8

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kekurangan pada deria penglihatan Amy Suzani binti Mohd Ainuddin, 52 tahun tidak pernah menghalang beliau untuk terus berkarya kreatif. Beliau dilahirkan pada 24 Ogos 1967 dan berkerjaya sebagai penulis bebas.

Beliau berkahwin dengan Mohd. Ghazali binti Abdullah berbangsa Cina dan menetap di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Bahtera perkahwinan pasangan bahagia ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Naeema Natasya Puteri berusia 12 tahun dan Aizuddin Aqasyah Putera berusia 11 tahun.

Pendidikan rendah beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim, Pengkalan Chepa. Seterusnya, beliau meneruskan pendidikan menengah di SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas dan menyambung pendidikan peringkat STPM di SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan membawa beliau melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Penulisan di Universiti Malaya tahun 1987 hingga 1989.

Dalam bidang kerjaya, selepas tamat pengajian peringkat Ijazah, beliau terus terlibat sebagai Penulis Bebas sepenuh masa sehingga sekarang. Selain itu, beliau juga terlibat dalam memberi latihan penulisan antaranya sebagai Jurulatih Sambilan (Penulisan) di Pejabat Kebudayaan Kelantan (1993-1994) dan Pensyarah Sambilan (Penulisan Novel) di Akademi Seni Warisan dan Kebudayaan Malaysia (2002– 2004). Beliau juga pernah terlibat sebagai wartawan sambilan untuk Majalah Anakku pada tahun 1998.

Bakat yang mendalam dalam bidang penulisan kreatif telah diterjemahkan melalui penulisan pelbagai genre samada bersifat kreatif mahupun ilmiah. Antaranya penulisan novel remaja, antologi cerpen, novel kanak-kanak, buku umum, buku akademik, skrip drama radio TV dan pentas serta penulisan puisi.

Kesungguhan beliau dalam menghasilkan naskah skrip drama radio telah mengangkat naskah tersebut untuk disiarkan di Stesen Radio Negeri-Negeri di Malaysia, Stesen Televisyen Brunei dan Stesen Radio Warna Singapura. Skrip drama radio ini merangkumi drama kanak-kanak, panggung drama, purbawara, Titian Remaja, Pentas Radio, Puisi Rama, drama tokoh Islam dan sebagainya.

Kebolehan penulisan puisi beliau terserlah melalui pelbagai antologi puisi antaranya Bulan Barakah, Sempadan Abadi, Jamung Merdeka, Bahtera Peradaban dan sebagainya. Puisi beliau bertajuk Kitalah Warga Merdeka Yang Mengerti telah dimuatkan dalam antologi Jamung Merdeka yang menjadi teks bagi Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan.

Bakat dan kebolehan beliau dalam penulisan telah menerima pelbagai hadiah dan penghargaan melalui peringkat  negeri mahupun kebangsaan. Skrip drama beliau pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Hadiah Drama Maal Hijrah 1998 dengan drama radio berjudul “Jambatan Kasih”. Beliau juga telah merangkul Hadiah Utama iaitu Hadiah Puisi Kemerdekaan DBP Wilayah Timur dengan puisi “Kasidah Merdeka” dan “Sebuah Instrumentalia Cinta Dalam Nada Merdeka”. Antara Anugerah yang telah diterima adalah Anugerah Penulis Harapan Negeri Kelantan 2003, Tokoh OKU Negeri Kelantan 2012, Tokoh OKU Akademik Negeri Kelantan 2014 dan Tokoh Budayawan OKU Negeri Kelantan 2017.

Kekurangan fizikal tidak membantutkan penglibatan beliau dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.

Beliau aktif memberi bimbingan dan ceramah untuk murid-murid sekolah sekitar Kota Bharu menerusi penulisan cerpen dan puisi serta deklamasi puisi. Selain menulis skrip, beliau turut menggilap bakat-bakat muda yang berminat dalam seni pentas. Beliau turut memberi sokongan kepada golongan OKU penglihatan termasuk wanita khasnya dalam bidang pengucapan awam berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *