Belaian Agung Buat Sang Hawa Millennia Siri 2

BELAIAN AGUNG
BUAT SANG HAWA GENERASI MILLENNIA
❄❄❄❄❄❄❄
BELAIAN 2: KURANG AKAL DAN AGAMA?

Abu Said al-Khudri menceritakan, bahawa Rasulullah bersabda ketika melalui satu kumpulan wanita:


ما رأيت من ناقصات عقل ودين أذهب للُبّ الرجل الحازم من إحداكن

“Aku tak pernah lihat makhluk yang kurang akal dan agama boleh mempengaruhi minda lelaki bijak selain kalian.”

[HR Bukhari dan Muslim]

✴LEMAH AKAL

Hadis di atas tidak terhenti setakat itu. Para wanita yang mungkin merasa offensive mempersoalkan, “Apa yang kurang pada akal dan agama kami wahai Rasulullah?”

Jelas baginda:


أليس شهادة المرأة مثل نصف شهادة الرجل؟
“Bukankah penyaksian seorang wanita menyamai separuh lelaki?”

Inilah maksud sebenar hadis di atas. Namun kerana terlalu cepat koyak, sering kali feminis menghentam Islam kerana hadis ini. Sampai terikut dengan dakyah golongan quranis dan anti-hadis.

Gambar Hiasan : Google

Padahal yang bermasalah bukan hadis tu, tapi cara faham kita. Kalau mereka baca hadis sampai habis, jelas Nabi SAW maksudkan kurang akal itu dari sudut penyaksian. Mereka lemah ingatan kerana selalunya perasaan perempuan sentiasa mempengaruhi akal. Bukan bermaksud lembab.

Buktinya, ramai sahaja perempuan terkehadapan dalam pelajaran. Perempuan terima anugerah nobel pun ada. Ramai perempuan berkerjaya yang memiliki posisi tinggi dalam apa jua organisasi.

Tapi tetap juga kena akui, memang ramai perempuan mudah terikut emosi. Bila emosi tak stabil, semua benda jadi tidak kena. Jadi kena tahu bagaimana nak stabilkan emosi. Makan, rehat, senam biar cukup (rujuk tulisan tahun lepas).

✴LOGIK VS PERIKEMANUSIAAN

Persoalan kedua yang mungkin timbul; adakah kekurangan itu satu kelemahan?

Mengikut akidah ahlu sunnah wal jamaah, akal atau perasaan manusia bukan paksi penentuan kebenaran. Sehebat manapun akal manusia, pasti tak akan capai kebenaran jika tanpa wahyu dan taufiq tuhan.

Gambar Hiasan : Google

Wahyu tuhan adalah kombinasi logik akal dan empati emosi kemanusiaan. Kerana itu menurut dalam satu hadis, Nabi meminta kita bertanya hati tentang baik buruk:


اسْتَفْتِ قَلْبَكَ وَاسْتَفْتِ نَفْسَكَ (ثَلَاثَ مَرَّاتٍ) الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ

Tanyalah hatimu dan tanyalah jiwamu. Kebaikan itu apa yang kamu rasa tenang. Dosa itu pula apa yang meresahkan dan menimbulkan keraguan pada dirimu, walaupun kamu meminta fatwa manusia dan mereka memberinya.

[HR Ahmad]

Maka kurang akal kaum Hawa bukan kelemahan. Gandingan logik sang Adam dan perikemanusiaan sang Hawa adalah keperluan kolektif bagi mencapai kebenaran secara optimum.

✴LEMAH AGAMA

Nabi juga menjelaskan maksud kurang agama:


أليس إذا حاضت لم تصل ولم تصم؟

“Bukankah jika datang haid, kalian tidak dapat solat dan puasa?”

Jelas dari lidah baginda, maksud kurang agama, mereka cuti solat dan puasa ketika datang bulan. Mereka tidak boleh praktis beberapa ibadat sahaja. Bukan bermaksud lemah iman.

Buktinya, ramai tokoh perempuan beriman. Insan pertama yang melafaz syahadah, perempuan. Insan pertama syahid, juga perempuan. Ini rekod yang mustahil disaingi lelaki.

Tapi part hadis ni juga jadi modal feminis untuk kata Islam agama seksis. Jadi modal quranis dan anti hadis untuk kata hadis dah banyak mengarut, bercanggah dengan keadilan yang dianjurkan al-Quran. Hanya kerana mereka tak baca hadis bagi habis.

✴JANGAN BERSERAH PADA TAKDIR

Gambar Hiasan : Google

Seorang wanita yang unggul tak akan berserah dengan kekurangan yang mereka miliki. Sebaliknya mereka jadikan sebagai motivasi untuk memperkuat diri. Itulah yang mampu menjadikan tokoh-tokoh wanita lebih hebat dari beberapa sudut berbanding lelaki.

Antara cara nak optimumkan fungsi akal, kaum Hawa boleh untuk:

  1. Baca buku; tak perlu bacaan berat. Cukup yang informatif, boleh beri maklumat baru yang bermanfaat.
  2. Ambil tahu perkembangan semasa dan pengetahuan umum seperti siapa PM kita, apa ibunegara Sepanyol, di mana Korea dalam peta, dll.
  3. Cari kawan dan circle yang suka berbincang ilmu.
  4. Critical thinking (sceptical->analytical->critical)
  5. Belajar banyak bahasa, paling kurang 3 (Melayu bahasa ibunda, Inggeris bahasa info, Arab bahasa agama).

Bab agama pula, walaupun tak boleh solat dan puasa ketika haid, tapi amalan lain tetap boleh. Zikir, sedekah, layan suami, bantu orang, dakwah, jihad dll. Maka tak perlu khuatir pahala kurang ketika haid. Kalian sendiri yang tentukan nak pahala banyak mana.

✴MENGHINA ATAU MEMUJI?

Tapi perkara sebenar hadis tu nak sampaikan bukan isu akal atau agama, tapi kemampuan perempuan mempengaruhi lelaki. Kalau kita perhatikan nilai linguistik hadis di atas, predikat (خبر) adalah ‘mempengaruhi’ (أذهب).

Ikut kaedah bahasa, predikat itulah cerita yang ingin disampaikan. Akal dan agama sekadar sandaran (إضافة) kepada tajuk/subjek (مبتدأ) iaitu ‘makhluk yang kurang’.

Jadi dari satu segi, nas hadis ni sebenarnya satu pengiktirafan kepada kelebihan perempuan. Kelebihan di sebalik kekurangan makhluk.

Gambar Hiasan : Google

Kata Ibn Hajar, “Kalau lelaki bijak pun boleh dipengaruhi, maka bagaimana pula lelaki yang kurang bijak?”

Dalam hadis yang lain Nabi nyatakan, kalau bukan kerana Hawa, tentu Adam tidak akan mengingkari tuhan selama-lamanya. Kita kupas hadis tersebut dalam siri akan datang.

(Alang Ibn Shukrimun)

🔷️Artikel lain di Telegram: https://t.me/alangibnshukrimun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *