1ain Lin

Allah SWT berfirman:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”                                               

 (Surah al-Qasas : 56)

Siti Nur Aini Lin Abdullah adalah seorang wanita yang berumur 42 tahun dan merupakan ibu tunggal kepada 3 orang cahaya mata iaitu Siti Nurhayati binti Zamri, merupakan seorang Eksekutif Maritim, Siti Nur Izzati Zamri, merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat dan Muhammad Zaim Hafizuddun bin Zamri, yang masih di bangku sekolah menengah. Beliau seorang tabah dan cekal dalam membesarkan anak-anaknya sehingga berjaya.

Walaupun tidak dapat melanjutkan pelajaran pada zaman muda, beliau tabah untuk melanjutkan pendidikan pada tahun 2018 sehingga sekarang di Open University Malaysia, peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengajian Islam. Hasil daripada kesungguhan dan kegigihan beliau dalam menimba ilmu telah memberikan dorongan dan semangat kepada anak-anaknya untuk berjaya sehingga ke menara gading.                                                                                            
Beliau mula tertarik untuk mengenali agama Islam apabila mula berkawan dengan orang melayu Islam semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pada tahun 1995, beliau berhijrah ke Kelantan dan memeluk agama Islam pada 15/8/1995 di Pejabat Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Pada tahun yang sama, beliau bertemu jodoh dan berkahwin. Hasil daripada perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata. Perjalanan beliau memeluk Islam pada mulanya sedikit perit dan terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan. Namun begitu, Allah itu Maha Esa dan beliau mampu melaluinya dengan baik sehingga ke hari ini.                                               

                       
Beliau yang berbangsa Cina dan bekerja di Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Kelantan. Beliau memegang jawatan sebagai setiausaha, guru jahitan dan guru bahasa Mandarin pada tahun 2016 sehingga sekarang. Beliau merupakan wakil dan sukarelawan MACMA Kelantan bagi program-program kebajikan yang dianjurkan oleh NGO di negeri Kelantan.                              
Selain itu, beliau juga telah mengendalikan kelas-kelas pengajian Islam kepada para mualaf dan merupakan tenaga pengajar bagi kelas bahasa Mandarin dan bengkel jahitan. Bengkel jahitan ini adalah bertujuan untuk memberikan kemahiran kepada para mualaf agar dapat meringankan beban dan membantu keluarganya. Beliau juga mengetuai program menjahit PPE (Personal Protect Equipment) untuk petugas barisan hadapan dengan kerjasama Mercy dan MACMA. Di samping itu, beliau menguruskan pembahagian zakat atau bantuan kepada para mualaf yang memerlukan di Kelantan. Hasil daripada sumbangan beliau, Siti Nur Aini Lin binti Abdullah telah dianugerahkan sebagai Tokoh Sayyidatina Mariah Al-Qibtiyah (Mualaf) sempena program Hari Sayyidatina Khadijah 2021.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *