ZAWIAH

Zawiah binti Mohd Yazit telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Tokoh Sayyidatina Aminah Wahab bagi tahun 2023. Ibu yang berasal dari Kampung Kemubu, Kuala Krai Kelantan ini telah ditakdirkan menggalas tanggungjawab yang sangat berat dan terpaksa membesarkan anak seramai 8 orang seorang diri setelah suami tercinta dijemput Penciptanya 20 tahun yang lalu.


Ibu ini yang mendapat pendidikan sehingga tamat darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Kemubu, Kuala Krai merupakan seorang yang aktif dalam menyumbangkan tenaga kepada masyarakat setempat. Beliau merupakan Ahli Majlis Daerah Dabong selama 9 tahun sehingga tahun 2003, Pembantu Halaqat dari tahun 2004 hingga 2007 dan dilantik sebagai Pegawai Halaqat pada tahun 2008 hingga 2021. Beliau juga telah diberi amanah di dalam kepimpinan muslimat di peringkat kawasan Kuala Krai. Tanggal 14 Jun 2003, ketika berusia 53 tahun, suami tercinta telah pergi buat selamanya meninggalkan beliau seorang diri untuk membesarkan 8 orang zuriat amanah tinggalan suami. Merekalah yang menjadi sumber kecekalan dan kekuatan buat Zawiah.

Beliau membesarkan anak dengan menitik beratkan pendidikan agama dan akademik sehingga kesemuanya berjaya mengharumkan nama keluarga. Kini beliau tersenyum gembira apabila seorang demi seorang anaknya telah berjaya dalam kerjaya masing-masing. Anaknya yang sulung Rogayah merupakan seorang pensyarah lulusan peringkat master Universiti Malaya, anaknya yang ketiga bernama Azilawati
merupakan seorang guru lulusan Ijazah Universiti Al-Azhar, yang ke-empat iaitu Rohaizat merupakan lepasan STPM yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir Telekom, yang kelima bernama Ahmad Rafie seorang Pegawai PTD Putrajaya lulusan master, anaknya yang ke 6, Ramzi juga merupakan lulusan master yang bertugas sebagai guru, Ruzaimah anak ke 7 juga seorang guru lepasan Ijazah USIM dan yang bongsu Rabiatul Jannah merupakan Pegawai Kesihatan Putrajaya lulusan Master UKM.


Daripada 8 orang anaknya, Allah telah anugerahkan seorang anak syurga iaitu anak keduanya Ahmad Raduan yang merupakan insan istimewa. Walaupun berbeza dengan insan lain, anak syurganya ini
seringkali hadir ke majlis-majlis ilmu dan pelbagai program setempat. Sungguhpun sibuk menguruskan anak-anaknya seorang diri, Zawiah tidak lupa untuk menyempatkan dirinya untuk hadir ke pelbagai majlis
ilmu. Beliau juga aktif dengan pelbagai program masyarakat setempat selagi mana diberi nikmat sihat dan kelapangan masa. Semoga kisah penerima Tokoh Sayyidatina Aminah Wahab ini akan dijadikan contoh dan inspirasi para ibu generasi ini dan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *