Ustazah Asma’ Harun

Ya Allah! Bertempik seorang bapa tatkala melihat anak kecilnya mematahkan bingkai kaca mata. Baru dibeli semalam. Mahal pula tu

Terkejut begini suatu reaksi spontan bagi mana-mana ibu bapa apabila berhadapan dengan kerenah si kecil. Pelbagai keletah tidak terjangka. Menyorok telefon bimbit di dalam peti ais. Menabur duit dan dokumen dari dalam dompet. Menyelerakkan buku dari dalam almari. Meleraikan kuntuman bunga hiasan. Mencabut huruf-huruf di keyboard satu persatu. Mengoyak. Menterbalik. Mencurah. Menumpahkan. Menyepah.

1001 Kerenah.

Dengan 1001 cabaran ini, bagaimana kita memujuk emosi kita sendiri? Bagaimana kita mahu menjadi ibu bapa yang tenang?

Dengan kawalan diri yang sentiasa dilatih, barulah kita mampu meneruskan projek mega kita kali ini.

Betulkan Sudut Pandang

Kenapa dengan anak aku ni? Sesekali keluh hati ibu bapa.

Sesekali atau acap kali?

Mungkin kita terlupa…

Dia “anak kecil”! Memanglah anak kecil begini. Kalau tidak, apa bezanya dunia “anak kecil” dengan dunia “anak besar”?

Anak kecil kita baru setahun jagung mengenal dunia. Bermula daripada tidak tahu apa-apa kepada belajar sedikit demi sedikit.

Adilkah kita menharapkan anak kecil kita yang berusia 3 tahun berdisiplin seperti anak berusia 13 tahun? Jangan sampai sikap kita menzalimi dunia kecilnya. Muhasabahlah mana-mana sikap kita yang tidak meletakkan sesuatu kena pada tempat.

Mencubit, melempang…

Silakan.

Kemudian, selamat “bersabar” tatkala menyaksikan budaya itu menjadi sebahagian budaya keluarga kita. Apabila si kecil meningkat usia, ditirunya perbuatan itu kepada kita pula.

Hentikan!

Adakah itu sikap yang adil dalam mendidik si kecil? Kasihani dia.

Kita akan lebih bersabar apabila lebih “memahami”. Lebih terpujuk. Kurang stress. Tugas mendidik anak bukan sahaja menjadi lebih seronok, bahkan menceriakan hidup.

Marahlah, bukan marah-marah

Ya, anak perlu belajar daripada kesalahannya. Jika ibu bapa tidak marah, bagaimana anak akan mengambil serius terhadap perbuatannya yang salah? Lumrah marah, nada suara akan meninggi sedikit. Itu normal.

Biarpun nada suara sedikit meninggi, pastikan bahasa yang kita gunakan tidak kasar dan tidak menyiat-nyiat jati dirinya.

Jangan meletakkan label bodoh, nakal atau jahat. Kata-kata itu akan diprogramkan ke dalam otak menjadi satu kepercayaan diri yang negatif.

“No!” Cukup dengan satu perkataan tegas, anak akan mengerti dia buat silap. Biasanya, mukanya akan berubah monyok. Bibirnya mencebik kesedihan.

“Waaaaaaaaaaaa!” Ada yang terus berteriak menangis. Ada yang menangis perlahan tersedu-sedan.

Apakah reaksi kita ketika ini?

Meninggalkan begitu sahaja? Biar dia mengerti dengan sendirinya? Biar padan muka? Biar puas hati kita? Biar dia mampu membuat kesimpulan sendiri? Biar? Biar? Biar?

Selepas Marah

Kembali kepada realiti. Dia cuma anak kecil yang belum mengerti apa-apa. Jangan biarkan dia tertidur dalam kesedihan. Jangan biarkan hatinya rasa dilukai tanpa pujukan.

Kita tentu gembira jika anak kita pandai meminta maaf, bukan? Siapa yang akan mengajarnya sikap mulia itu kalau bukan kita?

Panggilan lembut akan melembutkan hatinya,

Adik, mari minta maaf dengan ayah.

Hulurkan tangan kita untuk bersalam. Jangan tunggu anak kecil kita mengerti sendiri untuk menghulurkan tanggannya terlebih dahulu.

Bahkan kita boleh mencium tangannya terlebih dahulu agar dia dapat meniru perbuatan itu.

Si kecil itu gembira diberi peluang. Kita juga akan terpujuk daripada geram.

Ajarlah dia dengan kata-kata minta maaf,

“Ikut ayah sebut, “Ayah, adik minta maaf. Adik tak sengaja.”

Mendengar suara comelnya melafazkan kemaafan, sangat mengubat jiwa. Bukan senang dia hendak memaksa dirinya yang lunak menerima didikan.

Selepas itu, senyumlah semula. Cium dia. Puji dia. Kerana pandai meminta maaf.

Semoga bermanfaat.

Artikel asal berdasarkan petikan dalam buku Projek Mega Dalam Rumah oleh Ustazah Fatimah Syarha dan Dr. Farhan Hadi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *