THANA

Lahir dari bangsa minoriti di Kelantan, tidak menjadikan Thanaletchumi A/P Govindasamy yang merupakan anak jati Kota Bharu ini kekok dan canggung tinggal di kalangan masyarakat Kelantan yang majoritinya adalah Melayu Islam. Beliau dilahirkan pada 26 Mei 1978 iaitu 45 tahun yang lalu. Kalau cuma berdasarkan suara, pasti tiada siapa yang dapat membezakan beliau dari penduduk Melayu Kelantan lain yang pekat dengan loghat Kelantan. Beliau yang gemar memakan budu ini sememangnya mahir berbicara dengan dialek Bahasa Melayu Kelantan dengan fasih. Mempunyai senyuman manis dan berperwatakan ceria, Thanaletcumi yang lebih senang dikenali dengan nama Thana ini senang didekati oleh orang sekeliling, sesuai sekali dengan jawatan yang diamanahkan kepada beliau iaitu Penghulu Wakil Kaum Tanpa Mukim DUN Tanjung Mas. Bertemu jodoh dengan pasangan hidup Murugaih A/L Sathasivam, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki yang kini berusia 16 tahun dan 10 tahun.

Setelah menamatkan pembelajaran di Sekolah Menengah Zainab 1 Kota Bharu dengan SPM, beliau telah berkhidmat sebagai caregiver di Down Syndrome Centre, Kota Bharu selama hampir 20 tahun iaitu dari tahun 1998 sehingga 2017. Thana juga berkhidmat sebagai pembantu terapi di YOKUK, Kota Bharu bermula pada 2012.


Selain sibuk dengan tugas sebagai penghulu wakil kaum, Thanaletchumi juga aktif dengan pelbagai pertubuhan NGO dan aktiviti kemasyarakatan. Beliau merupakan AJK Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan, AJK Persatuan Pertanian Alami, dan AJK Persatuan Gerobok Rezeki Suri Rumah. Semenjak kebelakangan ini, Thana yang semakin berjinak-jinak dengan dunia TikTok telah berjaya mengumpul belasan ribu pengikut di media sosial itu dan jumlah ini semakin meningkat dari sehari ke sehari. Menggunakan nama ‘Mek Kelate Mek Manis’ di TikTok, dengan menggunakan loghat ‘Kelate’ pekat, beliau banyak berkongsi dan mempromosikan keunikan Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *