10

Datuk Hajah Faridah binti Mat Saman bukanlah suatu nama yang asing dalam  Pertandingan Tilawah Al-Quran. Kehebatannya amat disegani dan beliau telah mengharumkan nama negara sekitar tahun 1970-an hingga awal 90-an apabila sering muncul sebagai johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa.

Suaranya yang semerdu Al-Khansa Amru ditunggu-tunggu setiap kali pertandingan tilawah yang dianjurkan pada bulan Ramadhan. Beliau pernah menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran sebanyak dua belas kali, dan kehebatannya memperdengarkan ayat suci Al-Quran memikat hati juri dan pendengar, sehingga beliau muncul satu-satunya qariah negara yang pernah menjadi johan tilawah antarabangsa dan juga kebangsaan sebanyak lapan kali, manakala yang selebihnya beliau mendapat tempat ke-dua.

Datuk Hajah Faridah mula menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran pada usia 14 tahun dan terus melakar sejarah apabila muncul sebagai johan untuk peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa pada tahun 1964, 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, begitulah diibaratkan bakat yang ada pada Datuk Hajah Faridah. Ibunya, Che Yam Che Had dari Kubang Terap, Pasir Mas, Kelantan merupakan qariah Istana Kelantan dan pernah muncul johan tilawah al-Quran peringkat negeri. Ibunya telah meninggal dunia pada 2003 ketika berusia 95 tahun. Bakat dan kecenderungan beliau pada Al-Quran turut diwarisi dari ayahnya Mat Saman Abdul Rahman, yang merupakan seorang imam di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh.  Beliau turut mendapat bimbingan membaca al-Quran dengan tajwid yang betul daripada datuk sebelah ayahnya, Abd. Rahman Che Man, seorang guru al-Quran dan pondok serta nenek sebelah ibunya Zainab Osman. Datuk dan neneknya terkenal sebagai guru Al Quran di kampungnya semenjak dari muda hingga ke akhir hayat. Pada usia 12 tahun, Datuk Hajah Faridah dihantar menyambung pengajian di sebuah pondok di Thailand selama tiga tahun dan dibimbing oleh seorang ustaz, Ghazali Mandaling berasal dari Indonesia. Beliau juga pernah berguru dengan beberapa guru agama antaranya, Ahmad Ma’sum Pergau, Nik Jaafar Nik Ismail dan Hassan Muda dari Pasir Mas untuk menguasai teknik taranum (bacaan berlagu).

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Uthman bin Affan, Baginda Nabi S.A.W bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling utama di antara kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”  Berpandukan hadith tersebut, Datuk Faridah juga menjadikan rutin sebagai guru Al-Quran sebagai keutamaan hidupnya sejak beliau berusia 25 tahun lagi. Beliau menyumbangkan tenaga dengan mengajar anak murid yang berusia 30 hingga 50 tahun yang mahu membetulkan bacaan Al-Quran terutamanya sebutan dan tajwid. Kini, jumlah murid beliau berjumlah ribuan orang  dan berasal dari seluruh pelosok negara. Lebih membanggakan, ramai di antara anak muridnya juga kini merupakan guru Al-Quran dan sebahagian dari mereka turut menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Antara sumbangan beliau sepanjang menceburi bidang Al-Quran ialah beliau pernah menerima jemputan memperdengarkan bacaan al Quran kepada Mufti dari Palestin di negara berkenaan. Di samping itu beliau menubuhkan kumpulan nasyid yang bernama ‘Usratul Faridah’ yang terkenal di Malaysia, Thailand dan Singapura. Pada tahun 2016, sumbangan beliau diiktiraf apabila dianugerahkan darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran Datuk, oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muad’zam Shah.  Selain sibuk mengajar Al-Quran, penerima tokoh Al-Khansa Amru ini juga turut menceburi bidang perniagaan iaitu dengan mengendalikan urusan haji dan umrah melalui syarikat Tola Travel & Tours Sdn. Bhd bersama anak beliau. Semoga segala pencapaian yang telah beliau peroleh mampu menyuntik semangat kepada generasi muda terutamanya untuk turut mencintai AL-Quran.

Sumber: Buku Cenderahati Hari Sayyidatina Khadijah 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *