Imwu

Wakil daripada Nigeria dan 17 buah negara lain telah berkumpul di Kelantan, Malaysia untuk membincangkan isu-isu kekeluargaan dan beberapa cabaran utama yang melanda masyarakat abad ke-21.

Konferens atau pertemuan yang berlangsung selama satu minggu tersebut, di bawah tema “Wanita: Tunjang Asas Ketamadunan” merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kesatuan Wanita Muslim Antarabangsa (KWMA), iaitu sebuah persatuan yang dibina bertujuan untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita Muslim serta mempromosikan dialog berkaitan budaya dan agama sesama mereka.

Antara isu utama yang telah diketengahkan semasa acara tahunan yang bermula pada hari Ahad, 23 Jun ini adalah bahaya dan cabaran yang wujud daripada pergerakan golongan gay, lesbian, biseksual dan transgender (LGBT) terhadap keluarga zaman moden hari ini. Ini merupakan suatu isu yang telah menimbulkan perdebatan di antara pelbagai pihak dalam kebelakangan ini.

Di dalam satu kenyataan di akhir mesyuarat bertajuk ‘Pengisytiharan Kota Bharu’ yang dikeluarkan pada hari Isnin, 24 Jun, pihak kesatuan telah dipanggil untuk mewujudkan langkah-langkah terbaik untuk melindungi institusi keluarga Muslim dari ancaman LGBT, dan juga membentuk sasaran pembangunan Islam.

Resolusi 4 hala yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung, Dr. Afaf Muh’d Hussain daripada Sudan, turut menyokong pembentukan sebuah jaringan antarabangsa untuk golongan belia Muslim dan memperkukuhkan hubungan antara negara-negara anggota dengan badan dan organisasi antarabangsa seluruh dunia.

Di dalam sebuah temuramah eksklusif bersama Muslim News, wakil kesatuan daripada Nigeria, Dr. Khadijah Olaniyan-Shobowale memanjatkan kesyukuran terhadap Allah di atas peluang untuk menghadiri program edisi 2019 ini. Beliau turut menyatakan di dalam temuramah tersebut,

“Pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini amat membuka mata terhadap betapa pentingnya untuk wanita Muslim Nigeria untuk berkerjasama dengan negara-negara lain.”

Seorang lagi wakil dari Nigeria, Alhaja Sherifah Yusuf-Ajibade, yang juga merupakan seorang ahli Majlis Pemegang Amanah Kesatuan, berkongsi pengalaman beliau di dalam satu bual bicara dengan Muslim News.

Menurut beliau,”Malaysia adalah sebuah negara Muslim yang mesra dan ramah. Cuaca di sini seperti di Nigeria kerana kedua-duanya mempunyai hutan hujan tropika. Namun begitu, cuaca di Malaysia tidaklah selembap bahagian barat daya Nigeria, dan tidak sepanas dan kering bahagian utara Nigeria.”

Kesatuan Wanita Muslim Antarabangsa yang telah ditubuhkan sejak 24 tahun yang lalu mempunyai sebuah ibu pejabat yang bertempat di Khartoum, Sudan. Antara tujuan utama kesatuan ini adalah untuk menangani cabaran yang wujud dalam usaha untuk membentuk perpaduan bagi wanita Muslim seluruh dunia.

Pada masa kini, KWMA mempunyai lebih kurang 25 buah negara anggota di serata dunia. Mesyuarat Majlis Amanah untuk tahun 2019 diadakan di Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Sebanyak 18 buah negara anggota turut menyertai perjumpaan ini.

Antara negara lain yang turut serta adalah Uganda, Palestine, Somalia, Cameroon, Togo, Côte d’Ivoire, Pakistan, Iraq, Sudan, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Turkey.

Dipetik dari : https://muslimnews.com.ng/2019/06/26

Artikel telah diterjemah oleh Jawatankuasa Terjemahan Hari Sayyidatina Khadijah 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *