Khas

Faziani Rohban binti Ahmad atau lebih di kenali dengan panggilan mesra “Faz”, berusia 41 tahun. Mempunyai darah campuran Pakistan sebelah bapa beliau. Anak jati Kota Bharu ini berasal dari Jalan Kebun Sultan dan anak ketiga daripada tujuh orang adik beradik. Beliau berkahwin dengan Haji Ahmad Shah Rizal Ibrahim dan menguruskan syarikat kepunyaan beliau iaitu Rohban Trade Sdn Bhd.

Perwatakan beliau yang sederhana dan merendah diri menyebabkan beliau hanya mahu dikenali sebagai jurucakap produk Dnars dan menolak banyak pelawaan sesi temu bual media yang mendedahkannya sebagai pengasas produk itu.

Puan Faziani sangat meminati bidang kecantikan sejak zaman remaja lagi. Seorang gadis yang suka melaram, beliau menjaga kecantikan diri dan sentiasa bergaya dengan pakaian yang cantik serta berkasut tumit tinggi. Beliau mengamalkan petua kecantikan daripada nenek moyang sejak zaman sekolah menengah lagi.

Adat orang berniaga, pasti ada kesukaran yang dilalui. Begitu juga dengan Puan Faziani. Semasa menjalankan perniagaan salon, Puan Faziani turut berniaga beberapa jenama kosmetik bersama rakan kongsi. Beliau terpaksa menutup salonnya kerana ingin menumpukan pada penjualan kosmetik yang memerlukannya bergerak ke sana ke mari.

Pernah ditipu soal duit oleh rakan kongsinya, akhirnya Puan Faziani bertekad untuk mengeluarkan produk sendiri, maka terhasil jenama Dnars. Produk pertamanya merupakan sabun badan.

Menguruskan perniagaan seorang diri, ditambah pula urusan anak-anak, Puan Faziani memang melalui waktu yang sangat mencabar untuk membina jenama Dnars. Menurutnya, agak sukar untuk meyakinkan orang dengan produk yang belum dikenali.

Namun kegigihannya membuahkan hasil apabila produk Dnars semakin diterima dan semakin laris setelah diiklankan di dalam majalah. Kini, produk Dnars sudah mempunyai lebih 500 stokis dan pengedar di serata negara termasuklah Brunei dan Singapura. Produk yang dijual adalah produk penjagaan wajah bagi kulit sensitif, jerawat dan jeragat, sabun pencerahan kulit badan, kapsul dan minuman kesihatan berasaskan kolagen.

Pada 18 Mei 2019 bersamaan dengan 13 Ramadhan 1440 Hijriah yang lalu, Puan Faziani kembali ke rahmatullah selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Pattani, Thailand. Difahamkan, Puan Faziani bersama suaminya, Haji Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan menuju ke sebuah pondok tahfiz yang terletak di Yala, Thailand bagi menyampaikan sumbangan kepada para pelajar tahfiz di sana.

Allahyarham Puan Faziani sangat dikenali di kalangan pelajar-pelajar tahfiz sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara. Ini kerana , beliau selalu memberi infaq dan sumbangan kebajikan pada mereka.

Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menobatkan Allahyarham Puan Faziani sebagai penerima Anugerah Khas Wanita Cakna Kebajikan 2019 di atas infaq, sumbangan dan kebajikan yang telah dilakukan oleh Allahyarham Puan Faziani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *