Copy Of Try (1)

            Di sebuah warung roti canai yang terkenal di Kelantan, dua orang pelancong dari Indonesia sedang memerhati menu yang dipaparkan. Pelayan kedai, seorang pak cik tua tersenyum menyapa mereka. Setelah berfikir sejenak, pasangan suami isteri itu memesan roti canai dan roti telur kepada pelayan sebagai sarapan mereka untuk pagi itu, bersekali dengan air teh panas. Beberapa minit kemudian, hidangan yang dipesan tiba di meja mereka. Satu bekas kecil diletak berhampiran mereka.

Pelanggan lelaki bertanya, “Bekas ngapain ini?”

Lalu dibukanya bekas itu. Yang dilihat adalah gula putih. Untuk dimakan bersama roti canai.

Pelanggan wanita kehairanan seraya menjawab, “Waduh, di sini punya gula putih atas meja.”

Rakyat Kelantan dan gula

Sudah menjadi kelaziman untuk masyarakat negeri ini untuk makan roti canai bercicahkan gula atau gula ditambah dalam kuah kari. Di atas meja, akan disediakan satu bekas yang mengandungi gula putih. Hakikatnya, rakyat Kelantan selalu dikaitkan dengan makanan dan minuman yang manis. Ada produk makanan yang menggunakan tagline ‘Air Teh Kerat Kaki’ yang memberi gambaran kemanisan air tersebut. Citarasa rakyat negeri ini gemar akan makanan yang manis. Banyak kuih muih berasal dari negeri Kelantan, hasil kreativiti warga negeri ini mengolah resepi dan bahan. Rata-rata kuih ditambah gula sebagai sebahagian daripada bahan ramuan.

Sebagai seorang yang lahir dan membesar di Kelantan, dari susur galur ibu ayah dan datuk nenek yang berasal dari sini, saya juga suka makanan yang manis. Rasa tidak lengkap makan roti canai tanpa gula atau susu pekat. Rasa tidak menjadi memasak tanpa menambah gula putih. Rasa tidak nikmat air teh kosong tanpa gula. Tanpa kita sedari, pengambilan gula secara berlebihan boleh mendatangkan mudarat kepada badan kita.

Kesan gula kepada kesihatan

Persepsi saya tentang gula mulai berubah setelah saya masuk ke dalam bidang Kesihatan. Saya mulai sedar bahawa gula putih yang berlebihan adalah bahaya kepada tubuh badan kita. Paras gula yang tinggi menyebabkan penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus), masalah pergigian dan komplikasi-komplikasinya. Gula penting untuk tenaga tapi perlu diambil pada kadar yang sederhana.

Kita hanya memerlukan sekitar 6 sudu gula dalam sehari. Makanan ruji kita iaitu nasi mengandungi karbohidrat yang akan dihadamkan menjadi glukosa (gula). Glukosa adalah unit terkecil bagi karbohidrat. Pengambilan gula yang berlebihan memberi kesan kepada kesihatan badan dan gigi seseorang. Tahukah anda bagaimana gula putih mempengaruhi Kesihatan gigi kita?

Apabila kita makan, gigi kita akan mengunyah makanan tersebut untuk menghancurkan makanan bagi membolehkan ianya ditelan. Pada masa sama, enzyme dalam air liur kita akan menghadam makanan ke bentuk yang lebih senang untuk diserap oleh badan. Enzyme tersebut menukarkan makanan ke bentuk asas iaitu glukosa.

Bakteria dalam mulut kita menggunakan glukosa sebagai bahan makanan mereka dan menghasilkan asid. Asid ini menghakis permukaan gigi sedikit demi sedikit dan menjadikan gigi kita berlubang. Sisa makanan dalam mulut yang tidak diberus dengan baik adalah makanan untuk bakteria dalam mulut. Semakin banyak gula yang diambil, semakin banyak makanan yang dibekalkan untuk bakteria dalam mulut.

Semakin kerap kita mengambil makanan bergula, semakin kerap aktiviti bakteria tersebut. Contohnya, dalam situasi yang pertama, segelas air teh tarik manis yang diminum sedikit demi sedikit dalam tempoh masa yang panjang ketika bekerja lebih memberi kesan buruk berbanding segelas air teh tarik yang sama diminum terus sehingga habis. Hal ini kerana gigi kita akan lebih lama terdedah dengan gula dalam situasi yang pertama tadi.

Selain itu, jenis makanan yang melekit dan melekat di gigi seperti gula-gula dan coklat berpotensi mengakibatkan kerosakan gigi yang lebih teruk. Hebatnya ciptaan Tuhan, air liur kita mempunyai kemampuan untuk membersihkan sebahagian sisa-sisa makanan di dalam mulut kita. Walaubagaimanapun, memberus gigi dan menggunakan flos pergigian adalah penting untuk membersihkan sisa-sisa makanan dan plak gigi yang terbentuk. Makanan yang melekit seperti coklat dan gula-gula pula sukar untuk dibersihkan oleh air liur. Cara memberus gigi yang salah akan menyebabkan sisa-sisa makanan yang melekit ini tidak dibersihkan dengan sempurna.

Data berkenaan bahaya gula

Laporan Registri Diabetes Kebangsaan pada tahun 2020 menunjukkan hampir 1.7 juta rakyat Malaysia didiagnos dengan penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus). Daripada jumlah tersebut, seramai lebih 66,000 orang rakyat Kelantan menghidap Diabetes Mellitus dengan kebanyakan mereka terdiri daripada kaum wanita. 94% dari pesakit Diabetes adalah dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu. Rata-rata individu dikesan menghidap penyakit tersebut pada usia sekitar 64 tahun.

Pengambilan gula yang berlebihan juga sering dikaitkan dengan kenaikan berat badan dan obesiti. Minuman manis dan makanan yang tinggi gula menambah kalori tanpa memberikan rasa kenyang yang mencukupi. Jadi, kita akan terdorong untuk mengambil makanan tersebut dalam kuantiti yang lebih banyak, dan ini boleh mengakibatkan masalah obesiti. Paras gula yang tinggi dalam darah akan menyumbang kepada masalah jantung, strok, saraf dan lain-lain lagi.

Statistik daripada National Oral Helath Survey of Adults (NOHSA) pada tahun 2020 menunjukkan bahawa seramai 85.1% dalam kalangan penduduk dewasa di Malaysia mempunyai gigi berlubang. Hali ini bermakna dari 10 orang dewasa, 8 orang mempunyai sekurang-kurangnya satu gigi berlubang. Kesan gigi berlubang yang tidak dirawat ialah sakit gigi dan seterusnya cabutan gigi. Gigi yang hilang akan menyebabkan kesukaran dalam mengunyah dan bertutur. Ini sekaligus menjejaskan kualiti hidup seseorang.

Usaha kerajaan

Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula 2023 peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu di Putrajaya. Kempen ini ke arah menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengawal pengambilan gula putih dalam pemakanan. Kempen ini juga disambut baik kerajaan negeri selari dengan prinsip bahawa tubuh badan adalah amanah dari Allah swt dan menjaga Kesihatan adalah dituntut dalam Islam.

Usaha agensi-agensi kerajaan negeri untuk menjayakan kempen “Kurangkan gula dalam makanan” adalah inisiatif yang baik untuk mengurangkan bahaya gula kepada kesihatan. Sudah tiba masanya untuk kita lebih giat mendidik masyarakat untuk mengurangkan pengambilan gula putih yang berlebihan, selari dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia. Ayuhlah kita sama-sama mengawal pengambilan gula dalam pemakanan supaya kesihatan kita lebih terjaga. Hasrat kita supaya rakyat Kelantan boleh mempunyai sengih yang manis dengan gigi yang sihat dan tidak jarang. Kurangkan gula dalam makanan, tambahkan manis dalam senyuman.


    Biodata Penulis
    Dr Nur Dini Ahmad Zawawi
    Seorang doktor gigi yang telah berkhidmat 3 tahun dalam sektor Kesihatan.
    Merupakan alumni Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu.
    Penerima Anugerah Tokoh Pelajar sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun 2013.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *