Fesyen ialah istilah yang merujuk kepada gaya berpakaian, kosmetik, tingkah laku dan sebagainya yang menjadi kegemaran serta ikutan ramai dan berubah mengikut zaman.
Islam adalah agama yang syumul dan tidak pernah membebankan umatnya dalam setiap perkara. Jika disentuh bab wanita ianya tidak akan pernah terpisah dengan fitrahnya yang suka akan kecantikan dari setiap aspek. Dunia kini dalam menongkah arus kemodenan pelbagai fesyen telah timbul selari keadaan terkini apatah lagi si pereka fesyen pula saling berlumba dalam bidangnya untuk menghasilkan rekaan terbaru yang dapat memikat hati para pemakainya .
Trend pemakaian artis pula menjadi ikutan golongan muda, fesyen artis yang telah berhijab tetapi tidak mengikut penetapan syariah yang telah digariskan.
Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan tetapi kecantikan itu janganlah secara berlebihan.
Allah telah berfirman di dalam surah Al-A’raf, Ayat 31:
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدٍ۬ وَڪُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ
Maksudnya:
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (31)
Kaum lelaki juga tidak terlepas mengikuti dunia fesyen. Mereka yang berusia dalam linkungan remaja kini lebih terdedah atau lebih terikut gaya “mamat korea” yang kononya terlalu “trendy” menyebabkan mereka tidak teragak-agak untuk mengikut fesyen mereka.
Berfesyen tidak salah asalkan tidak melampaui batas syariat, berfesyenlah yang mana memberi manfaat kepada si pemakai dan si pelihat pakaian yang kita pakai, pastikan setiap tindak tanduk kita mendapat rahmat dan redha Allah, berfesyenlah yang melambangkan identiti kita selaku umat islam.
وَجَعَلَ لَكُمۡ سَرَٲبِيلَ تَقِيڪُمُ ٱلۡحَرَّ وَسَرَٲبِيلَ تَقِيكُم بَأۡسَڪُمۡۚ كَذَٲلِكَ يُتِمُّ نِعۡمَتَهُ ۥ عَلَيۡڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تُسۡلِمُونَ….
“Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian- pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang” (An-Nahl, ayat 81).
يَابَنِي ءَادَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ ءَايَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”. (Al-A’raf:26).
Dalam ayat 26 dari surah Al-A’raf di atas, ada tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah;
1. Pakaian untuk menutup aurat
2. Pakaian untuk perhiasan
3. Pakaian taqwa
Menurut ulamak; “اللباس” dalam ayat tersebut ialah pakaian untuk menutup aurat. Adapun “الريش” ialah apa yang diambil/dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu untuk perhiasan. Yang pertama (iaitu “اللباس”) adalah keperluan asas, sementara yang kedua adalah sampingan. Adapun pakaian takwa, menurut Ikrimah; maksudnya ialah pakaian orang-orang bertakwa pada hari kiamat. Menurut Ibnu ‘Abbas pula; ia bermaksud amal soleh dan kelakuan yang baik. Menurut Ibnu Aslam; ia adalah pakaian yang dipakai oleh seorang yang takutkan Allah, lalu ia menutup auratnya.
Rujukan
1.https://ms.wikipedia.org/wiki/Fesyen
2.https://fiqh-am.blogspot.com
Artikel telah disediakan oleh Unit Pembangunan Wanita, Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita,
Kerajaan Negeri Kelantan.