BELAIAN AGUNG
BUAT SANG HAWA GENERASI MILLENNIA
❄❄❄❄❄❄❄
Anas bin Malik berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada pemandu untanya ketika bermusafir bersama isterinya:
“رُوَيْدَكَ يَا أَنْجَشَةُ سَوْقَكَ بِالْقَوَارِيرِ”
Berhati-hati wahai Anjasyah dalam pacuanmu membawa qawarir (hiasan-hiasan kaca) ini”.
[HR]
❇HIASAN YANG CANTIK
Qawarir merujuk kepada sesuatu alat daripada kaca umpama perhiasan. 3 ayat al-Quran menyebut berkenaan Qawarir. Satunya kisah Nabi Sulaiman dan Balqis an-Naml ayat 44. Dua lagi adalah di dalam surah al-Insan ayat 15 dan 16. Kesemuanya menggambarkan kecantikan.
Begitulah perumpaan yang Rasulullah SAW letakkan terhadap wanita. Tuhan jadikan mereka sedap mata memandang, tidak kira warna kulit dan saiz mereka. Bukan sahaja lelaki, malah kanak-kanak, sesama wanita dan binatang pun boleh terpesona dengan kecantikan mereka.
Cantik adalah subjektif mengikut mata yang melihat. Tidak ada standard umum mengenai kecantikan. Usah bersedih tidak dilahirkan seperti model. Bagaimana pun rupa bentuk kejadian wanita, pasti ada yang akan tertarik.
Kecantikan wanita juga bukan sekadar fizikal. Watak, perangai, sikap, prinsip, semua itu adalah hiasan bagi mereka. Berapa ramai lelaki yang kemaruk dengan wanita-wanita yang belum pernah mereka lihat, tetapi terpesona melalui tulisan, percakapan, khabar orang dan sebagainya.
❇KACA YANG MUDAH PECAH
Perhiasan ada banyak jenis. Tetapi Nabi SAW memilih hiasan kaca sebagai perumpaan. Menggambarkan makhluk yang cantik ini sangat fragile; mudah pecah, mudah koyak.
Wanita punya sensitiviti tinggi terhadap sesuatu. Emosi akan kuat mendorong mereka dalam apa jua yang dilalui atau diketahui. Kadang-kadang ia boleh jadi melampau sehingga hilang kewarasan.
Dari satu sudut, emosi diperlukan kerana dengannya lah kasih sayang seorang ibu terbentuk. Daripadanya lah kesetiaan terhadap semua terhasil. Ia lah yang meransang jiwa untuk menangis mengenang kekuasaan Ilahi.
Namun dari sudut lain, mereka boleh melampau sampai perkara kecil akan dilihat terlalu besar. Perkara remeh mungkin akan mengganggu seluruh mood seharian mereka. Sepatah kata mungkin boleh mengguris hati mereka selama-lamanya. Satu tindakan boleh menyinggung mereka sampai mati.
✳BERHATI-HATI.
Kerana itulah, Nabi SAW berpesan supaya berhati-hati menguruskan wanita. Anjasyah adalah seorang pemuda yang berkhidmat sebagai pemacu kenderaan kerana kebolehannya bersyair membuatkan binatang asyik hingga naik semangat untuk berlari laju dan lupa letih.
Anas bin Malik berkata, Anjasyah ditugaskan untuk memacu kenderaan buat wanita sementara al-Barra’ bin Malik adalah pemacu bagi lelaki. Beliau sepatutnya lebih tahu cara pacuan kenderaan yang sesuai untuk kaum Hawa.
Walaubagaimanapun, Nabi tetap berpesan supaya berhati-hati. Pertama wanita memiliki perasaan cemas dan takut yang tinggi. Mereka cepat panik. Sekiranya kenderaan itu memecut tiba-tiba atau berhenti mengejut, pasti mereka akan terkesan.
Kedua, tuhan jadikan wanita memiliki fizikal yang lemah berbanding lelaki. Saiz mereka lebih kecil, kudrat mereka lebih lemah, anggota mereka lebih mudah cedera.
Buat para lelaki di luar sana, antara peranan kita terhadap wanita adalah menjaga keselamatan mereka. Tidak kiralah mereka itu isteri, ibu, adik beradik-beradik mahupun ajnabi. Selagi tidak melampaui batas ikhtilat, tidak ada alasan untuk kita membiarkan sahaja mereka yang memerlukan perlindungan, keselamatan dan kebajikan untuk diuruskan.
Buat para wanita, adalah lebih baik mereka membentuk organisasi yang menjaga wanita dari sudut-sudut kritikal yang tidak mampu diuruskan secara individu. Atas nama organisasi ini, mereka boleh meminta bantuan kaum Adam untuk menyelesaikannya. Ianya lebih terjaga dari sudut ikhtilat, dalam waktu yang sama maksud untuk dibantu tercapai.
Bukan menubuhkan gerakan wanita yang mahu independen dari lelaki. Tidak salah memberdaya wanita supaya setanding dengan beberapa posisi yang biasa dimonopoli lelaki. Cuma kalau lelaki boleh bantu wanita selesaikan sesuatu itu tanpa sebarang perkara berbangkit, kenapa perlu wanita bersaing untuk selesaikan juga? Banyak lagi urusan Fardu Kifayah yang lelaki tak mampu selesaikan, perlu kepada penglibatan wanita secara ekslusif.
Jangan tertipu dengan apa jua dakyah yang mahukan kita bersaing sesama gender. Itu adalah bidaah besar terhadap sunnatullah!
🔷️Artikel lain di Telegram: https://t.me/alangibnshukrimun