Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kesihatan adalah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan bermaksud kita bebas semata-mata dari penyakit atau tidak berdaya untuk melakukan sesuatu. Dari segi jantina, wanita memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan sama ada diri sendiri atau keluarga mereka.
Wabak campak yang berlaku di Kuala Koh yang mengakibatkan kematian 15 orang telah membuka mata pelbagai pihak. Isu kebersihan dan kekurangan zat makanan di katakan punca wabak ini berlaku dan merebak dengan cepat.
Kajian menunjukkan wanita orang asli lebih terdedah kepada penyakit kerana faktor malnutrisi. Kekurangan folate dan zat besi berlaku kerana pemakanan yang tidak seimbang. Jarak kelahiran yang dekat dan masalah cacing juga menyumbang kepada faktor anaemia, malnutrisi dan seterusnya terdedah kepada penyakit-penyakit akut jangkitan kuman dan bawaan vektor.
Pelbagai usaha telah di jalankan oleh Jakoa dan Kementerian Kesihatan dalam meningkatkan taraf kesihatan wanita orang asli. Bagi warga orang asli yang tinggal di kawasan berhampiran pekan atau kemudahan Kesihatan, mereka lebih memahami kepentingan penjagaan Kesihatan.
Warga Kuala Koh, Kaum Batek lebih terdedah kepada isu kesihatan kerana budaya dan adat mereka yang masih suka berpindah (nomad).
Lebih kurang 40 % warga Kuala Koh mengalami masalah malnutrisi. Semasa mereka di tempatkan di Pusat Penempatan Sementara di Taman Etnobotani, Pusat Kesihatan Daerah telah membekalkan multivitamin dan pemakanan yang seimbang. Pendidikan kesihatan tentang kebersihan dan pemakanan juga telah di berikan. Sejauh mana mereka dapat meneruskan cara hidup begini apabila pulang ke kampung halaman mereka.
Wanita orang asli perlu di perkasakan dengan ilmu kesihatan .
Kesihatan bermula dari rumah. Ibu lah yang dapat menjaga Kesihatan ahli Keluarga. Ibu- ibu atau bakal- bakal ibu dan beliawanis perlu di beri pendidikan kesihatan dalam pelbagai aspek.
Kepentingan penjagaan kebersihan, ilmu pemakanan dan penyediaan pemakanan. Kenapa dan bagaimana mencegah penyakit. Kepentingan menjarakkan kehamilan dan lain- lain aspek kesihatan lain perlu di sampaikan kepada wanita orang asli. Program-program kesihatan perlu di laksanakan secara berkala. Pembangunan ekonomi juga harus selari dengan program kesihatan.
Kerajaan perlu merangka satu plan tindakan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak . Jakoa dan KKM sebagai pemandu dalam pelaksanaan program dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan persekutuan, agensi kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan.
Dengan memperkasakan wanita orang asli dengan pelbagai ilmu Kesihatan, taraf kesihatan warga orang asli dapat di tingkatkan dan prevalen wabak penyakit berjangkit dapat di kurangkan.
Tragedi Wabak Kuala Koh merupakan satu isyarat agar semua pihak lebih proaktif memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan dan keperluan warga orang asli.
Dr Wan Martina Wan Yusoff
Aktivis Kemasyarakatan Orang Asli
Ikon Kemasyarakatan Negeri Kelantan 2018