Quran Kids

Sebuah bingkisan pengalaman sebagai coretan…

Aku seorang wanita dan seorang Al-Hafizah. Ditakdirkan aku bekerja di sekolah tahfiz lelaki. Cabaran aku ialah mendidik remaja-remaja lelaki dalam bidang tahfiz yang jauh dari benakku menyimpan impian tersebut. Cabaran mendidik pelajar lelaki terutama dalam bidang tahfiz tentunya suatu yang mencabar bagi aku seorang wanita muda. Pengalaman sangat terbatas, pergaulan juga terbatas, minat juga mungkin berbeza. Cuma, aku yakin pasti ada hikmahnya.

 Ingin dipendekkan cerita, suatu hari aku  ditugaskan untuk menjaga kelas harapan (yakni kelas tambahan Alquran bagi pelajar ‘lemah’ hafazan kategori tingkatan satu)

Sebenarnya, aku kurang selesa menggunakan kalimah ‘lemah’ hafazan, tapi itu yang sering digunakan bagi mereka yang lambat mencapai target hafazan. Sedangkan setiap orang berupaya untuk menghafaz cuma kaedah atau ‘approach’ itu yang berbeza.

Apabila aku ditugaskan untuk menjaga kelas harapan tersebut, baru aku tahu sebenarnya mereka bukanlah terlalu malas untuk menghafal. Aku nampak effort mereka.

Ada yang pejam mata berkerut dahi.

Ada yang tangan seolah menari.

Ada yang tunduk mencecah kerusi.

Sangat bersungguh. Tapi bagi golongan ini, effort mereka diuji. Ujiannya susah nak ingat. Disebabkan fed up untuk mengingat itulah mereka diklasifikasikan sebagai seorang ‘pemalas’.

Sepanjang aku menjaga kelas tersebut, aku terdengar keluhan seorang pelajar seolah sudah penat dengan usaha yang dilakukan.

Sumber Gambar Pinterest

Dua hari masih mukasurat yang sama, bahkan tidak berganjak dari lima baris awal. (itupun ingat kepala lupa ekor, ingat ekor lupa kepala)

Aku seolah memahami pelajar tersebut kerana aku juga dulunya begitu.  Aku memanggilnya dan memberinya beberapa tips menghafal dengan membahagikan ayat, dan satu lagi menggunakan kaedah match meaning.

Aku memberikan masa padanya sehari. Semalam dia datang untuk tasmik setengah muka tapi masih lagi gagap. Sebak aku lihat dia bersungguh nak ingat dan cuba untuk tasmik.

Aku rasakan kaedah tersebut tidak sesuai dengan pelajar tersebut.

Selepas tasmik, aku ternampak satu buku tulis miliknya yang di dalamnya koleksi lukisan komik yang dilukis sendiri olehnya. Lukisan komik fighter.

Rupanya pelajar ini sangat minat melukis dan sangat kreatif. Pada aku dia memang seorang yang agak cerdik, tapi kekurangan dia dalam bab menghafal.

Tiba-tiba datang satu idea dalam fikiranku. Aku pun cuba lagi memberikan tips, aku menyarankan  dia untuk  memahami ayat alquran dan luahkan dalam bentuk lukisan. Aku memberi contoh ayat yang sedang dihafal olehnya. Ayat berkisar tentang firaun. Aku menyarankan dia melukis tentang kisah firaun tersebut. Dalam masa yang sama cuba match ayat yang dihafal dengan lukisan tersebut. Siapa tahu lebih mudah untuk ingat?

Dia kembali ke tempat duduknya dan cuba mengaplikasikan tips yang aku beri.

Esoknya aku bertanya.

Aku: Semalam tasmik (waktu kelas malam)?

Arif: Tasmik.. satu mukasurat

Aku: Alhamdulillah. Cara hafal?

Arif: Lukisan.

MashaAllah. Alhamdulillah.

Akhirnya aku jumpa satu solusi bagi pelajar tersebut. Jika Allah tidak takdirkan aku nampak ‘komik’ dia tempoh hari,  sudah tentu cadangan sebegitu tidak mungkin terluah padanya. Setakat ini dia masih menggunakan kaedah lukisan untuk menghafal, cuma sejauh mana kaedah tersebut boleh konsisten aku kurang pasti. Atleast ada peningkatan. Syukur.

Jadi, dapat disimpulkan bahawa, pelajar-pelajar ‘lemah’ ini mungkin kurangnya pada kognitif ingatan, tapi masih ada lagi aras kognitif lain yang masih belum digarap. Bahkan boleh jadi golongan sebegini lebih maju dan besar penghayatan mereka pada Alquran.

Sungguh aku bukan ingin mengatakan bahawa aku ini the best teacher ever apatah lagi ingin menzahirkan usaha yang seharusnya disimpan dalam dada. Tidak sekali. Aku cuma ingin berkongsi bahawa setiap pelajar dianugerahkan kelebihan berbeza. Cuma bergantung pada kita untuk  mencungkil kelebihan dan kemampuan mereka. Bukan seorang guru untuk memukul rata. Kedengaran senang bukan? tapi cabarannya sangat hebat.   Aku juga masih lagi seorang guru yang masih belajar.

Semoga aku dan semua para pendidik diberikan kesabaran yang tinggi dalam mendidik. Terima kasih juga kepada para murabbi yang tidak pernah jemu mendidik aku.

Sekian.

Disediakan oleh Siti Adyani Maliki, merupakan seorang tenaga pengajar di salah sebuah sekolah menengah agama di Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *