4

Siti Huraizah binti Ruslan adalah seorang gadis istimewa berasal dari Kelantan yang telah diputerikan pada 16 Oktober 1983. Sungguhpun dilahirkan dengan keadaan mata yang celik, pada usia tujuh tahun nikmat penglihatan beliau telah ditarik apabila disahkan menghidap penyakit trakoma, iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pasrah dengan ketentuan Ilahi dan sentiasa tabah dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Keluarga beliau telah menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi mengubati anak sulung dari empat beradik ini supaya matanya dapat melihat kembali namun gagal, dan menurut doktor yang merawatnya, trakoma bukan sejenis penyakit biasa yang dihidapi ramai. Siti Huraizah dihantar oleh keluarganya ke sebuah sekolah pendidikan khas di Johor untuk belajar berdikari dan supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Kecacatan ini bagaimanapun tidak menghalang beliau untuk melalui detik-detik berharga dalam kehidupan hingga berjaya bergelar graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Artistik (Penulisan Seni Layar)  di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Paling membanggakan, apabila beliau adalah pelajar OKU penglihatan pertama yang mengambil jurusan perfileman.

Walaupun tidak dapat melihat seperti orang lain, gadis cekal ini tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk berkhidmat menabur bakti kepada masyarakat. Beliau kini bertugas sebagai Eksekutif Kanan Aksesibiliti dan Advokasi di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia. Antara tuntutan kerja beliau yang perlu dipenuhi adalah perlu berjumpa dengan ramai orang serta menyifatkannya sebagai satu latihan berterusan agar yakin terhadap diri sendiri. Selain itu, beliau juga banyak terlibat dengan audit akses bangunan-bangunan bagi kebolehaksesan individu cacat penglihatan yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Pengangkutan, Rapid KL,dan  Prasarana. Siti Huraizah juga merupakan instruktor Asian Aviation of Excellent (Akademi Air Asia) dan beliau turut terbabit dengan sesi latihan khas bersama pramugara dan pramugari  Air Asia serta kakitangan lapangan terbang untuk mengajar mereka mengenai teori dan praktikal mengendalikan penumpang OKU penglihatan.

Siapa sangka, sungguhpun fizikalnya nampak lemah dan cacat penglihatan, Siti Huraizah aktif bersukan dan sering menyertai kegiatan lasak. Beliau bersama tujuh rakannya yang memiliki kecacatan serupa berjaya mendaki puncak tertinggi Semenanjung Malaysia dan nama mereka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai Kumpulan OKU Penglihatan pertama mendaki Gunung Tahan. Beliau juga pandai berenang dan sering turut serta dalam kegiatan renang yang dianjurkan untuk insan kelainan upaya.

Selain itu, beliau memiliki bakat menulis skrip. Siti Huraizah pernah bekerja di Syarikat Makmur Megah Sdn Bhd yang banyak terlibat untuk rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Skrip drama yang pernah beliau  hasilkan ialah Kebaya Biru pada 2008.  Lebih mengagumkan, bakat beliau tidak berhenti di situ sahaja apabila turut mempunyai kebolehan dalam mengacarakan majlis. Beliau acapkali dipanggil menjadi pengacara majlis sama ada rasmi atau santai semenjak zaman persekolahan lagi. Uniknya, beliau menggunakan teks ucapan Braille semasa mengacarakan majlis tanpa rasa gentar mahupun salah tutur.

Siti Huraizah bergiat aktif dan komited dalam memberi kesedaran kepada pihak berkuasa tempatan, jabatan, kementerian kerajaan, agensi dan masyarakat tentang OKU penglihatan. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Pengangkutan dan juga Ahli Jawatankuasa Rekabentuk Sejagat di bawah Majlis Kebangsaan OKU. Kecekalannya sebagai gadis buta persis Zinnirah Ar-Rumiyah sering dijadikan inspirasi apabila Siti Huraizah pernah dijemput beberapa kali dalam rancangan TV seperti Raikan Wanita, Inspirasi Takwa Bersama Datuk Siti Nurhaliza, dan Celik Hati. Diharapkan semoga kisah beliau yang tabah menghadapi ujian hidup dan mampu berdaya saing dengan orang yang celik penglihatan akan dijadikan contoh ikutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *