Dunia sekarang ini, ramai wanita berkerjaya adalah dalam kalangan ibu. kebiasaannya, anak-anak yang masih kecil dihantar ke Taska ataupun mana-mana pusat jagaan kanak-kanak. Ada juga yang mengambil upah pengasuh serta ada yang mengambil orang gaji di rumah bagi yang berkemampuan.
Selalunya ibu-ibu ramai yang memberi minum susu formula kepada anak-anak memandangkan faktor jarak antara rumah dan tempat anak-anak ditempatkan agak jauh. Kadang-kadang hujung minggu stok susu tepung formula dibeli dalam bilangan yang banyak untuk memastikan stok susu tidak putus. Tambahan pula, keluaran susu formula masa kini begitu pesat dihasilkan dengan pelbagai perisa dan jenis demi memenuhi pasaran semasa.
Menyempurnakan susuan adalah anjuran Islam
Islam menganjurkan seorang ibu berusaha menyempurnakan susuannya sehingga dua tahun penuh. Hal ini demikian kerana, tidak ada yang lebih baik dan setanding dari titisan susu insan yang bergelar seorang ibu. Khasiat susu ibu itu sendiri yang memang sudah dinyatakan sendiri oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran Surah Al-Baqarah 2:233) yang bermaksud:
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”
Bahkan pentingnya soal susuan untuk anak, al-Quran menganjurkan mesyuarat bersama pasangan suami isteri jika mahu menceraikan susu anak sebelum usianya mencecah dua tahun.
“Apabila kedua-duanya ingin menceraikan susu (sebelum dua tahun) dengan kerelaan dan permesyuaratan, maka tidak ada dosa atas mereka berdua.” (Al-Baqaarah 2:33)
Susu ibu adalah yang terbaik untuk si bayi
Susu ibu diiktiraf sebagai salah satu anugerah Allah yang tidak ternilai. Tidak dinafikan banyak kajian telah dibuat dan sudah semestinya telah diperakui oleh para doktor dan ilmuwan dalam bidang sakit puan. Hanya susu ibu yang paling serasi dengan seorang anak kerana mampu memenuhi keperluan emosi, jasmani, dan otaknya. Bahkan, risiko penyakit juga dapat dielakkan.
Indahnya perasaan ibu ketika menyusukan anak
Sambil menyusu, itulah momen ibu dan anak yang paling rapat. Zikrullah dan tasbih menjadi basahan lidah si ibu. Bercakap-cakap dengannya, mengajarnya tentang pencipta mata, hidung dan telinganya. Hati ibu yang ikhlas menyusu akan ceria tatkala dapat mendakap, mencium dan membelai ketika dia asyik menyusu. Bagi si bayi pula, susu ibu bagaikan ubat penenang baginya. Selasak mana dia meniarap, merangkak atau bertatih, dia akana ditawan oleh susu ibu. Susu ibu akan menyebabkan dia tenang.
Tidak mengapa jika si ibu tidak mampu menyusu
Tidak dikira berdosa jika si ibu tidak mampu menyusukan si anak selama dua tahun. Sebab rata-ratanya adalah disebabkan faktor kesihatan si ibu itu sendiri. Allah itu Maha Penyayang. Dia Maha tahu akan masalah yang ditanggung oleh setiap hambaNya.
Allah telah memberikan solusi, “
Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah 2:22)
Dalam Firman lain,
“Jika kamu menemui kesulitan, maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.” (Al-Talaq 65:6)
Petua ibu mampu menyusukan bayi
- Sejak awal, setiap ibu bapa mesti berniat untuk memastikan anak-anak mendapat khasiat susu terbaik di dunia.
- Suami isteri perlu berbincang bagaimana suami dapat membantu isteri untuk terus menyusukan anak. Bincangkan juga bagaimana isteri mesti terus tabah dan yakin dia mampu menyusukan anaknya walaupun 1001 cabaran melanda.
- Jagalah tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah setiap hari. Berdoa secara khusus agar dipermudahkan proses menyusu.
- Jika susu kurang, jangan menyerah kalah. Gunakan kaedah penyelesaian secara holistik.
- Bersolat hajat dan sentiasa berdoa.
- Banyakkan minum air kosong, susu, jus dan sebagainya yang bermanfaat. Jaga pemakanan yang seimbang. Jangan lupa makanan seperti kurma, madu, dan seumpamanya juga baik untuk menggalakkan penghasilan susu yang berkualiti.
- Membaca tentang kepentingan susu ibu. Ilmu akan meningkatkan motivasi kita untuk beramal.
Artikel asal telah disunting oleh penulis wk.com
Artikel asal :
Majalah Solusi Cetakan 67 oleh Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin