Suami Halang Isteri Dari Pergi Ke Masjid

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah suami menghalang isteri daripada pergi ke masjid? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, kaum Muslimin dan Muslimat digalakan untuk mendirikan solat fardhu secara berjemaah kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Bahkan para fuqaha telah bersepakat bahawa bagi kaum lelaki, solat yang mereka tunaikan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik — yakni afdhal — berbanding solat yang dilakukan secara bersendirian di rumah. Manakala bagi hak perempuan pula, solat yang didirikan di rumah mereka adalah lebih baik.[1] Menurut Imam al-Nawawi, bagi kaum perempuan, solat secara berjemaah yang dilakukan di rumah adalah lebih baik berbanding mereka pergi ke masjid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمْ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang kaum wanita pergi ke masjid, akan tetapi sebenarnya solat di rumah-rumah mereka itu adalah lebih baik bagi mereka.[2]

Gambar Hiasan : Google

Namun, jika mereka tetap juga mahu pergi ke masjid, maka hukumnya adalah makruh jika perempuan tersebut cantik sehingga boleh menarik perhatian kaum lelaki. Begitu juga, dihukumkan makruh bagi suami atau walinya untuk memberi keizinan kepadanya pergi ke masjid. Akan tetapi jika dia telah tua atau lanjut usia serta tiada lagi tarikan — yakni yang boleh menarik perhatian kaum lelaki — maka hukumnya tidak lagi menjadi makruh.[3] Walau bagaimanapun, terdapat sebuah riwayat daripada Yahya bin Sa‘id, daripada ‘Amrah, daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ المَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ. قُلْتُ لِعَمْرَةَ: أَوَمُنِعْنَ؟ قَالَتْ: نَعَمْ

Maksudnya: “Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang terjadi dengan kaum wanita sekarang, nescaya Baginda akan melarang mereka keluar ke masjid sebagaimana dilarangnya kaum wanita Bani Israil. Aku bertanya kepada ‘Amrah: ‘Adakah mereka dilarang keluar?’ Dia menjawab: ‘Benar.’[4]

Oleh itu, difahami daripada hadis ini terdapat sebab lain yang menghalang daripada membenarkan kaum wanita untuk pergi ke masjid sama ada daripada faktor wanita itu sendiri seperti berhias dan memakai wangi-wangian secara berlebih-lebihan, atau faktor luar seperti tidak selamat daripada timbulnya fitnah, jalan yang dilalui tidak selamat atau sebagainya.

Gambar Hiasan : Google

Justeru, terdapat dalam kalangan ulama yang meletakkan syarat-syarat atau garis panduan bagi kaum perempuan yang mahu pergi ke masjid, iaitu:

  1. Tidak memakai wangi-wangian
  2. Tidak berhias-hias (tabarruj)
  3. Tidak membunyikan gelang kaki sehingga didengari oleh lelaki ajnabi.
  4. Tidak memakai pakaian yang boleh menarik perhatian.
  5. Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan.
  6. Selamat daripada fitnah.
  7. Jalan yang dilalui selamat dan tidak berbahaya.[5]
Gambar Hiasan : Google

Selain itu, terdapat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَلاَ تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَمَا أَنْفَقَتْ مِنْ نَفَقَةٍ عَنْ غَيْرِ أَمْرِهِ فَإِنَّهُ يُؤَدَّى إِلَيْهِ شَطْرُهُ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang isteri berpuasa sunat sementara suaminya berada di sisinya kecuali dengan izin suami. Dan tidak boleh baginya mengizinkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suami, dan apa-apa perbelanjaan yang dibelanjakan tanpa perintah suaminya, maka akan diberi separuh pahala kepada suaminya.”[6]

Justeru dapat difahami daripada hadis di atas, bahawa dalam kehidupan suami isteri, ada beberapa perkara keizinan suami diperlukan. Termasuklah dalam perkara tersebut keizinan daripada suami sebelum keluar dari rumah. Malah, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, termasuk di dalam nusyuz, seorang isteri yang tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada sebarang keuzuran yang membenarkannya.[7]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya seorang isteri meminta izin daripada suaminya untuk pergi mendirikan solat di masjid, sebagai seorang suami yang baik, sepatutnya dia tidak melarang isterinya itu daripada pergi ke masjid, selagi mana memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama seperti selamat daripada fitnah, tidak berhias secara berlebihan dan lain-lain. Malah, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَأْذَنَتْ أَحَدَكُمُ امْرَأَتُهُ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلَا يَمْنَعْهَا

Maksudnya: “Apabila isteri salah seorang daripada kamu meminta izin untuk pergi ke masjid, maka janganlah kamu menghalangnya.[8]

Selain itu, terdapat dalam riwayat yang lain dengan lafaz:

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى الـمَسْجِدِ، فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta izin kamu pada malam hari untuk pergi ke masjid, maka berilah mereka izin.[9]

Oleh yang demikian, sepatutnya tidak berlaku perkara ini — yakni seorang suami melarang isterinya daripada pergi ke masjid — jika tiada sebarang sebab bagi melarangnya. Sebaliknya, si suami itulah yang sepatutnya membawa isterinya bersama-sama ke masjid bagi mendirikan solat secara berjemaah, di samping merebut fadhilat dan ganjaran yang dijanjikan.

Gambar Hiasan : Google

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa disunatkan bagi suami untuk mengizinkan isterinya bagi mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Namun, jika dia tetap melarangnya, hukumnya tidaklah haram — yakni tidak berdosa — menurut pendapat mazhab Syafi‘i. Malah, al-Baihaqi menyatakan, ini adalah pendapat kebanyakan ulama. Adapun larangan atau tegahan yang terdapat dalam hadith di atas adalah bersifat makruh tanzih kerana tanggungjawab seorang isteri untuk sentiasa berada di dalam rumah adalah wajib, maka dia tidak boleh meninggalkan rumah semata-mata dengan tujuan untuk mencari atau mengejar kelebihan-kelebihan yang lain.[10]

Walau bagaimanapun, jika isteri berkehendak untuk pergi ke masjid bagi menuntut ilmu wajib — yakni ilmu fardu ain — maka dalam hal ini, dia tidak perlu mendapatkan keizinan suaminya. Mengenai perkara ini, Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan beberapa keadaan yang membenarkan isteri keluar dari rumah tanpa keizinan suami seperti keluar menemui Qadhi bagi menuntut kembali haknya, keluar bagi menuntut ilmu, atau keluar bagi mendapatkan fatwa sekiranya jawapan daripada suaminya tidak cukup.[11] Tambahan pula, diberikan pengecualian daripada meminta izin dalam soal menuntut ilmu kerana dengan menuntut ilmu seseorang itu dapat mengangkat kejahilan daripada dirinya, lalu dia dapat menunaikan kewajipan — terutamanya yang bersifat fardhu ain yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan seperti akidah, solat, puasa dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam — dengan penuh keyakinan dan bertepatan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Hal ini bertepatan dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.[12]

Namun, setelah dia — yakni si isteri — selesai menunaikan keperluannya di luar sebagaimana yang telah dibenarkan oleh syarak, maka dia hendaklah segera pulang semula ke rumah.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak sepatutnya seorang suami menghalang isterinya daripada sama-sama menghadiri solat berjemaah di masjid, jika syarat-syarat yang digariskan oleh para ulama telah dipenuhi. Bahkan nas hadis yang sahih juga jelas menunjukkan kepada perkara tersebut — yakni tidak melarang mereka untuk pergi ke masjid. Bukan itu sahaja, sepatutnya seorang suami menunjukkan contoh dan akhlak yang baik iaitu dengan sama-sama menyahut keinginan baik isterinya itu, dengan sama-sama menghadiri solat berjemaah di masjid, jika tiada sebarang aral melintang. Lebih-lebih lagi mendirikan solat secara berjemaah di masjid mempunyai ganjaran dan fadhilat yang besar buat kaum Muslimin dan Muslimat. Selain itu, buat para suami juga, ingatlah anda, isteri dan anak-anak adalah satu pasukan. Justeru, salinglah sokong menyokong dalam perkara kebaikan.

Gambar Hiasan : Google

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan solat secara berjemaah yang paling baik dilakukan oleh kaum perempuan adalah yang dilakukan di rumah-rumah mereka. Begitu juga terdapat beberapa pengecualian diberikan buat para isteri untuk keluar dari rumah tanpa izin suami iaitu seperti keluar ke masjid bagi menuntut ilmu atau belajar ilmu wajib dan lain-lain. Akan tetapi, kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan sekurang-kurangnya biarlah ketika keluar itu atas pengetahuan suami dan begitu juga bagi pihak suami, sekurang-kurangnya beritahulah kepada isteri ke mana kita pergi kerana dalam sebuah rumah tangga yang harmoni, komunikasi dua hala itu sangat penting agar pasangan saling memahami apa yang masing-masing inginkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Sumber: Maktabahalbakri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *