Ibrah Hijrah Wanita Dan Kemerdekaan – Made With PosterMyWall (1)

Bagaimana kemerdekaan itu boleh dikaitkan dengan ibrah atau pengajaran kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW?

Dalil dalam al-Quran Surah Al-Anfal ayat 74 mafhumnya:

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah untuk membela agama islam, nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan hijrah kerana Allah dan Rasulnya, kemudian dia mati dalam perjalanan. Maka, sesungguhnya tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.’

Gambar Hiasan : Pinterest

Pertama adalah perkataan hijrah. Setiap apa yang berlaku dalam kamus kehidupan kita dalam al-Quran surah al-Anfal ayat 74 ada menyebutkan perkataan hijrah. Hijrah ini dikaitkan terus dengan berjihad, iman, keampunan dan rezeki yang sangat luas.

Flow di sini hendak berhijrah, mesti kena berjihad. Manakala, hendak berjihad perlu kerana Allah. Bila buat kerana Allah, maka dapat keampunan dan juga rezeki yang banyak.

Ingin dikaitkan di sini, ibrah bermaksud iktibar, simpulan, ilmu atau hikmah yang kita peroleh daripada sesuatu perkara.

Umat Islam setiap tahun perlu mengambil ibrah dari peristiwa hijrah. Daripada yang tidak ada iman kepada beriman. Daripada yang kurang baik kepada menjadi lebih baik. Tidak ada istilah hijrah bagi yang baik kepada yang tidak baik. Tetapi, kalau hendak menjaga agama, meskipun ditawarkan kuasa, Rasulullah dan sahabat rela keluar, berhijrah.

Kedua wanita. Kalau dahulu bila disebut wanita, mereka adalah wanita tulen dari segi biologi dan fizikal. Sebab berbeza hukum wanita yang tulen dengan seorang lelaki yang menyangka dirinya wanita.

Gambar Hiasan : Pinterest

Akhir sekali perkataan kemerdekaan. Kemerdekaan ini kita akan ingat berlakunya pada tanggal 31 Ogos 1957. Seterusnya, dalam islam semua yang berkait dengan hukum hakam, taklif dan sebagainya yang perlu dipatuhi. Kebebasan yang sebenar adalah kembali kepada Allah SWT yang dipanggil sebagai ikhlas dan takwa. Bukan berkait dengan perkara keduniaan atau kemanusiaan yang boleh menjadikan penghalang antara kita dan Pencipta kita.

Ibrah hijrah, wanita dan kemerdekaan sebenarnya ia sangat cantik dan luas.

Bagaimana idea kemerdekaan boleh diguna pakai buat masyarakat majmuk, pelbagai bangsa dan agama?

Allah SWT ciptakan kita berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Kedua, Allah SWT akan menjadikan kita ini berbangsa-bangsa, dan berpuak-puak. Islam ini bukan hanya tertakluk kepada orang arab, orang ajam atau orang melayu. Tetapi, Islam ini adalah untuk semua.

Bila mana mendiami sesuatu tempat, adanya undang-undang, atau kepimpinan. Maka kita cenderung untuk berkehendak kepada kebebasan. Kebebasan di sini bukanlah kebebasan atau kemerdekaan tanpa had. Sebagai contoh, adakah dalam rumah kita mempunyai kebebasan bersuara lalu sesuka hati menjerkah ibu bapa kita? Atau kita boleh berbuat apa sahaja?

Jadi, walaupun kita mempunyai kebebasan, tetapi di situ masih ada had. Bererti walaupun kita bebas, tidak bermakna kita boleh buat perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Atas dunia ini semua adalah milik Allah. Bila kita tahu dunia ini milik Allah, kita akan tahu takat mana had dan batas. Analoginya, bayangkan laut yang luas. Walaupun laut ini luas, namun ia ada kawasan-kawasan maritim mengikut wilayah-wilayah laut. Batu nautikanya boleh jadi sempadan Thailand, Singapura, Brunei dan sebagainya.

Kadang-kadang kalau tanpa adat, semua orang boleh pakai baju orang lain. Kalau tidak ada perjanjian pula, semua kereta orang adalah kereta kita. Tapi dengan adanya undang-undang, walaupun masing-masing ada Proton Saga, tapi plat kereta lain-lain, maknanya tuannya adalah lain-lain. Maknanya, di sana ada hak milik masing-masing.

Sama juga dalam dunia, tidak ada satu negara yang hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Kita pergi negara Arab. Memang semua berbahasa arab, tetapi ada yang gelap, cerah, bermuka bujur, rendah, tinggi kerana mereka ini terdiri daripada puak yang berbeza. Kita orang melayu dialek lebih kurang. Tetapi, mereka orang arab, lain-lain dialeknya.

Jadi, kemerdekaan yang kita hendak pada hari ini adalah kemerdekaan minda, jiwa, gerakan halatuju tanpa terikat dan dijajah dalam bentuk fizikal. Ramai orang yang bebas fizikal, tetapi mindanya tertutup. Apa yang kita mahukan adalah orang yang bebas minda dan fizikal.

Bagaimanakah boleh dikatakan wanita itu merdeka?

Pertama sekali, wanita pertama yang diberi kemerdekaan oleh Rasulullah SAW iaitu isterinya Sayyidatina Khadijah r.a. Bagaimana hendak menjadi merdeka dan memahami sifat kemerdekaan kalau wanita itu seorang yang beriman dan berilmu. Dahulu, kurungan mungkin berbentuk penjara. Hari ini, mungkin kurungan berbentuk line telefon, hilangnya privacy kerana lensa ada di mana-mana dan sebagainya.

Wanita merdeka yang bertama adalah seorang yang beriman. Kemudian, wanita yang ada ilmu. Wanita yang memahami dan ada ilmu untuk membuat sesuatu keputusan. Islam adalah agama yang memberikan 2 benda.

Bila Islam larang, di sana ada kebebasan. Antaranya, larangan berzina. Maka, disuruhnya bernikah. Dilarang makan babi, tetapi daging-daging lain boleh makan. Pilih syurga ataupun neraka. Pemilihan itu taqwa mesti berasakan iman dan ilmu.

Dalam islam juga di mana ada hak, di situ adanya tanggungjawab. Tanggungjawab ini ada yang kita boleh laksanakan secara peribadi dan ada juga secara kolektif. Ada benda yang sunat, wajib, makruh dan haram. Walaupun sebuah perkahwinan itu sunat, tetapi bagi orang yang tidak mampu sebagai contoh untuk memberikan nafkah batin kepada isteri, mungkin pada ketika itu perkahwinan tidak harus baginya. Kerana, ia akan menzalimi isterinya.

Kes Asiah isteri kepada Firaun. Isteri kepada raja dan orang yang berkuasa pada ketika itu. Walaupun Asiah dikurung dan dipaksa oleh Firaun untuk tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi dia seorang wanita yang bijak dan ada ilmu lalu membuat pilihan untuk agama Nabi Musa. Sedangkan kalau kita tengok dan fikir logik sepatutnya dia akan takut kerana Nabi Musa hanya anak angkat, manakala Firaun adalah suaminya.

Tetapi, Asiah ini seorang wanita yang bebas dan faham akidah. Maka dia bebas untuk membuat pilihan. Meskipun, dia telah dihukum mati oleh Firaun, namun dia sudah dapat ganjaran syurga oleh Allah SWT.

Hakikat wanita beriman bila menutup aurat kerana kita faham itu adalah perintah Allah SWT, maka kita pakai dalam keadaan boleh terima. Kita akan rasa ini sebahagian keimanan kepada Allah SWT. Alah bisa tegal biasa kerana setiap apa yang kita lakukan adalah kerana Allah SWT.

Jika dalam islam, Asma’ Abu Bakar adalah tokoh wanita yang memainkan peranan penting di dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW sehinggalah terbentuk negara Madinah yang berdaulat. Manakala nama-nama seperti Datin Paduka, Tan Sri, Tun dan sebagainya digelar sebagai tokoh kemerdekaan negara. Mereka ini berdepan dengan musuh yang jelas. Persoalannya, adakah perjuangan wanita zaman ini mempertahankan negara sudah tamat?

Selagi kita bernama manusia, di sana ada challenge, sejarah, mehnah dan tribulasi, kitaran hidup yang akan berulang dan berulang. Kisahnya sama tetapi pelakonnya berbeza.

Analoginya, dahulu mak dan ayah kita kahwin lalu dapat kita. Kita kemudiannya kahwin, lalu dapat anak dan proses ini terus menerus sehingga kiamat. Sama juga dalam menjaga negara. Dalam menjaga negara, dahulu sebelum merdeka, Asma’ Abu Bakar berperanan untuk menjaga dan memastikan perjalanan Rasulullah SAW selamat dan mendapat bekal yang cukup. Cabarannya berhadapan dengan Abu Lahab dan Abu Jahal serta orang Musyrikin di Mekah. Hal ini sesuai dengan keadaan semasa Asma’ Abu Bakar.

Selepas daripada peristiwa hijrah, Islam mula berkembang dan diambil alih oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin. Dalam keadaan 4 sahabat (Abu Bakr r.a, Umar r.a, Uthman r.a dan Ali r.a, tahukah kita bahawa terdapat 388 orang wanita yang dicatat namanya sebagai pejuang politik dalam mempertahankan Khulafa’ Ar-Rasyidin?

Di sana terdapat ramai tokoh wanita yang memainkan pelbagai posisi dalam mempertahankan kerajaan islam dalam tempoh 30 hingga 40 tahun. Di sambung lagi dengan kerajaan Umayyah, Abasiyyah, Uthmaniyyah. Banyak peranan yang dimainkan oleh para isteri pimpinan mereka dan sebagainya. Hayati sejarah Islam seluruh dunia. Kita sambung perjuangan orang terdahulu dan tidak akan putus.

Selagi ada musuh, selagi itu kita perlu mempertahankan. Membela mempertahan satu, merancang untuk mempertahan satu.  Kalau mati dalam mempertahankan hak ini, maka syahidlah kita. Rentetan atau kitaran untuk perjuangan itu tidak boleh putus dan tidak ada orang yang boleh menggantikan peranan kita walaupun kita rasa peranan kita tidak penting. Pertahankan negara ini daripada posisi kita. Posisi kita mungkin sebagai pengundi sahaja. Mungkin kita tidak dikenali oleh sesiapa pun. Hatta seorang penagih dadah pun yang masih mempunyai ruang untuk bertaubat.

Jadi, satu undi yang diberikan oleh penagih dadah, sama satu undi yang akan diberikan oleh seorang cendekiawan. Nilai undi satu satu sahaja. Tetapi proses untuk memahamkan seorang cendekiawan, memahamkan dan melatih kembalikan seorang penagih dadah yang tegar kepada seorang yang bertanggungjawab sangat memerlukan sangat banyak masa.

Sebagai wanita, tanggungjawab mempertahankan negara masih perlu. Kalau dahulu, tidak memakai internet, sekarang ini ada internet. Kemudian, adanya jabatan netizen yang boleh mempertahankan dengan hujjah-hujjah mereka jika dibandingkan dengan yang dahulu. Telefon dan capaian internet mungkin alat senjata yang kita perlukan.

Apapun mediumnya, objektifnya tetap sama. Selagi ada musuh, selagi itu perlunya mempertahankan negara.

Seiring dengan teknologi yang makin maju, bagaimana peranan jabatan netizen yang baik kerana masih ada segelintir masih tidak menunjukkan akhlak yang baik di dalam social media dan peranan kita berhadapan dengan alat media sosial sebagai salah satu alat serangan abad ini?

Kaedahnya kita mesti berhadapan dengan keadaan akhir zaman. Dalam hal ini Sayidina Omar r.a pesan kepada kita,

Gambar Hiasan: Pinterest

Didiklah anak-anak kamu lebih awal daripada zamannya.

Maknanya, kita sudah boleh jangka sekarang semua benda dijalankan secara maya. Dahulu, kerjaya wanita hanya sekadar jadi guru, doktor dan sebagainya. Tetapi, kerjaya wanita hari ini antaranya menjadi Software Programmer, IT Experts dan seiring dengan zaman teknologi.

Gambar Hiasan : Pinterest

Hal ini bermaksud, mahu atau tidak, kita terpaksa belajar teknologi dalam kehidupan. Di sini kerana walaupun berbeza medium, kita masih lagi wajib mempertahankan agama, negara serta mempertahankan maruah diri, nyawa dan sebagainya. Seiring dengan matlamat ini, wanita perlukan ilmu.

Gambar Hiasan: Pinterest

Maksudnya, jangan lari daripada masalah selagi mana masih berkemampuan. Setiap apa yang kita lakukan mengikut kemampuan kita adalah jihad. Perang baru saat ini adalah berbentuk siber. Tetapi, tentera siber ini perlulah berakhlak. Sebab walaupun perang, kita tidak boleh menebang pokok, tidak boleh menganaiyai wanita, orang tua dan kanak-kanak. Selain itu, tidak boleh menyakiti atau merosakkan rumah ibadat.

Dalam bersoal jawab dengan netizen meskipun orang tidak dapat nampak kita, di sana ada tanggungjawab. Di sana juga ada dakwah dan hikmah. Pastikan adab dan akhlak menjadi peribadi diri.

Nasihat buat para wanita masa kini dalam mengharungi cabaran hidup.

Hakikat sebuah kehidupan. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Di mana ada miskin, di situ ada kaya. Di mana ada susah, di situ ada kesenangan.

  1. Hayati setiap peristiwa yang kita alami.
  2. Adapt dan bersedia untuk mengatasinya.

Perkaitan dengan apa yang negara kita alami sehingga kini, kita tidak boleh lari daripada masalah. Kalau kita ambil keputusan untuk melarikan diri dari wabak ke UAE, US dan sebagainya. Ia tetap tidak boleh menyelesaikan masalah kerana seluruh dunia dilanda wabak.

Selain itu, proses untuk mencapai imunisasi di Malaysia, kita diberikan vaksin secara percuma. Bahkan, kerajaan siap merayu agar rakyat Malaysia menerima vaksin. Sedangkan, di negara lain, mereka terpaksa bergadai bagai untuk mendapatkan vaksin kerana perlu bayar dengan harga yang mahal. Bayangkan kita di Malaysia ini menghadapi situasi yang sama. Adakah kita tidak mahu bersyukur?

Moga artikel kali ini, kita semua sama-sama mendapat manfaatnya.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Artikel asal boleh terus tonton di link Wawancara Wanita Sejahtera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *