WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.30 PM

Prof. Madya Dr. Mahaneem Mohamed merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan yang dilahirkan pada 17 Oktober 1968. Hasil pernikahan beliau dengan Mohd Kamal Yatiban telah dikurniakan 7 orang cahaya mata iaitu 5 orang perempuan dan 2 orang lelaki.

Pada tahun 1990, Prof. Madya Dr. Mahaneem melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan meneruskan ke peringkat ijazah perubatan di universiti yang sama. Seterusnya, beliau berjaya mendapat kelulusan sarjana dalam bidang fisiologi dan menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam Fisiologi (Endokrinologi dan Reproduksi) pada tahun 2011 di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab I pada tahun 1995 dan beliau menjadi pensyarah perubatan di pusat pengajian sains perubatan, Universiti Sains Malaysia selama 5 tahun. Setelah itu, Prof. Madya Dr. Mahaneem berkhidmat sebagai pensyarah perubatan kanan di USM sejak tahun 2010 sehingga 2016. Kini, beliau bergelar sebagai profesor madya dalam bidang perubatan fisiologi di universiti yang sama sejak tahun 2016. Prof. Madya Dr. Mahaneem merupakan seorang pakar dalam bidang fisiologi, pembiakan, toksikologi, perubatan integratif dan produk semula jadi.  Beliau  telah    membuat    kajian   berkaitan reproduksi   wanita    di peringkat sarjana dan menghasilkan artikel penyelidikan dan membentangkan hasil kajian beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sepanjang beliau berkhidmat, beliau telah menghasilkan puluhan artikel dalam jurnal pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta modul pembelajaran pada peringkat universiti. Beliau pernah memberi konsultasi kepada industri termasuk Kelantan Biotech Sdn. Bhd. dan pernah dilantik oleh Min House Camp & Kelantan Biotech Sdn Bhd untuk memberi konsultasi berkaitan pemeliharaan dan produk lebah kelulut.                                                                               
Penglibatan aktif beliau dalam masyarakat adalah untuk membuka mata mereka dengan memberi ceramah motivasi di sekolah dan kepada masyarakat setempat berkaitan dengan kesihatan, pengurusan dan kepentingan produk semulajadi terutama berkaitan produk lebah kelulut. Selain itu, beliau turut menyumbang idea dan tenaga kepada kerajaan negeri Kelantan seperti Kelantan Biotech Sdn. Bhd. dan penternak lebah di Kelantan bagi pengurusan lebah dan produk lebah berdasarkan ilmu dan kepakaran beliau dalam bidang produk semulajadi. Hal ini kerana beliau memiliki sifat yang suka berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain untuk manfaat dan kesihatan semua.                                                                                                      
Beliau merupakan timbalan presiden Persatuan Apiterapi Malaysia (Malaysian Apitherapy Society, PROTEMP) pada tahun 2011, ahli Pertubuhan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), ahli persatuan Produk Semulajadi Malaysia (Malaysian Natural Products Society, MNPS) dan setiausaha Persatuan Apiterapi Malaysia. Sumbangan beliau kepada masyarakat, negeri dan negara seharusnya diberikan penghargaan agar kisah beliau dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada masyarakat.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *