WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.28 PM

Siapa yang tidak kenal dengan nama besar Neelofa, selebriti yang menempa nama bukan hanya di dalam Malaysia, bahkan di persada dunia. Anak Kelantan yang dilahirkan di Pasir Mas ini aktif dalam bidang lakonan, peragaan, pengacaraan dan juga usahawan. Beliau yang dilahirkan pada 10 Februari 1989 adalah anak ketiga dari sembilan orang adik-beradik. Gadis manis berketurunan Melayu, Pakistan dan Arab ini sememangnya seorang yang cemerlang semenjak dari zaman sekolah lagi. ‘Beauty with brain’ begitulah ungkapan yang sesuai diberikan untuk Neelofa. Beliau sentiasa mendapat keputusan terbaik di peringkat sekolah iaitu memperoleh 5A untuk UPSR, 8A untuk PMR dan juga 10A untuk SPM. Beliau kemudiannya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sunway dalam bidang Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran.

Beliau meraih pelbagai pencapaian sepanjang kariernya sebagai anak seni dan antara yang terbesar adalah Pengacara TV Wanita Popular di Augerah Bintang Popular Berita Harian ke-27, 28, dan 29, Top Top MeleTOP (Wanita) di Anugerah MeleTOP Era ke-4 dan ke-5 dan banyak lagi. Neelofa bukan hanya aktif di dalam bidang seni, tetapi juga beliau adalah seorang usahawan berjaya yang bijak mengatur pelbagai langkah untuk mengembangkan empayar perniagaannya.

Beliau mempunyai pelbagai produk keluaran sendiri seperti pakaian Muslimah Naelofar Hijab, kanta lekap Lofalens, Susu Pisang Nilofa, beg tangan Lofarbag dan pelbagai lagi. Beliau menjadi antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.  Malahan, beliau juga pernah menggondol Anugerah Usahawan di Influencer Awards 2019 yang berlangsung di Monte Carlo, Monaco. Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist influencer).                                                                                            
Pada tahun 2014, Neelofa telah mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan tudung. Pada tahun lepas, sekali lagi Neelofa membuat kejutan ramai apabila beliau mula memakai purdah atau niqab yang menutup sebahagian mukanya. Neelofa juga dilihat semakin aktif mendalami ilmu agama dan sering terlibat dalam aktiviti keagamaan. Malahan, beliau turut melancarkan The Noor yang merupakan aplikasi gaya hidup Muslim komprehensif merangkumi semua aspek kerohanian dan kehidupan harian. Fungsi asas aplikasi ini adalah waktu solat, arah kiblat, pemain media al-Quran serta terjemahan. Selain itu, Neelofa juga aktif dengan NGO Kasih Neelofa yang ditubuhkan untuk membantu individu yang memerlukan terutama warga emas, anak yatim, ibu tunggal, mualaf, orang miskin dan orang kelainan upaya melalui program amal, perkongsian pengetahuan, latihan dan aktiviti kemasyarakatan.                                                              
Seorang yang sentiasa menjadi ikutan anak muda dan mempunyai 8 juta follower di Instagram, Noor Neelofa Mohd Noor dilihat adalah seorang yang mempunyai pengaruh besar di kalangan masyarakat atau seorang influencer, yang mana tindak-tanduknya boleh menjadi trending dan ikutan masa kini. Menelusuri lembaran sirah Nabawiyah, Ummul Mukminin Sayyidatina Juwairiah Al-Harith R.A merupakan seorang tokoh influencer di kalangan kaumnya. Selepas Sayyidatina Juwairiah R.A memeluk Islam, sebahagian besar kaumnya juga turut ikut memeluk Islam. Besarnya pengaruh seorang influencer boleh membawa ramai manusia mengenal Allah. Kalau buruk contoh yang ditunjukkan oleh seorang influencer, maka besarlah juga impaknya kepada masyarakat yang mungkin terikut-ikut dengan influencer. Semoga pemenang anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiah Al-Harith ini mampu memberi contoh yang baik dan membawa orang lebih mendekati Allah sebagaimana Sayyidatina Juwairiah Al-Harith R.A.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *