Puan Shabariah binti Mohammed, anak kelahiran Kampung Keting, Gunung, telah dikurniakan 11 orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Encik Hasbullah. Ditakdirkan Allah, Encik Hasbullah telah meninggal dunia pada 20 November 2012 akibat masalah jantung. Pada tarikh tersebut, anak bongsu mereka masih di bangku sekolah rendah, manakala anak sulung berusia 29 tahun.
Dengan semangat dan sokongan daripada anak-anak, Puan Shabariah bangkit meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya bersendirian. Beban yang dipikul turut dikongsi bersama anak sulungnya, namun menjadi seorang ibu dan bapa sekaligus bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang wanita. Berbekalkan pergantungan kepada Allah, Puan Shabariah tabah menghadapi ujian dengan penuh reda. Akhirnya, beliau dihadiahkan oleh Allah dengan kejayaan anak-anak yang kini membuatkan beliau dapat tersenyum gembira.