Azimah Png

Berbekalkan iltizam dan semangat yang tinggi untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat, melayakkan Wan Nur Azimah Wan Zainuldin, 33 tahun dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kategori Ikon Kemasyarakatan. Anak kelahiran Pasir Hor, Kota Bharu ini merupakan seorang Pegawai Sains di HUSM. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 1 dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Bioperubatan di Universiti Putra Malaysia.

Minat yang mendalam dalam bidang kesukarelaan mendorong beliau melibatkan diri dalam NGO seterusnya diangkat sebagai setiausaha merangkap koordinator Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) bermula tahun 2015 sehingga kini. Sewaktu “Bah Kuning” yang melanda Kelantan pada tahun 2014 beliau bersama BBNGO bertungkus lumus membantu mangsa banjir serta mengadakan program Jiwa Murni Semarak Ramadan, Program Korban bersama mangsa banjir. Beliau juga turut terlibat dalam Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional, terlibat dalam program Community Resilient Pelajar Medikal Tahun 2 & 3 UPNM serta membantu mangsa banjir di Pahang.

Selain tumpuan kepada misi bantuan banjir, beliau juga turut aktif membantu masyarakat orang asli antaranya mengadakan program bersama orang asli di Pos Pasik, Kg. La, Gua MUsang serta terlibat dalam misi kemanusiaan bantuan kebakaran di Sandakan, Kota Kinabalu, Putatan dan Kudat Sabah. Kesibukan ibu kepada dua orang cahaya mata ini menguruskan kerja hakiki serta tugas mengurus keluarga bukanlah penghalang untuk beliau meneruskan khidmat bakti untuk masyarakat. Malah bermula Mac 2020 sehingga kini beliau turut merupakan pengkoordinasian bantuan COVID-19 dalam mengharungi cabaran pandemik yang berlaku di seluruh negara.                 

                         
Sumbangan beliau tidak hanya berkisar dalam negara sahaja malah diluaskan ke perigkat antarabangsa. Antaranya beliau terlibat dalam misi bantuan Banjir Sisakhon, Yala, Patani dan Nakhon di Tammarat, Thailand. Beliau juga dipertanggungjawabkan menyertai misi bantuan banjir di Banten, Indonesia. Sesungguhnya beliau seorang yang bertuah kerana mempunyai keluarga yang sangat menyokong penglibatan beliau dalam membantu masyarakat malah suami beliau juga merupakan seorang aktivis NGO.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *