14

Hajah Che Zawiah binti Che Pa anak kelahiran Melor, Kelantan merupakan Tokoh Al-Khansa’ Amru yang mempunyai pengalaman menulis yang luas. Beliau mula aktif menulis ketika masih di bangku sekolah lagi sekitar akhir tahun 70-an sehingga sekarang.

Hajah Che Zawiah telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Melor dan seterusnya di Akademi Kenali Kubang Kerian. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab, Perguruan Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1987 hingga 1990. Hasil perkahwinan beliau telah dianugerahkan 5 orang cahaya mata.

Selepas tamat pengajian, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Ketereh pada tahun 1990-1997. Pada tahun 1998, beliau telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Long Gaffar dan pada tahun 2010 hingga sekarang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan.

Sijil pertama yang diperolehi beliau iaitu Sijil Penghargaan Penulisan Rencana Kempen Anti Dadah Kebangsaan ketika di tingkatan 5. Ini telah mendorong minat beliau lagi untuk menceburi bidang penulisan. Cinta beliau terhadap kesenian tetap utuh dan subur sehingga ke hari ini. Ini dibuktikan apabila beliau mendapat Sijil Kursus Penulisan Kisah Hidup pada tahun 2018.


Karya pada masa itu lebih menjurus kepada penulisan berbentuk puisi, rencana, cerpen namun beliau lebih aktif dalam skrip penulisan drama radio.

Antara slot drama yang pernah ditulis oleh beliau pada suatu masa dulu iaitu rancangan Panggung Drama, drama bersiri No 5 Persiaran 1 dan drama bersiri Purbawara. Beliau turut menulis genre yang sama untuk Radio Malaysia Kelantan.

Bakat beliau turut terserlah dalam penulisan novel. Antara karya yang pernah diterbitkan ‘Masih Ada Yang Sayang’ dan ‘Persinggahan Kasih’ terbitan Raz Studio Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Selain itu novel ‘Lerailah Musim Duka’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta novel kanak-kanak ‘Indahnya Duniaku’ terbitan Cerdik Publication Sdn Bhd, Kuala Lumpur telah dicetak pada tahun 2004.

Penglibatan dalam bidang seni ini telah memperlihatkan beberapa kejayaan dan pencapaian Hajah Che Zawiah. Antara pencapaian beliau telah dianugerahkan hadiah saguhati penulisan rencana sempena ulang tahun ke-500 Oxford University Press pada tahun 1978, hadiah penghargaan penulisan cerpen berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri atas tajuk cerpen Doa Ayah, Tokoh Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2002.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *