Azzah

Azzah Amran, berusia 37 tahun merupakan anak jati Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan. Dilahirkan pada 1984 merupakan ikon inovatif yang mempunyai pengalaman yang luas dan memperoleh kejayaan yang banyak dalam bidang inovatif. Beliau dianugerahkan empat orang cahaya mata yang berusia lapan tahun, enam tahun, empat tahun dan sebulan hasil daripada perkahwinannya bersama suami tercinta, Mohamed Zarimi Mohamed Zahidi.

Beliau mendapat pendidikan menengah di SMU (A) Maahad Muhammadi Perempuan dalam aliran perakaunan pada tahun 2001. Setelah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, beliau melanjutkan pengajian awal di universiti pada peringkat Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi MARA pada tahun 2003. Kemudian, pada tahun 2006, beliau melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan pentadbiran perniagaan dalam bidang kewangan. Untuk lebih mendalami bidang tersebut, beliau telah menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama iaitu pentadbiran perniagaan pada tahun 2008.

Beliau memulakan kerjaya sebagai penyelidik dari tahun 2009 hingga 2010 di UiTM Graduate Business School. Beliau kemudiannya menjadi pensyarah kanan di UiTM Kampus Kota Bharu bermula pada tahun 2010 sehingga kini. Kerjaya beliau sebagai pensyarah dalam bidang keusahawanan, kewangan dan perniagaan sejak tahun 2010 telah membuka peluang kepada beliau dan pelajar untuk meneroka idea-idea baharu untuk dipertandingkan dan dikomersilkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah beliau telah melatih ramai pelajar yang memenangi anugerah dan dipilih untuk dipersembahkan kepada syarikat gergasi di tanah air seperti Samsung, IM4U dan Youth Malaysia. Terdapat juga kepakaran beliau digunapakai oleh pihak industri dan perusahaan untuk kemajuan perniagaan.         

                       
Beliau sentiasa berminat mencabar kebolehan dirinya untuk menempatkan dirinya sebagai innovator di persada antarabangsa. Minat tersebut telah membawa beliau ke beberapa ekspo dan pertandingan inovasi di luar negara dan pernah dinobatkan sebagai Best Woman Inventor dan Gold Medal-Quat Products oleh Tummiad – High Counsil Of Judges (Turkey) – Euroinvent di Romania pada tahun 2016 dan mendapat Gold Medal in I-Biz Play (Innovation In Islamic Finance Board Games) in World Invention Creativity Olympics – WICO 2017 di Korea. Selain daripada ini, terdapat banyak lagi pingat dan anugerah inovasi yang telah dimenangi oleh beliau.                                               
Beliau menjadi rujukan di universiti, komuniti malah kepakaran beliau semakin diiktiraf apabila dilantik sebagai juri pertandingan inovasi antarabangsa Asia Lohas – Korean University Invention Association Invention di Korea. Lantikan dan jemputan ini adalah daripada Korean University Invention Association (KUIA) dan sangat menjadi kebanggaan pihak universiti (UiTM Kelantan). Melalui pengalaman ini, beliau juga pernah dilantik sebagai Malaysian Delegate oleh pihak Korea (KUIA) pada tahun 2018 untuk mengendalikan kontijen Malaysia ke pertandingan inovasi di Korea. Semoga anugerah Ikon Inovatif ini akan menjadi pemangkin untuk beliau meneruskan sumbangan yang berimpak tinggi untuk negeri dan negara.           

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *