Kewajipan menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslimin dan muslimat, begitulah pesanan Baginda Nabi S.A.W. kepada seluruh umatnya. Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah R.A. adalah seorang
tokoh pendidik yang sentiasa menjadi rujukan dari zaman dahulu hingga sekarang. Penerima anugerah tokoh pendidikan yang diinsipirasikan dari Sayyidatina Aisyah R.A. pada Hari Sayyidatina Khadijah tahun ini adalah Noorizan binti Mohammed. Beliau dilahirkan pada tanggal 15 Oktober 1956 iaitu kira-kira 67 tahun yang lalu. Noorizan memulakan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kamil Pasir Puteh, kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma, Ijazah dan Sarjana di UPM dalam Diploma Sains Pendidikan, Ijazah Sains dengan Pendidikan dan Sarjana Sains (Sains Pembangunan Manusia). Bertemu jodoh dengan Nik Mohd Nabil, beliau dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan. Pada awal tahun ini, beliau diuji dengan pemergian almarhum suami buat selama-lamanya.

Berbekalkan kelulusan, minat dan semangat yang ada, Noorizan telah menabur bakti sebagai guru selama empat dekad lamanya. Selama bergelar pendidik iaitu 20 tahun di Kelantan dan 20 tahun di Selangor,
beliau telah mendapat pelbagai sijil, anugerah dan pengiktirafan di pelbagai peringkat. Antaranya ialah Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2021, Anugerah Khas Sambutan Hari Guru Peringkat
Kebangsaan 2021, Ikon Alumni Terbilang UPM sempena Sambutan Jubli Emas UPM ke- 50 tahun Peringkat Kebangsaan 2021, sebagai Ahli Panel Forum Pendidikan Persidangan Pengurusan Pendidikan MPSM Negeri Selangor 2015, pembentang Kertas Kerja di High Performing School Head Teachers International Conference Peringkat Antarabangsa 2012, dan banyak lagi.


Sewaktu beliau menerajui SMK Jalan Empat sebagai pengetua, kejayaan demi kejayaan telah berjaya dicapai oleh sekolah ini dan membuatkan banyak sekolah dari dalam serta luar negara datang untuk
penandaarasan. Kejayaan ini juga telah membolehkan SMK Jalan Empat dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi 2011 dan beliau sendiri telah mendapat Tawaran Baru Bai’ah tiga tahun berturut-turut
(2011 – 2013). Noorizan juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan pihak luar. Beliau telah banyak menghadiri pembangunan profesional di dalam dan di luar negara dan telah berkongsi pengalaman dan
kemahiran beliau dengan sekolah-sekolah lain. Beliau juga telah dilantik oleh Jabatan Pendidikan Selangor sebagai Mentor kepada pengetuapengetua baharu melalui Program Immersion.


Selepas bersara wajib pada 2014 sebagai pengetua, beliau masih lagi menyumbang bakti sebagai seorang pendidik dengan membantu Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Program Sekolah Amanah selama 6 tahun (2016 – 2021). Noorizan telah berkhidmat di SMK Cyberjaya selama setahun dan selama 5 tahun di Jeli, Kelantan. Program Sekolah Amanah telah memberi impak positif kepada murid-murid dan komuniti. Di samping itu, beliau juga terlibat dalam membangunkan Projek Jahai (Orang Asli) dan Projek EcoWira di Kluster Jeli dan telah banyak membantu murid-murid dan komuniti orang asli
Jahai di Kg Sungai Rual, Jeli.


Semoga kisah beliau yang tidak jemu menabur jasa dalam mendidikanak bangsa dijadikan inspirasi untuk generasi masa kini dan akan datang. Benarlah kata orang bijak pandai “Orang hebat boleh
melahirkan beberapa karya bermutu, tapi guru bermutu boleh melahirkan ribuan orang hebat.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *