Template Zainab

Wan Zainab binti Wan Ibrahim telah dilahirkan pada 12 Januari 1971 dan merupakan anak yang ke-7 dari 8 orang adik-beradik. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang besar, beliau dan adik-beradik dibesarkan dalam suasana yang serba sederhana. Beliau menerima pendidikan awal di Sek. Keb. Othman Talib, Tendong, dan seterusnya ke Sek. Men. Keb. Tendong.

Setelah tamat peperiksaan SPM, beliau mencari peluang pekerjaan demi menampung kos kehidupan keluarga yang serba kekurangan. Wan Zainab memulakan langkah pertama dalam bidang perniagaan di Pasar Siti Khadijah. Setelah 2 tahun berniaga, beliau memulakan perniagaan sendiri berbekalkan sedikit duit simpanan kutu dan hasil berniaga.

Bertemu jodoh pada usia 21 tahun dengan Encik Mohd Adabi bin Husin, perkahwinan mereka dikurniakan seramai 7 orang cahaya mata. Walaupun sibuk dengan perniagaan yang semakin berkembang maju, tanggungjawab terhadap anak-anak tidak diabaikan. Beliau terpaksa membahagikan masa sebaiknya antara keluarga dan kerjaya. Beliau bernasib baik mendapat sokongan yang penuh dari suami dan keluarga tercinta. Anak sulung beliau adalah seorang doktor perubatan lepasan Universiti Sains Islam Malaysia manakala anak kedua beliau menyambung pelajaran  dalam bidang muamalat dan perakaunan di universiti yang sama. Anak-anak beliau yang lain masih di bangku sekolah dan ada di antaranya yang sudah bergelar hafiz Al-Quran.

Perniagaan yang diusahakan wanita bersemangat Sayyidatina Khadijah ini semakin lama semakin berkembang maju sehinggalah beliau berjaya memiliki 3 buah kilang batik dengan lebih 60 orang tenaga kerja dan mampu mempunyai sebuah wisma yang amat sinonim dengan rakyat Kelantan iaitu Wisma Nadia Batik. Walaupun sibuk sebagai seorang  usahawan perusahaan batik, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada suami dan anak-anak. Beliau yang mempunyai minat mendalam  dalam bidang masakan, adakalanya sanggup meluangkan masa memasak apa sahaja yang akan diminta oleh suami tercinta.

Di sebalik kejayaan beliau sebagai seorang usahawan, tidak ramai yang tahu bahawa beliau telah diuji dengan ujian yang sangat berat iaitu diuji dengan penyakit kanser. Sungguhpun begitu, beliau tidak pernah berputus asa malah ia menambahkan lagi kekuatan untuk terus bangkit. Bagi beliau, kehidupan mesti diteruskan dan dengan kesibukan aktiviti harian beliau dapat menghilangkan rasa runsing mengenai penyakit kanser yang dihidapinya. Malah beliau masih bercita-cita tinggi untuk meneruskan perniagaan beliau ke peringkat global.

Produk Nadia Batik yang dipelopori oleh Wan Zainab Wan Ibrahim bukan sahaja bermutu tinggi dan mendapat tempat di hati peminat termasuk golongan kerabat diraja, menteri dan VVIP, bahkan turut mendapat pengiktirafan dari segi mutu pengeluaran produk termasuklah mendapat tempat pertama bahagian corak batik lukis tangan pada tahun 2008 daripada pihak Kraftangan Malaysia dan beberapa anugerah lain.

Dalam menguruskan perniagaan yang semakin maju, hartawan muslimah ini tidak melupakan kerja-kerja kebajikan terutamanya untuk masyarakat setempat.  Beliau adalah antara orang kuat yang menggerakkan aktiviti masjid dengan mengadakan kelas-kelas malam di  Masjid As-Solihin, Kg. Dusun Raja selain mudah didekati dan memberi pertolongan kepada masyarakat yang memerlukan.

Semangat juang yang ditonjolkan tokoh usahawan ini dari susah sehingga menjadi usahawan berjaya sememangnya wajar dijadikan ispirasi dan contoh  kepada  semua.

Sumber: Buku Cenderahati Hari Sayyidatina Khadijah 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *