENERASI MILLENNIA
❄❄❄❄❄❄❄
Aisyah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW. bersabda:
سَيِّدَاتُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ أَرْبَعٌ: مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَآسِيَةُ
Penghulu Wanita Ahli Syurga empat orang; Maryam binti Imran, Fatimah bintI Rasulillah SAW, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah.
[HR Ahmad]
MAKSUD PENGHULU
Penghulu adalah simbolik kemuliaan. Tetapi ia tidak bererti darjat mereka lebih baik daripada mana-mana perempuan lain. Kerana terdapat hadis ada wanita yang lebih baik dari mereka sehingga menjadi khilaf ulama’, wanita mana lebih baik.
Empat tokoh ini membawa simbolik tersendiri. Mereka berbeza generasi, situasi dan psikologi. Mereka mungkin tidak sekuat, sepintar dan selincah lelaki. Tetapi kelebihan yang mereka ada tidak dapat digalas ganti oleh mana-mana lelaki.
MARYAM BINTI IMRAN
Telah kita cerita perihal beliau sebelum ini (Rujuk Belaian 3). Maryam adalah simbolik gadis single yang taat pada Allah. Hidupnya diabadikan bagi mengerjakan ibadat kepadaNya, hingga mendapat karamah bantuan yang mempermudahkan urusan ibadatnya.
Beliau juga lambang anak yang taat kepada penjaganya, Nabi Zakaria. Maryam patuh kepada kehendak ibubapa yang mahukan anak mereka menjadi penjaga agama. Baginda memberikan didikan agama yang baik sehingga gadis itu menjadi abid.
Zakaria pula memberi perlindungan kepada Maryam umpama seorang ayah. Bagi gadis yang tidak bersuami, mereka berada di bawah tanggungan bapa. Mereka bertanggungjawab memberi nafkah zahir iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian dsb serta batin iaitu ilmu, keselamatan, kasih-sayang dsb.
Maryam juga lambang wanita tabah dengan ujian tohmahan. Dituduh jalang tanpa berpeluang menjawab. Hanya tuhan tempat beliau mengadu.
FATIMAH BINTI RASULULLAH SAW
Beliau adalah anak Nabi SAW. Isteri kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Ibu kepada cucunda kesayangan Nabi, Hasan dan Husain RA.
Fatimah lambang family woman terbaik. Anak kepada manusia terbaik. Disayangi oleh manusia terbaik. Dibesarkan oleh manusia terbaik.
Tarbiah baginda kemudian diteruskan oleh suaminya yang juga sepupu baginda, Ali bin Abi Talib. Manusia yang punya kelebihan tersendiri. Dipelihara wajah dari melihat perkara keji. Salah seorang khalifah ar-rasyidah, dijanjikan syurga, ahli badar dan sebagainya.
Perkongsian hidup mereka dikurnia Hasan dan Husain. Kedua inilah yang membawa darah keturunan Nabi berkembang sehingga ke hari ini.
Perkara ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah orang bahawa wanita keturunan Nabi (Syarifah) akan hilang nasab Nabi bila berkahwin dengan bukan keturunan Nabi (Syed). Fatimah yang bawa darah Nabi kepada keturunan Nabi hari ini, bukan dari anak-anak lelaki Nabi SAW.
Bukan juga dari Saidina Ali kerana dia tidak memiliki darah Nabi. Dia hanya sepupu. Apabila dia berkahwin dengan keturunan Hanafiah, anaknya Muhammad tidak dikenali Muhammad bin Ali sebaliknya Muhammad bin Hanafiah, supaya orang tidak tertukar dengan cucunda yang mewarisi darah baginda Hasan dan Husain.
KHADIJAH BINTI KHUWAILID
Ramai Ulama bersetuju bahawa dialah wanita terbaik sepanjang zaman. Manusia pertama membenarkan risalah baginda SAW. Mengorban seluruh harta demi Islam. Tempat mengadu penat jerih rintangan dakwah baginda SAW.
Tidak hairanlah ibunda kita ini tidak pernah diduakan oleh Nabi. Peranannya sebagai isteri dipenuhi secara sempurna. Keperluan untuk baginda menambah isteri tidak ada.
Kewafatannya menjadi tahun kesedihan buat baginda. Tiada manusia dapat mengubati rasa kehilangan isteri itu, melainkan setelah bertemu sendiri tuhan setelah dimikraj ke Sidratul Muntaha.
Walaupun berpisah di alam sementara, cinta baginda padanya tiada tara. Aisyah sendiri cemburu pada Khadijah. Beliau akhirnya akur, tidak dapat menyaingi kekasih awal baginda itu.
Khadijah lambang kekasih sejati. Mengasihi Nabi kerana Allah, mengasihi Nabi melebih segala kepentingan dunia, memberi sepenuh hidup demi kebaikan suami tercinta.
Cinta yang ikhlas itu disambut Nabi sebaik-baiknya. Nabi juga kasih sedalamnya. Tiada isteri lain selepas Khadijah yang dapat menandingi Nabi padanya.
ASIAH
Beliau adalah isteri raja zalim dari Mesir, Firaun Ramses II. Hidup di istana mewah, diberi layanan istimewa oleh manusia yang sangat jahat.
Asiah mungkin bukan seorang Nabi yang menerima wahyu untuk berhujah membela Islam. Tetapi dengan emosi kewanitaan yang tinggi, beliau berjaya menjadi watak penting membela Islam di zamannya.
Sewaktu berada di gigi sungai Nil, beliau ternampak anak kecil hanyut di dalam sebuah kotak. Saat itu juga, perasaan sayang timbul terhadap anak itu. Mahu jadikan sebagai anak angkat. Mahu besarkan dengan tangannya sendiri.
Beliau pantas memujuk Firaun menerima budak itu bersama. Firaun berat hati kerana waktu itu, dia dah titahkan untuk bunuh semua budak lelaki Bani Israel. Beliau susah hati takhtanya akan dijatuhkan oleh anak lelaki keturunan tersebut menurut ta’bir mimpinya.
Tetapi dengan sifat kewanitaan sejati Asiah, berjaya menundukkan lelaki jahat lagi kejam itu untuk menerima bayi bernama Musa itu sebagai ahli istana. Sungguh tak disangka, itulah lelaki yang ditakuti Firaun selama ini.
Asiah lambang feminin sejati. Menggunakan kewanitaan sebagai kekuatan untuk membela Islam. Lemah lembut, kuat emosi, ayu jelita itulah kekuatan sang hawa yang tidak ada pada lelaki. Berbanggalah dengannya dan manfaatkanlah sebaiknya.
JADIKAN IKON
Dalam hadis lain, Anas RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
حسبك من نساء العالمين مريم ابنة عمران وخديجة بنت خويلد وفاطمة بنت محمد وآسية امرأة فرعون
Cukuplah 4 orang ini sebagai ikon wanita seluruh alam;
- Maryam binti Imran.
- Khadijah binti Khuwailid.
- Fatimah binti Muhammad.
- Asiah isteri Firaun.
Tak perlu agungkan Margaret Thatcher, Puteri Diana, Mother Teresa dan sewaktu dengannya. Kita orang Islam sudah sarat dengan tokoh yang jauh lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.