Belaian 10, Ikhtilat Semanis Coklat

BELAIAN AGUNG BUAT SANG HAWA MILLENNIAL
❄❄❄❄❄❄❄ ❄❄❄❄❄❄❄
❄❄❄❄❄❄❄❄❄❄❄❄❄❄

Dari Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


إذا سئلت أي الأجلين قضى موسى؟ فقل خيرهما وأبرهما، وإذا سئلت أي المرأتين تزوج؟ فقل الصغرى منهما، وهي التي جاءت فقالت يا أبت استأجره إن خير من استأجرت القوي الأمين،

Apabila ditanya tempoh manakah yang dihabiskan oleh Nabi Musa AS, jawablah tempoh yang lebih baik dan lebih sempurna. Apabila ditanya perempuan manakah dikahwini, jawablah yang lebih kecil. Iaitu yang berkata wahai bapaku, upahlah dia, sesungguhnya sebaik-baik pekerja upahan adalah yang kuat lagi amanah.
[HR Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad]

Anak perempuan sebagai menteri

Gambar Pinterest

Hadis ini berkait dengan ayat 26-28 Surah al-Qasas; cerita mengenai Nabi Musa, Nabi Syuaib dan dua anak perempuannya. Nabi Syuiab menawarkan untuk mengahwinkan salah seorang anak gadisnya dengan Nabi Musa, dengan syarat perlu bekerja dengan beliau selama 8 tahun minimum.

Tawaran Nabi Syuaib adalah hasil nasihat salah seorang anaknya yang mencadangkan diambil Nabi Musa bekerja. Cadangan tersebut timbul hasil pengalaman beliau dan kakaknya dibantu oleh Nabi Musa. Boleh imbas lanjut dalam Surah al-Qasas bermula ayat 23.

Kisah ini mengajar kita hubungan antara ibubapa dan anak. Perlu wujudkan ruang perbincangan antara keluarga supaya setiap keputusan yang diambil meraikan kepentingan semua pihak.

Walaupun ibu bapa berkuasa penuh, tetapi perlu tanya pendapat anak-anak juga terutama yang sudah akil baligh. Anak-anak pula jangan serahkan bulat-bulat kemudi bahtera keluarga kepada ibu bapa, kerana mereka juga manusia yang bukan tahu semua perkara.

Inilah rahsia keluarga mawaddah, sakinah dan rahmah. Kalau feminis berbangga dengan demokrasi, maka Islam sebenarnya lebih.

Ikhtilat yang perlu

Cadangan anak gadis Nabi Syuaib ini adalah hasil pengalaman beliau dibantu Nabi Musa ketika sedang bergelut untuk membawa minum gembalaan mereka. Oleh kerana kedua anak gadis itu perempuan, mereka tidak mampu bersaing dengan pengembala lelaki bagi mendapatkan air di lembah.

Nabi Musa yang baru sampai ke Madyan itu tidak sampai hati membiarkan sahaja kedua mereka menunggu jauh di pinggir lembah. Lalu secara budimannya, Nabi Musa menawarkan diri untuk membawa gembalaannya minum. Dengan keperkasaan baginda, urusan tersebut berjalan lancar.

Gambar Pinterest

Nabi Musa tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau turut mengiring kedua mereka pulang ke pangkuan Nabi Syuaib. Namun beliau tidak mengambil kesempatan atas pertolongan tersebut. Bahkan dia menjaga ikhtilat agar tiada ruang syaitan menghasut.

Disuruh kedua anak Nabi Syuaib berjalan di belakang mereka. Jika perlu ke kanan, disuruh mereka baling batu ke sebelah kanan. Begitulah jika ke kiri bagi menunjuk arah rumah mereka.

Itulah tanda qawiy dan amin pada diri Nabi Musa. Ibn Abbas menjelaskan, bila Nabi Syuaib tanya anaknya apa sifat qawiy Musa, dia ceritakan bagaimana Musa membantu gembalaan mereka. Manakala amin pula disifatkan melalui cara Musa mengiring mereka pulang.

Ia mengajar umat bagaimana interaksi antara jantina. Bukan tidak boleh langsung macam Taliban dulu. Lelaki dan wanita dicipta untuk saling memerlukan, saling membantu. Bukan setakat sesama mahram sahaja.

Tapi kenalah ada batas. Supaya tidak menghampiri zina. Bab ini kita bincang lanjut nanti.

Lelaki perlu Gentleman

Gambar Hiasan : Pinterest

Nabi Musa juga menjelaskan keperluan lelaki bersikap gentleman. Perlu tahu wanita ini diciptakan lemah fizikalnya. Tapi pemalu sifatnya. Jangan tunggu wanita minta tolong baru hendak tolong. Kena peka terhadap wanita sekeliling kita. Terus hulurkan bantuan jika mereka memerlukan.

Jangan tolong kerana niat nak tackle sahaja. Itu bukan gentleman. Itu gentel man. Ambil kesempatan atas kesempitan.

Jangan pula wara’ tak bertempat. Tidak akan wara’ kita lebih pada Nabi Musa pula?

Kalau ya pun takut pada fitnah wanita, jangan biarkan mereka macam itu sahaja. Usahakanlah supaya pertolongan sampai pada mereka. Panggil orang lain datang tolong ke apa. Itu gentleman juga.

Gambar Pinterest

Sebenarnya bukan sebab wara’. Tapi takut orang kata kita tidak wara’. Takut orang mengata kita womanizer sebab suka bantu wanita.

Dah memang fitrahnya menuntut begitu. Lelaki boleh berdikari banyak hal. Tapi perempuan, perlukan lelaki dalam banyak hal. Kalau benda tu betul, kenapa perlu peduli kata orang?

Kena faham maksud qawwam lelaki. Yang faham benda ini, tidak akan pelik bila Nabi kata akhir zaman seorang lelaki kena jaga 50 wanita.

Benda ini pun kita cerita lanjut kemudian.

(Alang Ibn Shukrimun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *