Belanjawan Latest

Harapan sangat tinggi agar kerajaan memberikan penekanan belanjawan kali ini untuk membangunkan dan menyokong wanita yang bersifat multi fungsi di Malaysia. Pembangunan wanita yang seimbang antara rumahtangga dan kerjaya. Selain itu keseimbangan pembangunan spiritual, fizikal, mental juga patut diambil kira kerana wanita adalah aset pembangunan keluarga yang menjadi nadi kepada unit sosial masyarakat dan negara.

Belanjawan terhadap wanita perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk mengurangkan kos berkaitan peningkatan menangani impak isu sosial terutama dan kos pembangunan sumber manusia. Dalam masa yang sama, keperluan negara terhadap wanita untuk memenuhi tenaga kerja negara perlu dilihat dan dikendalikan secara seiring daripada perspektif produktiviti kerja dan keluarga. Selain itu, isu kewanitaan juga tidak boleh meminggirkan isu anak-anak dan keluarga. Itu adalah impian semua wanita untuk hidup sejahtera di Malaysia

Dasar “Wanita Sejahtera” yang ditawarkan oleh PAS untuk semua wanita di Malaysia merujuk kepada wanita yang memiliki dan memanfaatkan hak yang diberikan oleh Islam dalam kehidupan secara menyeluruh. Wanita bebas menjalankan taggungjawab sebagai khalifah dan mempunyai hak yang tidak boleh diceroboh oleh mana-mana pihak. Jaminan keamanan dan keselamatan untuk wanita bergerak aktif melakukan kehendak dan keperluan peribadi mengikut tahap keilmuwan dan kerangka syariah. Oleh itu, adalah sangat penting belanjawan yang bakal dibentang ini memberi fokus dalam memastikan dalam mencapai gagasan “Wanita Sejahtera”.

Oleh itu saya ingin mencadangkan 8 inisiatif utama belanjawan ke arah wanita sejahtera:

1.Insentif untuk majikan mesra wanita dan keluarga

Trend keseluruhan penglibatan wanita dalam tenaga kerja masih rendah berbanding lelaki (Laporan Khazanah 2018 53.5% wanita berbanding 77.7% lelaki). Ia adalah antara yang terendah di rantau ASEAN dan kebanyakannya melibatkan tahap pendidikan peringkat rendah (sekolah rendah).

Kerajaan telah mensasar 30% wanita penyertaan di peringkat pengurusan dan setakat ini kita berada dalam halatuju dan unjuran yang positif namun perlu ada inisiatif daripada pihak kerajaan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dan harus merangkumi pelbagai bidang.

Faktor utama wanita mempunyai konflik kerja atau keluar daripada pasaran buruh adalah kerana komitmen terhadap keluarga terutamanya anak. Penglibatan wanita dalam pasaran buruh mula menurun bermula umur 25 tahun walaupun ia adalah umur yang paling produktif tetapi kerana ia dikaitkan dengan umur perkahwinan dan memperolehi anak berbanding negara maju di Asia seperti Jepun dan Korea mana penyertaan wanita menurun pada usia produktif (25+) tetapi meningkat semula sekitar umur 35-40. Oleh itu perlu insentif ditingkatkan kepada majikan yang mengamalkan sistem bekerja mesra wanita dan keluarga seperti bekerja dari rumah beberapa jam tertentu untuk peringkat pengurusan, waktu fleksible dan lain-lain. Kerajaan harus menyediakan insentif dan latihan bagi membolehkan wanita kembali bekerja pada masa yang sesuai.

Sumber Gambar : freepick.com

2. Capaian Internet lebih meluas

Selain itu peruntukan untuk capaian internet dengan lebih luas pada kadar kos yang minimum sangat penting untuk memudahkan wanita menyelesaikan urusan kerja, rumahtangga melalui bantuan internet dan meringankan beban wanita. Selain itu ia juga membantu wanita memperolehi pendapatan daripada rumah dan mengurangkan konflik wanita meninggalkan tanggugjawab rumahtangga. Dalam masa yang sama pendidikan penggunaan internet dan tapisan akses terhadap kandungan yang memudaratkan keselamatan dan mengundang jenayah patut ditingkatkan untuk menghasilkan suasana pendidikan tidak formal yang sejahtera untuk wanita, keluarga dan kanak-kanak.

Sumber Gambar – www.freepik.com

3. Pembangunan pendidikan maya

Rakyat Malaysia merupakan pengguna internet yang tinggi. Oleh itu peningkatan peruntukan adalah perlu untuk membangunkan pendidikan pembangunan wanita secara maya. Ini membolehkan ia diakses oleh pelbagai golongan wanita yang memerlukan dan sukar untuk memberikan komitmen secara fizikal. Dasar-dasar kerajaan juga patut dimanfaatkan secara interaktif. Selain itu pembangunan pendidikan maya berkaitan asas pengurusan dan konflik wanita harus dipertingkatkan untuk memastikan pendidikan kepada wanita mencapai tahap optimum. Latihan kemahiran pembangunan samaada menjahit, memasak, pengurusan kewangan, kemahiran usahawan wanita perlu dibangunkan oleh kerajaan secara maya untuk membantu wanita secara efisyen. Juga dicadangkan dimasukkan penerbitan digital dalam pelepasan cukai selain pembelian buku fizikal.

4. Pelepasan cukai untuk sistem sokongan rumahtangga

Antara beban utama wanita bekerjaya dan berumah tangga adalah kos pembantu rumah dan harga taska serta tadika yang semakin meningkat. Adalah dicadangkan kadar pelepasan cukai yang sesuai berdasarkan kemampuan kerajaan untuk perkara di atas. Kerajaan perlu mengambilkira peningkatan kos sara hidup. Pelepasan cukai sebelum ini untuk setiap anak dan pendaftaran tadika patut dikaji semula sesuai dengan perkembangan sara hidup di Malaysia. Selain itu capaian i Suri patut diperluaskan untuk memberi peluang kepada lebih banyak wanita menyertainya terutamanya bagi kawasan pedalaman.

Sumber Gambar: Freepik.com

5. Insentif untuk wali yang bertanggungjawab

Antara golongan yang patut diberikan perhatian adalah ibu tunggal, bapa tunggal, anak yatim dan orang tua dalam keluarga. Oleh itu perlu ada insentif seperti pelepasan cukai untuk keluarga yang bersedia menjaga anak yatim terutama kepada wali yang tidak berkemampuan. Dalam Islam tanggungjawab menjaga golongan ini adalah ke atas wali. Tetapi terdapat kes wali yang tidak sedar dan tidak berkemampuan. Oleh itu galakan untuk wali menjadi bertanggungjawab adalah sangat penting untuk mengurangkan beban kos impak sosial seperti pembukaan pusat anak yatim dan warga emas dalam jangka masa panjang.

Sudah tiba masanya jaringan keselamatan dan obligasi sosial dalam keluarga diterjemahkan melalui dasar kerajaan secara tuntas.

6. Pembangunan bersepadu anak-anak OKU

Perkembangan teknologi dan sistem pendidikan yang pesat tidak harus meminggirkan anak-anak kurang upaya sejak daripada rumah ke institusi pendidikan. Penambahan peruntukan untuk menyokong pembangunan dan infrastruktur anak-anak kurang upaya secara lebih berfokus dan bersepadu antara pendidikan di rumah dan institusi pendidikan seperti autisme, ADHD sangat diperlukan untuk peluang yang lebih besar. Insentif untuk keluarga yang mempunyai anak OKU juga harus diberi perhatian oleh kerajaan agar mereka juga diberikan peluang untuk mengembangkan potensi seperti anak-anak biasa.

Sumber gambar : thechive.com

7. Pelepasan cukai untuk tuala wanita berasaskan kain.

Tuala wanita adalah keperluan utama kebersihan peribadi wanita. Oleh itu pelepasan cukai terutama untuk tuala wanita berasaskan kain dan lampin kanak-kanak berasaskan kain yang bersifat mesra alam sekitar akan banyak mengurangkan beban wanita dan menguntungkan negara untuk jangka masa panjang.

8. Pusat latihan pengurus rumahtangga

Sudah tiba masanya kerajaan menggalakkan peningkatan pembukaan pusat latihan pengurus kemahiran rumahtangga setara dengan kemahiran konvensional yang lain. Malaysia mempunyai pelbagai pusat latihan kemahiran wanita dan tidak mustahil untuk membangunkan sukatan pelajaran dan sijil yang diiktiraf untuk pengurus rumahtangga.

Disediakan Oleh:
Asmak Husin
(Ahli Dewan Negara)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *