Tokoh Kebajikan NGO Cakna

Kategori NGO Cakna

Berorientasikan hasrat dan cita-cita pengasasnya, Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma telah ditubuhkan pada 25 Februari 2016 dibawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] untuk membantu golongan asnaf dan anak yatim yang mungkin terlepas pandang oleh badan-badan kebajikan yang lain. Menurut pengasasnya iaitu Datuk Dr. Zulkepli bin Hj. Mohamad yang juga merupakan seorang juruaudit yang bertauliah (Chartered Accountant of Malaysia), beliau ingin mengajak rakan niaga yang lain untuk turut sama membantu dan meringankan bebanan hidup golongan yang tidak berkemampuan di seluruh Negeri Kelantan.

Beralamat di Lot 1252, Tingkat 1, Bangunan Zul Wisma, Jalan Sultan Yahya Petra, Kubang Kerian 15200 Kota Bharu, Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma komited menggalas misi dan visinya untuk menjadi organisasi yang menjaga Kebajikan dan Pendidikan melalui Infaq (memberi kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan) dan Auqaf (wakaf) dengan meningkatkan nilai akauntabiliti dan integriti yang maksima berlandaskan Al-Quran dan Hadis. Di bawah aspirasi Dato’ Dr. Zulkepli, beberapa inisiatif kebajikan telah dilaksanakan, antaranya ialah program Masuk Kampung, Back To School dan Dapur Yayasan.

Menerusi penganjuran program Masuk Kampung, golongan asnaf dan anak yatim yang telah dikenalpasti berdasarkan maklumat yang diterima daripada media massa, dan permohonan secara terus di pejabat yayasan telah dibantu dari sudut kewangan dan sumbangan keperluan rumah. Selain itu juga, program tahunan seperti pengagihan wang zakat bantuan pembelian pakaian raya kepada anak-anak golongan asnaf turut dilaksanakan untuk membantu keluarga asnaf yang berdepan masalah kewangan setiap kali sesi persekolahan bermula. Sehingga hari ini, Yayasan telah menaja tiga orang pelajar daripada golongan asnaf untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan jumlah tajaan sebanyak 20,000.00 Ringgit Malaysia seorang. Manakala platform Dapur Yayasan adalah dikhususkan kepada golongan asnaf kategori zon merah dimana mereka dibenarkan untuk datang ke pejabat yayasan bagi mendapatkan barang-barang mengikut keperluan mereka tanpa perlu membayar sejumlah wang.

Sumbangan Dato’ Dr. Zulkepli dalam dunia kebajikan
tidak terhenti sekadar itu apabila dorongan dan semangat yang diberikan berjaya menyuntik semangat dua orang anaknya sehingga membawa kepada tertubuhnya Persatuan Tabung Beras 8 Asnaf dan Tabung Jariah yang masing-masing dipengerusikan oleh Zul Azree bin Datuk Dr. Zulkepli dan Ayu Syaheera binti Datuk Dr. Zulkepli. Sikap dedikasi yang ditunjukkan oleh pengasas Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma ini telah berjaya mengangkat nama organisasi ini sebagai badan kebajikan yang terunggul selaras misi dan visinya sehingga dinobatkan penerima Tokoh Cakna Kebajikan (Kategori NGO Cakna) dalam sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 bagi menzahirkan pengiktirafan dan penghargaan kepada sumbangan pihak yayasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *