Aliyah

Penerima anugerah Ikon Usahawan pada tahun ini adalah seorang ibu muda dari Jeli. Beliau dilahirkan pada 16 Disember 1992. Baru menghampiri usia 29 tahun, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini mempunyai semangat usahawan yang tinggi. Mendapat sokongan dari suami, Mohamad Sukri dan keluarga sendiri, beliau terus melangkah laju ke hadapan.

Bermula pada tahun 2019 secara kecil-kecilan, Nur Aliyah Syofia Mohd Mazalan kini mampu tersenyum bangga apabila usahanya menjual takoyaki mendapat sambutan hangat dari seluruh negara. Walaupun perniagaannya boleh dikatakan baru, beliau kini mempunyai 14 orang pekerja, 20 orang stokis, ribuan ejen dan lebih 2,000 dropship dari seluruh negara. Melalui penjualan takoyaki ini juga, beliau telah membantu para stokis, ejen dan dropship di bawahnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan termasuk suri rumah dan pelajar untuk menjana pendapatan sendiri. Malahan, ada di kalangan mereka yang mendapat hasil jualan melebihi empat angka sebulan hasil dari penjualan takoyaki.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pada waktu negara diuji dengan wabak pandemik COVID-19, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar dan ramai yang hilang pekerjaan. Tetapi dalam masa yang sama, perniagaan takoyaki Aliyah terus mendapat tempat di hati pelanggan beliau. Dalam masa tidak sampai setahun, beliau mampu membuka kilang takoyaki buatan muslim di Jeli. Melihat kepada gaya pembungkusan Takoyaki Express yang menarik dan kreatif, ramai yang beranggapan ianya dihasilkan di Kuala Lumpur, tetapi hakikatnya adalah ia merupakan hasil keluaran anak jati Kelantan yang dipasarkan ke seluruh Malaysia dan dihasilkan dari kilang yang beroperasi di Jeli.                                                            
Tidak melupakan nikmat yang Allah kurniakan, Aliyah aktif membantu golongan yang memerlukan. Zakat perniagaan juga menjadi kewajipan yang harus dikeluarkan. Semoga dengan pengiktirafan ini, mampu menjadikan Aliyah terus maju ke hadapan dan menjadi hartawan Muslimah yang berjiwa Khadijah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *