Pensyarah Kanan, Unit Keseimbangan Badan, Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zuraida Zainun berpegang kepada prinsip bahawa seorang profesional lebih-lebih lagi yang beragama Islam dan mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing tidak boleh hanya menumpu skop sempit kerjaya sahaja tetapi mesti memikirkan cara terbaik u
ntuk menyumbang kepada masyarakat.

“Segelintir memandang kerja untuk komuniti ini kerja membuang masa, saya amat berharap semua orang mengubah persepsi itu kerana lagi banyak khidmat dan sumbangan yang kita beri lagi banyak yang kita dapat.

“Contohnya kalau kita ajar orang, Allah akan bantu kita dalam banyak benda, seperti saya bermula dengan penghasilan satu video panduan latihan terapi untuk memudahkan pesakit, idea itu pun timbul tanpa saya sangka, tetapi lama-kelamaan sudah sembilan produk kita hasilkan sehingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zuraida yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Naim Lilbanat memberitahu, pada 2007, beliau diamanahkan untuk memulakan Klinik Vertigo di bawah Klinik Telinga, Hidung dan Tekak, HUSM.Saintis Wanita Dunia

Kepeningan atau vertigo merupakan satubidang yang tidak ramai mempunyai pengetahuan mendalam dan Zuraida merupakan antara sebahagian pegawai perubatan yang menjalani program khusus mengenainya.

“Secara literalnya, saya dibekalkan sebiji bantal dan katil untuk memulakan operasi, itu satu cabaran untuk saya memikirkan cara bagaimana membantu pesakit khususnya berkaitan vestibular atau masalah ketidakseimbangan badan yang mengakibatkan pesakit menderita pening dan berputar.

“Bermula dari situ saya bangunkan modul latihan keseimbangan badan yang diadaptasi dari modul saintis Barat, saya garap dalam bentuk buku panduan dan VCD untuk kemudahan sama ada pesakit ataupun perawat,” katanya.

Selain membantu pesakit pening, Zuraida turut menghasilkan buku panduan dan VCD untuk pengurusan pesakit strok yang sering terabai terutamanya golongan berpendapatan rendah yang agak sukar berulang alik ke hospital untuk rawatan fisioterapi.

“Modul itu memudahkan pesakit, perawat dan ahli keluarga membuat rehabilitasi secara teratur di rumah dan merangsang pesakit secara fizikal serta emosi untuk pulih,” katanya.

Selain menjalankan kerja-kerja komuniti dalam negara seperti pendedahan mengenai pengendalian pesakit terlantar termasuk kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal, Zuraida turut ke luar negara menyumbang kepada komuniti terpinggir di Pakistan, Thailand dan Filipina selain pernah mengikuti kursus lanjutan mengenai Pengurusan Vestibular di American Institute of Balance, di Florida pada tahun lalu.