Ikon Sukarelawan Kebajikan

Tokoh ini dilahirkan di Tanah Serendah Sekebun Bunga pada 6 Februari 1985. Beliau mendapat pendidikan awal di Maahad Darul Anuar, Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran dalam jurusan Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kemudian, beliau telah menyambung pelajaran dalam bidang pembangunan belia di peringkat diploma dan mendapat latihan professional dalam bidang yang sama di Commonwealth Secretariat, London. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang pada tahun 2014. Beliau juga telah mendapat Pendidikan secara tidak formal di beberapa buah institusi dalam dan luar negara.

Suhail bin Mohamed Kamaruddin satu nama yang tidak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia khususnya para belia memandangkan beliau pernah menjadi salah seorang Ahli Parlimen Belia Malaysia dan Ahli Majlis Perundingan Belia Negara. Mendirikan rumah tangga bersama bidadari pilihan hati Norhidayah binti Zaini, beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan. Nur Marissa 8 tahun, Nawal Zaura 5 tahun dan Nuha Raisa 2 tahun. Bermula dengan kejayaan di peringkat sekolah, beliau terus menempa nama di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Memanfaatkan kemahiran dan pengalaman yang diperolehi daripada majikan sebelumnya, beliau yakin mampu berdiri di atas usaha sendiri sehingga bergelar CEO pada usia yang begitu muda. Antara syarikat milik beliau ialah Smart management Sdn. Bhd., Azam Transformasi Sdn. Bhd., Inspire Academy (Enterprise), Nawal Training and Consultancy dan Global Wellness Foundation.

Sumbangan Ikon Sukarelawan Kebajikan ini sudah pasti tiada tolak bandingnya apabila menyertai pelbagai kegiatan kesukarelaan di pelbagai peringkat kebangsaan hingga ke peringkat antarabangsa sejak dari tahun 2009 lagi.

Kepimpinan beliau dalam bidang kemasyarakatan dan kebajikan terserlah apabila beliau berjaya menggerakkan lebih 10,000 tenaga sukarelawan dengan kerjasama pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan memaksimumkan penyaluran bantuan ke Negeri Kelantan dan Pahang ketika banjir besar pada tahun 2014.

Minat yang mendalam dalam bidang sukarelawan telah membawa beliau menyertai Misi Kemanusiaan di beberapa buah negara seperti Myanmar, Filipina dan Singapura serta memimpin program berskala besar. Tidak hanya memiliki bakat seorang pemimpin, beliau turut berkecimpung sebagai penceramah,pengarah program dalam bidang keagamaan dan keilmuan sehingga mewakili Malaysia di program bertaraf antarabangsa seperti International Business Meeting, Bangkok, International Conference on Rohingya Crisis, Guangzhou dan International Course on Management SME, Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *