HALIMAH

Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid Hari Sayyidatina Khadijah 2023 telah dinobatkan kepada Che Halimah binti Che Ahmad yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan dan terkenal dengan nama Kak Chik
Nasi Berlauk. Beliau berumur 67 tahun dan telah mendirikan rumah tangga bersama Mat Salleh Bin Awang Teh, 74 tahun. Hasil perkahwinan tersebut, mereka memiliki 6 orang cahaya mata.

Beliau telah mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan setelah menamatkan pendidikan sekolah rendah dengan bekerja sebagai pembantu gerai makanan. Percaya bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, Kak Chik tidak pernah jemu berusaha dan tidak malu belajar dari bawah. Bermula dari menjadi pembantu gerai makanan itulah beliau mempelajari selok-belok perniagaan dan belajar memasak gulai ikan tongkol serta pelbagai jenis menu lauk-pauk lain. Selepas berkahwin, beliau meneruskan minat dalam perniagaan melalui penjualan nasi bungkus yang diletakkan di kedai-kedai kopi sekitar kampung.


Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan, Kak Chik Nasi Berlauk mula dikenali ramai sejak tahun 2015 dengan keenakan gulai ikan tongkolnya dan berjenis-jenis lauk lain. Berjaya menghasilkan nasi berlauk yang sangat sedap dan tahan lama, tidak basi dari pagi ke malam, Kak Chik Nasi Berlauk menjadi fenomena setelah ia mula diterbangkan ke serata Malaysia. Bukan hanya membolot kekayaan seorang diri, Kak Chik juga membantu ribuan agen sama ada dalam dan luar Kelantan untuk sama-sama berkongsi rezeki dengan membekalkan nasi berlauk viral Kak Chik ke pelbagai lokasi.
Selain sedap dan tahan lama, harga nasi berlauk Kak Chik yang sangat berpatutan iaitu RM4 mendapat tempat di hati orang ramai.


Walaupun kos bahan mentah sentiasa naik, Kak Chik mengambil pendekatan untuk cuba mengekalkan harga yang murah kerana memikirkan pelanggan terutamanya mereka yang dalam kesempitan. Bagi pelanggan yang makan di kedai pula akan disediakan air percuma dan jenis air akan bertukar setiap hari selain kuantiti nasi lebih banyak. Dengan mengenakan harga yang rendah, sambutan diterima setiap hari
sangat menggalakkan. Kini nasi berlauk Kak Chik sudah menjadi makanan sepanjang masa tidak kira sebagai sarapan, makan tengah hari ataupun makan malam dan telah mencapai jualan jutaan ringgit
setahun.


Sepanjang menjadi usahawan, beliau telah merangkul beberapa anugerah dan pencapaian di pelbagai peringkat. Pada tahun 2017, beliau telah memenangi Anugerah Ikon Usahawan Negeri Kelantan.
Selain itu, beliau pernah menerima Tokoh Usahawan Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Tumpat pada tahun 2019. Manakala tahun 2021 beliau telah dianugerahkan Tokoh Usahawan Berjaya 2021 Jajahan Tumpat. Sehingga kini, produk daripada Kakchik Nasi Berlauk telah dikenali ramai baik dalam negara dan luar negara. Mengambil semangat tokoh terulung Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah
Khuwailid yang merupakan hartawan dermawan, Kak Chik cuba mencontohinya dengan memanfaatkan harta yang dipinjam oleh Allah untuk jalan kebajikan. Beliau menganjurkan kelas Al-Quran percuma untuk penduduk setempat, membantu memberi sumbangan kepada masjid-masjid yang dalam pembinaan, memberi bantuan kepada mangsa banjir dan bantuan makanan semasa musim COVID, bantuan kepada penduduk kampung yang memerlukan dan membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Selain itu, Kak Chik turut menaja pekerja-pekerjanya dan penduduk kampung untuk
melakukan umrah. Semoga kesungguhan beliau yang bermula dari bawah dan kini berjaya membantu ekonomi umat Islam ke arah yang lebih baik dijadikan sumber inspirasi dan contoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *