Tips Mengajak Pesakit Solat 2

Ramai yang melontarkan kerisauan, agak sukar untuk mengajak pesakit tunaikan solat. Iyalah. Isu ini agak sensitif. Terkadang, risau sekiranya pesakit marah atau lapor kepada pihak atasan.

Fikir saya, ini bergantung kepada cara kita dalam mengajak mereka. Skil komunikasi amat penting di sini. Saya pun bukanlah mahir dalam bab ini sebenarnya. Tapi mungkin, saya hanya mencuba. Hakikatnya, hanya untuk satu matlamat. “ Sampaikan walau satu ayat,” menyahut seruan Nabi kita.

Antara tips mengajak pesakit solat

Tanya, bukan paksa

“Puan, nak solat?”

atau

“Puan, solatlah!”

Amat berbezakan dua ayat ini walaupun tujuannya sama di akhirat nanti? Yang pertama, jelas menunjukkan yang kita risau dan mahu menghulurkan pertolongan.

Yang kedua pula, bunyinya memaksa. Kita tawarkan pesakit untuk menunaikan solat, siapa yang mahu marahkan kita? Bahkan, itu adalah satu servis yang di luar jangka sebenarnya.

Kawal intonasi suara

Pastikan nada suara kita dalam tona memujuk. Pesakit akan berasa selesa dengan ajakan kita. Tak terasa seperti diarah-arah pula. Lainlah suruh anak sendiri solat. Andai kata dia tidak bersetuju pada awalnya, kita masih peroleh kekalkan intonasi suara dan cuba memujuk lagi sehingga dia mengerti.

Serahkan kepada Dia

Sebelum bermula pun sebenarnya kita sebenarnya sudah harus menyerahkan sebulatnya kepada Allah. Doakan supaya dilembutkan hati pesakit untuk terima ajakan ke arah kebaikan. Apabila pesakit mudah terima, itu kerana hebatnya kerja kerja Dia, bukannya kita.

Doakan dan jangan sesekali cerca

Jangan ‘membawang’ di belakang! Tak pasal-pasal rugi pahala yang kita cuba dapatkan tadi. Doakan pesakit supaya dikurniakan taufik dan hidayah daripada Allah Taala. Terus doakan agar dipermudahkan urusannya bersalin dan diampuni juga segala dosanya.

Jangan putus asa. Jangan label sesiapa

Menyedari pesakit kita daripada pelbagai latar belakang, kadang mudah membuatkan kita berputus asa daripada mencuba. Ataupun, pengalaman lepas juga kadang mempengaruhi kita untuk sebarkan kebaikan pada masa akan datang.

“Alah! Malaslah! Kalau ajak pun, bukannya pesakit nak ikut!”

Hidayah Allah ini luas. Dia beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Manalah tahu, apabila kita menegur pesakit pada ketika dia sedang kesakitan, itu menjadi asbab untuk dia berubah menjadi manusia yang lebih baik dalam kehidupan setelah sihat nanti. Tak nak ke kita rebut peluang ini?

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikitpun pahala merka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia peroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”

Sebelum memasuki Wad Bersalin, pastikan pesakit sudah menunaikan solat.

Lebih mudah, jadikan ia sebagai syarat.

   “Puan, sebelum masuk dewan bersalin, solat dulu ya!.

Kan pesakit dah tak boleh nak kata apa.

     Eh! Ini juga peranan suami dan ahli keluarga!

     Bukan semata-mata peranan misi dan doktor sahaja ya!

Artikel asal :

Dr. Nur Hanisah Binti Zainoren

Penulis Buku Doktor Cinderella.

Hasil tulisan beliau boleh didapati di Fb Page Dr. Nur Hanisah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *