Yb Ubai

Hajah Wan Ubaidah binti Omar dilahirkan pada 28 Julai 1956 di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan. Bapanya, Omar Fauzee bin Hj. Othman, bekerja sebagai  seorang anggota polis dan ibunya Wan Eshah Che Ali merupakan seorang surirumah. Sejak berusia 3 bulan, beliau dibesarkan sepenuhnya oleh ibu saudaranya, Wan Halimah Che Ali, seorang peniaga runcit dan guru Al-Quran.

Wan Ubaidah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ubai, telah  bertemu jodoh dengan Wan Abdul Azim bin Wan Abdullah (Allahyarham) pada tahun 1982. Pada tahun 1973, Kak Ubai telah melanjutkan pelajaran ke Maktab Sultan Ismail dan seterusnya beliau telah menyambung pelajaran ke seberang  laut iaitu di Southern Illinois University Edswardville, USA dalam Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan pada tahun 1983.

Beliau pernah menabur khidmat sebagai Pegawai Kredit, Bank Pertanian Malaysia pada tahun 1978-1980, dan sekembalinya dari luar negara, beliau menjadi pensyarah di Kolej  YPM, Kuantan dari tahun 1983-1991 dan seterusnya menjadi Pegawai Latihan di Permodalan Kelantan (1991-1993) dan Pegawai Latihan di PKINK (1994-1997).  Pada tahun 1997, beliau menjadi Pengurus Hal- ehwal Akademik Institut Teknologi Darulnaim.

Kerjaya politik Kak Ubai bermula apabila telah diberi kepercayaan menjadi Ahli Dewan Negara dari tahun 2003-2008. Pada tahun 2008, Kak Ubai telah mencatat sejarah apabila menjadi wanita Kelantan pertama yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, di mana beliau diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan Negeri Kelantan dari tahun 2008-2013. Penggal berikutnya, Kak Ubai memegang jawatan Timbalan Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan  (2013 -2018).

Beliau menyumbang kepakaran dan pengalaman sebagai pegawai yang membimbing wanita dari aspek motivasi, kepimpinan, kemahiran perakaunan dan membina jati diri. Berikut merupakan jawatan yang pernah disandang oleh beliau selama bergiat dalam bidang politik termasuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

  • Setiausaha JKMP Cawangan Permatang Badak, Kuantan
  • Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan, Pahang (1986-1991)
  • Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (1999-2001)
  • Ahli Jawatankuasa Penggubalan Modul HalWa
  • Pengarah Amal Nisa’ Negeri Kelantan
  • Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (2001-sekarang)
  • Ketua Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa (2007-sekarang)
  • Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat (2007-2011)
  • Ahli Jawatankuasa PAS Pusat (2009-2011)
  • Merupakan pengasas Koperasi Muslimat Negeri Kelantan (KOWANIS)
  • Ahli Lembaga Pengarah Perdana Bowling
  • Ahli Lembaga Pengarah Nutrifera
  • Pengerusi Lembaga Pengarah Permodalan Kelantan Berhad
  • Pengerusi Lembaga Pengarah STTC

Sumbangan beliau dalam kemasyarakatan telah melayakkan beliau menerima anugerah Pingat S.J.M.K. (Setia Jiwa Mahkota Kelantan) daripada DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, pada tahun 2011. Selain itu, Kak Ubai juga adalah antara 7 orang  wanita Kelantan yang menjadi ahli Pengakap Wanita Pertama Semenanjung 1970 dan telah dianugerahkan Pingat Jasa Pengakap. “Mudah Bbaso Sene Kkiro” adalah ‘trademark’ yang sememangnya sangat sinonim dengan Kak Ubai sehingga wanita yang sememangnya mesra dan murah dengan senyuman ini mudah didekati oleh pelbagai lapisan masyarakat.  Ketokohan beliau dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan mengingatkan kita kepada tokoh Ummul Masakin (ibu orang-orang miskin),  Sayyidatina Zainab Khuzaimah. Semoga penerima anugerah Tokoh Zainab  Khuzaimah ini akan terus menjadi contoh yang dapat diteladani oleh wanita zaman kini.

Sumber: Hari Sayyidatina Khadijah 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *