Frahana

Nama Farahana Mohamed menjadi bualan apabila beliau dianugerahkan Hadiah Pelajaran Diraja oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada akhir tahun 2019. Anak Kelantan yang dilahirkan di Kampung Sarah Sering ini merupakan graduan UKM bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan. Bukan calang-calang orang yang layak untuk menerima Hadiah Pelajaran Diraja yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Canselor UKM ini. Selain mencapai tahap paling cemerlang dalam pencapaian akademik, penerima anugerah ini juga harus aktif dalam aktiviti ko-kurikulum. Calon juga perlu lulus sesi temuduga di hadapan satu barisan panel yang dilantik khusus untuk membuat pengesahan tahap kecemerlangan calon dari aspek personaliti, komunikasi dan pengetahuan. Tidak hanya mementingkan bidang akademik, Farahana juga aktif dengan aktiviti ko-kurikulum dan menyandang jawatan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.

Siapa sangka, di sebalik kejayaan beliau dalam bidang akademik, anak muda ini telah menempuh 1001 halangan untuk sampai ke puncak. Beliau pernah menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke UNIMAS kerana ayahnya yang merupakan seorang buruh kasar telah diserang sakit angin ahmar dan menyebabkannya terlantar sakit serta tidak lagi mampu bekerja.  Seorang  anak  yang  bertanggungjawab, beliau  tidak

sanggup meninggalkan keluarganya untuk ke Sarawak sewaktu ayahnya sakit terlantar. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di dalam Diploma Mikrobiologi di UiTM Kuala Pilah dan kemudiannya ke UKM.  Bagi menampung keperluan pengajiannya, Farahana akan mencari kerja sendiri setiap kali cuti semester.    

                                     
Tidak cukup dengan penderitaan ayah, ibu beliau pula jatuh sakit. Segala tanggungjawab menguruskan keluarga telah dipikul oleh dua orang kakak yang bekerja sebagai guru dan adik yang bekerja sebagai jururawat. Merekalah tempat bergantung harap selain dari abang-abangnya. Beliau turut mempunyai seorang adik yang mengalami masalah pembelajaran sejak sekolah lagi. Walaupun sedih dengan pemergian ibunya pada tahun lalu, Farahana cekal dan tabah menghadapi ujian hidup. Kejayaan beliau wajar dicontohi oleh semua dan beliau mampu membuktikan yang aktif di dalam aktiviti kepimpinan dan ko-kurikulum juga boleh cemerlang dalam akademik di samping tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.                                       
 

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *