THE GEAR YOU NEED

Salah satu bukit lagenda yang terkenal di Kelantan ialah Bukit Marak yang terletak di daerah Bekelam, Bachok. Bukit ini juga dikatakan pernah menjadi tempat persemayaman Puteri Sa’adong yang dikatakan telah membawa diri daripada Istana Mahligai kerana kecewa dengan nasib yang menimpanya. Telah berlaku satu pertengkaran antara Puteri Sa’adong dengan Raja Abdullah kerana Raja Abdullah memungkir janji untuk terus setia kepada Puteri Sa’adong selama baginda puteri ditawan Raja Siam.

laluan

Sedangkan, Puteri Sa’adong berpegang kepada janjinya untuk tidak membiarkan Raja Siam menyentuhnya. Pertengkaran antara mereka telah menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah. Sama ada kemangkatan Raja Abdullah ada kaitan dengan Puteri Sa’adong ataupun tidak, tak dapat dipastikan kebenarannya. Hal ini kerana, terdapat cerita yang mengatakan kemangkatan Raja Abdullah adalah satu konspirasi untuk merampas takhtanya. Ditambah lagi, dengan keperibadian Puteri Sa’adong yang tidak mungkin akan membunuh suaminya sendiri.

makam raja abdullah

Setelah kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Sa’adong telah membawa diri ke Bukit Marak bersama dayang-dayangnya dan seorang pengawal istana yang bernama Awang Selamat. Kesan peninggalan sejarah Puteri Sa’adong di Bukit Marak ini dapat dilihat sehingga kini dengan adanya kesan istana tempat baginda bersemayam dan kawasan-kawasan perkuburan pengawal baginda. Takhta Raja Abdullah pula telah digantikan oleh Raja Abdul Rahim yang merupakan adik kepada Raja Abdullah. Namun begitu, Raja Abdul Rahim telah memerintah Kota Mahligai dengan kejam dan menyebabkan rakyatnya sendiri menentang pemerintahannya. Akibat daripada itu, Raja Abdul Rahim telah dibunuh oleh rakyatnya di tepi Tasik Lelayang. Ada pendapat yang mengatakan, kemangkatan Raja Abdul Rahim adalah disebabkan sepupunya sendiri iaitu Raja Kechik Sulong, anak kepada Raja Omar. Raja Kechik Sulong dikatakan telah menyuruh salah seorang pengikutnya untuk menikam Raja Abdul Rahim di tepi tasik tersebut.

awang selamat

tasik

Dengan mangkatnya, Raja Abdul Rahim maka pemerintahan di bawah Raja Abdullah yang berpusat di Kota Mahligai pun berakhir. Tidak lama selepas itu, pemerintahan di Kota Mahligai diambil kembali oleh keturunan Raja Jembal. Keturunan Raja Jembal yang memerintah pada masa ini ialah Raja Omar yang bergelar Sultan Omar. Pemerintahan Sultan Omar bermula pada tahun 1675. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com. Sultan Omar merupakan adik kepada Raja Loyor dan Raja Loyor atau nama sebenarnya Raja Adiludin merupakan bapa kepada Puteri Sa’adong. Walaupun Puteri Sa’adong tidak lagi tinggal di Kota Mahligai, hubungannya dengan raja-raja Jembal tidak pernah terputus malah, dijaga dengan baik.

jembal

Kota mahligai kembali aman dibawah pemerintahan Sultan Omar. Tiada sebarang pertelingkahan yang berlaku dikalangan rakyatnya mahupun dengan negara luar kerana Sultan Omar merupakan seorang sultan yang adil. Banyak hubungan diplomatik yang telah dijalinkan dengan negara luar serta banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Sultan Omar termasuk membuka tanah untuk penanaman padi yang dinamakan padi jembal. Mengenai Puteri Sa’adong pula, baginda dikatakan telah berpindah dari Bukit Marak ke Gunung Ayam, Dabong yang mana jejaknya selepas itu tidak lagi dapat dikesan.

Sumber : Orang Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *