Tokoh Kebajikan NGI Cakna

Kategori NGI Cakna

Penerima Anugerah Tokoh Cakna Kebajikan (Kategori NGI Cakna) pada tahun ini dinobatkan kepada Encik Mohd Shazuwan Husnan bin Che Hamid. Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 dan 2 sebelum menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2010. Penglibatan dalam bidang khidmat sosial tidak menghalang beliau untuk berkhidmat sebagai Penolong Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia di syarikat KIFAALAH Sdn. Bhd. dan bergerak aktif di dalam Jabatan Amal Negeri Kelantan.

Anak Jati Kampung Batu, Tanah Merah ini telah dilahirkan pada 8 Mac 1985 dan memiliki seorang cahaya mata bernama Muhammad Mursi yang berusia 7 tahun. Secara rasminya, beliau mula menginfakkan diri kepada masyarakat setelah menganggotai salah satu badan NGO. Komitmen yang tinggi di dalam dunia kebajikan telah membawa beliau menyertai Misi Bantuan Banjir di dalam dan luar negeri antaranya di Dungun, Terengganu dan Permatang Pauh, Pulau Pinang. Kepimpinan beliau turut terserlah apabila diberi amanah untuk mengetuai Bilik Gerakan Operasi Banjir Tanah Merah semasa banjir besar Kelantan pada tahun 2014.

Kini beliau bergerak sebagai aktivis kebajikan melalui NGI Jom Cakna Asnaf. Berkolaborasi dengan penghulu dan pemimpin setempat beliau menggerakkan aktiviti dan program kebajikan secara berkala. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Ziarah Asnaf dan OKU. Menerusi kegiatan ziarah ini, beberapa keluarga akan diraikan melalui sumbangan wang ringgit dan keperluan rumah. Keprihatinan beliau tidak hanya terarah kepada satu sudut apabila turut membantu kanak-kanak yang kurang bernasib menyediakan keperluan persekolahan seperti baju sekolah, alat tulis dan yuran persekolahan.

Menjelang musim perayaan pula, beliau turut mencari dana dan menyumbangkan duit dan pakaian kepada keluarga yang kurang berkemampuan sebagai persediaan menyambut hari lebaran.

Di usia yang masih muda, beliau telah mendapat jolokan “hero” apabila dinobatkan sebagai Tokoh Hero Rakyat DUN Bukit Panau, Tanah Merah 3 tahun lalu. Penat lelah beliau menabur bakti kepada masyarakat telah mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kelantan sehingga melayakkan beliau menerima Anugerah Tokoh Cakna Kebajikan bagi kategori NGI Cakna dalam sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan pada tahun ini. Semoga beliau terus menjadi inspirasi dan ikon kepada anak muda masi kini dan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *