Selepas kematian isteri tercinta pada tahun 2017, Encik Maharudin bin Mat secara rasminya bergelar bapa tunggal kepada enam cahaya mata, yang kesemuanya perempuan. Sejak itu, bermulalah tugas beliau untuk membesarkan anak-anaknya bersendirian.
Bekerja mencari nafkah, menghantar anak-anak ke sekolah, serta menyediakan makanan untuk mereka telah menjadi rutin harian beliau sejak tarikh bersejarah tersebut. Amanah ini bukanlah mudah, namun Encik Maharudin tekad untuk melihat anak-anaknya mempunyai asas agama yang kukuh dan berpendidikan lebih daripada beliau sendiri.
Dikurniakan anak-anak yang memahami kesusahan keluarga dan keperluan beliau untuk bekerja keras, Encik Maharudin berasa sangat bersyukur. Semoga kita semua dapat mengambil semangat dan tekad beliau dalam membesarkan anak-anak walau dalam serba kekurangan.