9

Profesor Dr Nik Hazlina binti Nik Hussain telah dilahirkan pada tanggal 24 Februari 1965. Berkongsi hidup dengan Shaiful Bahari bin Ismail, mereka telah dikurniakan 5 orang cahaya mata. Anak sulung mereka Aina Maisarah, 24 tahun, kini sedang mengikuti kursus perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) cawangan di India. Anak kedua, Anis Muneerah, 22 tahun, sedang menuntut di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN-JAKIM) dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal & Persijilan Tahfiz Al-Quran. Anak ketiga, Aida Mardhiah, 19, merupakan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (Syariah), di Darul Quran JAKIM manakala Alia Marliana,18, juga adalah pelajar Pengajian Sains Komputer & Persijilan Tahfiz Al-Quran (UNITEN-JAKIM) dan Aisyah Amirah,16, pula sedang belajar di Sekolah Menengah Islam Aman, Binjai, Kota Bharu.

Tokoh Sayyidatina Aisyah Abu Bakar telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tengku Indera Petra Kota Bharu, Sekolah Menengah Zainab Kota Bharu, Sekolah Seri Puteri Kuala Lumpur dan Matrikulasi UKM di Sekolah Seri Puteri Kuala Lumpur. Beliau seterusnya telah berjaya mendapat kelulusan Sarjana Muda Doktor Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Doktor Perubatan Obstetrik & Ginekologi di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Subkepakaran (Reproduksi Endokrin & Infertiliti) di Royal Women’s Hospital & Melbourne IVF, Victoria, Australia.

Beliau bukan sahaja seorang Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), malah beliau juga adalah Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Asian & Oceanic Congress of Obstetrics & Gynaecology, International Traditional & Complementary Medicine, International Conference on Nutraceutical & Cosmetic Sciences dan juga beberapa kali mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang USM pada tahun 2002, 2010 dan 2017.

Selain itu, beliau juga telah menyelia 30 orang pelajar Sarjana Obstetrik & Ginekologi dan juga dari pelbagai kepakaran perubatan bidang yang lain, pasca sarjana mod penyelidikan dan doktor falsafah. Beliau juga telah berjaya memegang geran penyelidikan kebangsaan dan antarabangsa yang bernilai hampir dua juta sebagai penyelidik utama. Hasilnya lebih daripada 60 penerbitan antarabangsa dan prosiding dalam jurnal berwasit berjaya diterbitkan.

Beliau merupakan ahli sidang editor beberapa buah jurnal antarabangsa dan juga terlibat sebagai penilai bagi jurnal BMC Pregnancy & Childbirth, Journal of Sexual Medicine dan beberapa jurnal kebangsaan.

Beliau juga telah menerbitkan lebih daripada 20 judul buku berwasit bacaan umum, dua buah buku ilmiah, tiga buah novel yang bertemakan perubatan dalam Bahasa Melayu, beberapa bab dalam buku, rencana di laman sesawang dan juga lebih daripada 400 rencana di media massa dan menyumbang beberapa bab dalam buku teks universiti. Beliau telah diberi kepercayaan mengendalikan ruangan soal jawab doktor di akhbar Mingguan Malaysia, akhbar lain dan juga Dewan Kosmik lebih dari enam tahun. Beliau juga terlibat dalam pembentangan kertas kerja sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Kegigihan usaha dan peranan yang sangat baik yang dimainkan oleh beliau terbukti apabila beliau berjaya membimbing pelajar perubatan dalam projek penulisan buku Bahasa Melayu bagi program Kajian Komuniti Kes Keluarga (KKKK) dan beliau sendiri pernah mendapat anugerah sebagai penyelia terbaik, manakala salah seorang pelajarnya telah dianugerahkan Anugerah Moreira.

Memiliki sifat yang suka berkongsi ilmu perubatan dengan masyarakat, menyelia pelajar universiti dalam kajian dan penulisan, telah melayakkan Profesor Dr Nik Hazlina Binti Nik Hussain dinobatkan sebagai Tokoh Sayyidatina Aisyah Abu Bakar (Pendidikan). Beliau menglibatkan diri dalam Program Bicara Doktor, rancangan Selamat Pagi Malaysia, menganjurkan Seminar Kesihatan Wanita dan aktif menyampaikan ceramah-ceramah kesihatan kepada wanita di pelbagai peringkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *