Bermulanya detik bersejarah buat negara tepat jam 12.00 tengah malam bertarikh 31 Ogos 1957 laungan “Merdeka!” dilaungkan sebanyak tujuh kali menandakan kebebasan dan kedaulatan baru negara yang bebas daripada penjajah. Hari merdeka bukan sekadar tarikh yang tertulis di kalendar, tetapi adalah sinar harapan yang menjadi kayu ukur kepada perjuangan orang terdahulu. Mengajarkan kita erti sebenar kesabaran, kebebasan dan kesatuan. Akan tetapi yang menjadi persoalan di sini ialah adakah diri dan pemikiran kita benar-benar terbebas daripada penjajah?
Hakikatnya banyak perkara yang berlaku pada hari ini telah mencemarkan maksud sebenar kemerdekaan kerana tercemarnya dengan sikap dan akhlak masyarakat. Perkara ini boleh dilihat dengan cara bagaimana anak muda sekarang menyambut kemerdekaan, penuh dengan unsur hedonisma sehingga hilang makna sebenar kemerdekaan itu sendiri.
Apabila kita menyelusuri sejarah kita dapati bahawa banyak harta yang terkorban, banyak nyawa yang menjadi taruhan, banyak darah ditumpahkan semata-mata untuk melihat kemerdekaan dapat dicapai di tanah melayu, semata-mata untuk melihat anak-anak generasi pada hari ini dapat hidup dalam keadaan tenang, aman dan damai.
ULAMA’ DAN KEMERDEKAAN
Sejarah telah merakamkan bahawa ulama’ turut berperanan dalam mempertahankan kemerdekaan dan mewujudkan kesedaran Islam di Tanah Melayu. Antara sosok tubuh ulama’ yang berjasa besar dalam memerdekakan Tanah Melayu ialah Syeikh Ul-Islam Tuan Guru Haji Abdullah Fahim, Burhanudiin Al-Helmy, Tok Janggut, Tok Kenali, Mat Kilau dan ramai lagi.
Pesan Saidina Ali:
“Tidak ada kemerdekaan itu tanpa agama, dan agama tidak sebenar-benar agama melainkan dengan kekuasaan, dan kekuasaan tidak dapat dicapai melainkan dengan ilmu, dan tidak dapat ilmu melainkan dengan ulama”.
Para ulama’ terdahulu, mereka tidak hanya memfokuskan diri kepada beribadah dan mengajarkan ilmu semata-mata, bahkan turut turun dilapangan untuk membantu memerdekakan Tanah Melayu daripada tangan penjajah.
Sebagai penutup, kita sebagai generasi yang hidup selepas merdeka ini, perlu mempersiapkan diri kita dengan ilmu terutamanya ilmu agama kerana dengan kefahaman agama yang mantap akan membuahkan jiwa dan semangat cintakan agama, bangsa serta negara agar tidak dijajah pemikiran dan diri kita daripada anasir-anasir luar.
Ketahuilah bahawa perjuangan menggapai kemerdekaan amat susah namun hendak mempertahan dan memperkasakan kemerdekaan itu ternyata jauh lebih payah. Kitalah yang bertanggungjawab untuk membimbing masyarakat dalam membentuk peribadi muslim yang merdeka yang sebenar.