Feeling Today Question Instagram Post (3)

18 Disember 2021, kisah duka membuka cerita. Bila sebut langit menangis, ia menggambarkan banjir yang besar. Ia hanya berlaku dalam sekelip mata sahaja dan sungguh menakjubkan. Kesannya umpama telah berlaku mini tsunami.

Masya-Allah, tidak pernah dijangkakan keadaan ini berlaku. Itulah gambaran secara ringkas dari seorang mangsa yang diuji dengan banjir baru-baru ini.

Surah al-Baqarah ayat 155, Allah S.W.T berfirman:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (merasai kelaparan), dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Mengikut kajian, banjir adalah bencana alam ketiga terbesar yang boleh meragut nyawa dan juga memusnahkan alam sekitar selepas gempa bumi dan juga gunung berapi.

Di Malaysia ini, banjir berlaku dalam 3 (tiga) keadaan.

  1. Pertama, banjir kilat.
  2. Kedua, banjir tengkujuh.
  3. Ketiga, banjir besar.

Namun, pattern sudah berubah. Banjir pada kali ini digelarkan sebagai ‘Banjir termenung’. Banjir termenung bermaksud banjir yang berlaku dalam tempoh yang lama dan boleh berlaku pada tempat-tempat yang tidak pernah terjadi banjir.

Antara perkongsian situasi yang memberi kesan kepada sukarelawan misi bantuan banjir

Memang setiap kali turun membantu mangsa kita akan berhadapan dengan pelbagai situasi. Ada yang sama, ada yang berbeza. Berdasarkan peristiwa banjir yang baru sahaja kita hadapi, mangsa-mangsa banjir masih lagi melalui proses pasca banjir. Manakala, kita yang turun sebagai sukarelawan, kita balik dan sudah boleh rehat.

Tetapi, mereka (mangsa banjir) ini masih perlu meneruskan perjuangan. Bahkan, ramai yang ditemui adalah mangsa banjir yang berulang. Maksudnya, keadaan pembangunan atau pemulihan asbab kesan banjir awal tahun yang lepas masih lagi belum pulih sepenuhnya. Sebagai contoh, business yang banckrupt, rumah yang hilang dan lain-lain. Ujian sungguh apabila dipalu sekali lagi dengan ujian banjir termenung baru-baru ini.

Tajuk sekelip mata kau berubah ini  dedikasi kepada para mangsa pasca banjir iaitu saudara-saudara kita.

Pandangan mengenai pasca banjir yang menimpa baru-baru ini

Apabila turun padang dan melihat saudara-saudara kita yang ditimpa musibah, tertarik dengan kata-kata Al-Imam At-Tabari.

‘Apabila kamu ditimpa musibah, kamu akan lihat 2(dua) perkara.

  • Pertama, kamu akan tahu bahawa tidak ada milik kita. Semuanya adalah pinjaman daripada Allah S.W.T. Apabila ditimpa musibah, kita akan kata semua ini adalah milik Allah. Kereta besar, habis tenggelam. Ada orang hilang kereta yang bernilai 1.4 juta. Ada orang yang hilang motor yang paling disayangi. Bukan mahal mana pun, tetapi itulah yang dia mampu. Allahu Akbar. Menangis kita. Maknanya di sini, tidak ada milik kita. Untuk apa kita sombong kata Imam At-Tabari.
  • Kedua, kamu akan lihat sejauh mana sabar orang yang ditimpa musibah. Orang yang ditimpa pun kena sabar. Begitu juga orang yang memberi bantuan dan tolonglah dengan amanah.

Teguran yang Maha Esa

Rentetan peristiwa banjir termenung baru-baru ini, terdapat 3(Tiga) surah dalam al-Quran yang merakamkan kisah banjir. Pertama Surah Hud. Kedua, Surah Al- A’raf menceritakan tentang kisah Nabi Nuh a.s ketika dilanda banjir besar. Ketiga, Surah Saba’ yang menceritakan mengenai kedurhakaan penduduk negeri Saba’ lalu menyebabkan Allah S.W.T menimpakan bala berbentuk banjir besar.

Apabila dianalisa, air yang turun bukan hanya nikmat. Tetapi, ia juga boleh jadi musibah kerana keingkaran manusia kepada Allah S.W.T.

Iktibar dan pedoman kisah-kisah banjir di dalam al-Quran

Allah S.W.T merakamkan awal-awal dalam surah al-Baqarah, Alif Lam Mim. Bila baca al-Quran, faham dan amal, manusia akan dapat rasai nikmat yang luar biasa.

Oleh sebab itu, bila Allah Azzawajalla ceritakan tentang banjir yang berlaku kepada kaum nabi Nuh a.s, serta nabi-nabi yang lain sehingga mereka itu dilaknat oleh Allah S.W.T adalah kerana di atas beberapa sebab.

  • Keingkaran mereka kepada Allah. Nabi-nabi dan para Rasul mengajak mereka supaya beribadah dan beriman kepada Allah. Tetapi, mereka ingkar. Termasuh kaum nabi Nuh a.s. Bahkan ahli keluarga Nabi Nuh a.s sendiri pun tidak mahu beriman dengan apa yang dibawa. Oleh sebab itu, jangan kita ingkar dengan arahan Allah. Bila kita ingkar, maka tidak pelik apabila Allah S.W.T uji kita. Ujian Allah bertujuan untuk menyedarkan kita bahawa Allah boleh ambil balik segala nikmat yang ada bila-bila masa sahaja.
  • Rosaknya muka bumi ini sama ada di lautan atau di daratan disebabkan kita. Kita gagal menjaga kebersihan. Bagaimana alam akan cantik dan terpelihara andai kita tidak menjaga kebersihan. Kita juga memakan rasuah. Wahai pemimpin, jangan makan rasuah. Jangan melampaui batas dengan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar. Muhasabahlah.

Jangan kita ingat bala itu hanya berlaku di zaman dahulu. Tetapi, ia juga akan berlaku di zaman ini terutama apabila disebabkan tangan-tangan kita, para pemimpin, rakyat dan manusia yang hidup di atas muka bumi ini.

Ada juga masyarakat kita yang mahu membuat kerja Tuhan. Maksudnya memberi kehakiman bahawa ini adalah bala daripada Allah S.W.T. Ada yang menuding jari dan menghukum. Sudahlah tidak membantu, bahkan menambahkan lagi kedukaan mereka yang diuji. Adakah semua ini adalah betul-betul bala daripada Allah ataupun manusia yang merancang bala tersebut?

Sabar ada beza dengan pasrah. Pasrah ini orang yang hanya berserah. Tetapi, bagi orang yang sabar, mereka akan menyelesaikan masalah itu dengan sebaik mungkin. Jika ada sesuatu perkara yang perlu diuruskan dan diperjuangkan, maka itulah kesabaran yang sebenar.

Bukannya apabila ditimpa bencana, orang yang menyaman pihak terbabit dikatakan tidak sabar. Bukan itu sebenarnya. Sebaliknya merekalah orang yang sabar kerana bangkit supaya kerosakan ini tidak lagi berulang.

Bila kita menyebutkan sama ada setiap musibah itu adalah ujian ataupun bala, semua ini disebut di dalam al-Quran. Hadis Rasulullah S.A.W mengenai wabak.

Sesungguhnya wabak itu adalah satu bala, bentuk kemarahan Allah. Namun, ia adalah rahmat bagi orang yang beriman.’

Jadi, apabila berlakunya banjir besar yang melibatkan jumlah mangsa yang besar, ia merupakan rahmat yang besar bagi orang yang beriman.

Mungkin kadang-kadang kita menyangkakan solatlah yang akan membuka jalan kita ke syurga. Tetapi, rupanya mangsa-mangsa banjir yang sabar dan redha ini di akhirat kelak merekalah terdahulu menuju ke syurga Allah.

Bila disemak, rupanya mereka sabar dengan musibah banjir yang telah dilalui.

Soalan viral tentang sekumpulan anak muda islam yang turun untuk membantu membersihkan tempat ibadat bukan islam. Boleh ke?

Terdapat banyak pandangan-pandangan yang diberi oleh ilmuwan. Ada 2 (dua) pandangan dekat sini.

Pertama, pandangan yang melarang. Kedua, pandangan yang membenarkan dengan syarat-syarat ketat.

Pandangan kedua yang membenarkan masuk dengan syarat-syarat ketat adalah apabila berlakunya musibah. Pada yang sama apabila membantu atau membersihkan juga, kita mestilah dahulukan masjid-masjid dan surau-surau yang ada di kawasan tersebut. Kalau semua sudah selesai, tidak ada masalah.

Selagi tidak ada fatwa menghalang daripada para mufti di negeri-negeri tersebut, maka perkara itu masih belum menjadi haram. Wallahu A’lam. Boleh rujuk dan baca lanjut di Bayan Linnas.

Sabar ini mudah disebut, susah diturut. Bagaimana mendidik diri untuk menjadi orang yang sabar.

Sepanjang pasca banjir, kita akan bertemu dengan mangsa yang pelbagai latar belakang. Sikap orang beriman kebanyakan yang ditemui biasanya lebih bersedia dan redha akan ujian yang ditimpa. Meskipun diuji dengan bentuk seperti rumah dimasuki separuh air banjir. Mereka masih bersyukur kerana hanya separuh rumah mereka dimasuki air banjir. Mereka melihat dari sudut pandang yang berbeza apabila melihat ramai lagi yang diuji seperti mereka bahkan lebih memilukan. Sebagai contoh, ada yang rumah mereka hanyut terus dibawa arus banjir.

Syukur adalah ibadah yang lebih tinggi kerana ia membantu manusia meraih sifat sabar dan juga redha. Sesungguhnya, setiap daripada kita sudah pasti sudah ada nikmat untuk disyukuri walaupun di saat itu sudah kehilangan segala harta benda ataupun orang yang tersayang. Tetapi, masih mensyukuri terhadap nikmat yang masih ada padanya.

Dengan sifat syukur itu, Allah berjanji, ‘Sekiranya kamu bersyukur, pasti kami akan tambahkan nikmat ke atasmu.’

Sebab itu, ayat yang sering terpacul dalam kalangan mangsa banjir adalah ‘Alhamdulillah’. Dicari juga ruang untuk bersyukur, akhirnya dia ada kekuatan untuk sabar.

Gambar: Rumah hanyut

‘Sesungguhnya, besarnya sesuatu balasan/ganjaran bergantung daripada besarnya ujian dan musibah.’

Mungkin ujian banjir ini dikatakan antara ujian yang sangat besar. Apabila Allah cinta kepada seseorang ataupun kepada sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha, maka baginya redha Allah S.W.T.

Orang yang dapat masuk syurga adalah mereka yang Allah redha.

Kesimpulannya,

Kata-kata seorang muhaddis yang sangat dikenali di Syam. Bagaimana kita hendak memupuk diri sebab hati kita ini selalu akan ada masalah.

  1. Ingat bahawa segala nikmat yang ada adalah pinjaman Allah.
  2. Segala ujian yang Allah bagi itu Allah mahu lihat sejauh mana kita sabar dengan ujian tersebut.
  3. Allah hendak kita bermuhasabah. Baiki hati. Musibah Allah uji kita hendak lihat kesabaran kita. Tapi, bala adalah sebab punca dosa kita.

Hisab diri kamu sebelum Allah S.W.T hisab.

Semoga bermanfaat.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Rujukan: Forum Perdana Ehwal Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *