Ringkasan Catatan Berkaitan Malam Nisfu Sya’ban
1- Masuknya waktu maghrib sebentar nanti 15 Sya’ban 1443 Hijrah, bermulalah malam Nisfu Sya’ban.
2- Para ulama berbeza pendapat tentang fadilat malam ini. Sebahagian berpendapat bahawa malam Nisfu Sya’ban mempunyai fadilat yang khusus. Manakala sebahagian lain berpendapat, hadis-hadis yang menyebut berkenaan fadilat malam Nisfu Sya’ban semuanya tidak kuat, kecuali satu hadis sahaja.
3- Bagi yang berpendapat bahawa malam Nisfu Sya’ban mempunyai fadilat khusus, mereka bersandarkan kepada, antaranya sebuah hadis :
إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا
Maksudnya : Apabila sampainya malam Nisfu Sya’ban, hidupkanlah malamnya (qiyamullail) serta berpuasalah pada (siang) harinya.
Riwayat Ibn Majah (1388).
4- Atas faktor inilah mereka melebihkan malam Nisfu Sya’ban berbanding malam-malam yang lain. Sebahagian mereka memakai pakaian terbaik, bercelak, memakai minyak wangi, seterusnya pergi ke masjid menghidupkan malam tersebut dengan ibadah.
5- Manakala di sisi ulama yang kedua pula, mereka berpendapat bahawa hadis Ibn Majah di atas adalah hadis palsu. Implikasinya, ia tidak boleh digunakan sebagai sandaran untuk menetapkan syariat atau satu-satu ibadat.
5- Di sisi golongan kedua ini, memadai menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah-ibadah yang umum bersandarkan kepada dalil-dalil yang umum. Iaitu, setiap malam memang kita dianjurkan untuk qiyamullail. Demikian setiap malam juga kita dianjurkan untuk berdoa lebih-lebih lagi pada 1/3 malam yang terakhir.
6- Berkenaan anjuran berpuasa pada 15 Sya’ban pula, ia dianjurkan adalah kerana ia termasuk dalam salah satu hari-hari putih (13, 14, 15 haribulan setiap bulan), dan tidaklah anjurannya itu bersandarkan hadis riwayat Ibn Majah tersebut.
7- Menurut para ulama ini, sekiranya hendak mengkhususkan satu-satu ibadah pada malam Nisfu Sya’ban, ia berhajat kepada dalil. Sekiranya tiada, tidak perlulah ia dilakukan. Imam al-Nawawi semasa bahas berkenaan Solat al-Ragha’ib serta solat sebanyak 100 rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, beliau berkata :
وَهَاتَانِ الصَّلَاتَانِ بِدْعَتَانِ وَمُنْكَرَانِ قَبِيحَتَانِ
Maksudnya : Kedua-dua solat ini adalah bida’ah, keduanya mungkar lagi jelek.
Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/56).
Ya, meski secara zahir keduanya adalah solat, Imam al-Nawawi tetap menyifatkannya sebagai bida’ah, mungkar, dan jelek. Ini kerana, ia tidak disyariatkan bahkan hadis-hadis berkenaannya juga adalah batil di sisi Imam al-Nawawi.
8- Meskipun begitu, terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan sandaran berkenaan dengan kelebihan malam Nisfu Sya’ban, iaitu kata Nabi SAW :
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah melihat (para hamba-Nya) pada malam Nisfu Sya’ban, lalu Dia mengampunkan seluruh makhluk-Nya, kecuali orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.
Riwayat Ibn Majah (1390).
9- Maka berdasarkan hadis ini, kita boleh menetapkan bahawa pada malam Nisfu Sya’ban, terdapatnya pengampunan yang khusus daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya.
10- Justeru, pada malam Nisfu Sya’ban, lakukanlah ibadah-ibadah umum seperti solat malam, bacaan al-Quran, doa (lebih-lebih lagi doa meminta keampunan), bersedekah, serta jauhilah dua keburukan berikut iaitu mensyirikkan Allah, serta perbalahan yang tidak sudah-sudah.
Sumber: FB Muhammad Fahmi Rusli