11

Wanita ini tidak pernah serik dengan jatuh bangun dalam bidang perniagaan. Beliau yang dimaksudkan adalah Puan Zarinah binti Md Zain merupakan Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid yang berumur 60 tahun dan dilahirkan di Machang, Kelantan. Hasil perkahwinan beliau dengan Zahari bin Zainal Abidin telah dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata.

Beliau menerima pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Hamzah (1) dan melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah (1) pada tahun 1972 hingga 1976. Beliau telah menerima Diploma Pentadbiran Pelancongan di Universiti Teknologi MARA Shah Alam pada tahun 1978.

Beliau terlibat dalam industri pelancongan di permulaan kerjaya beliau sesuai dengan bidang pengajian yang diambil. Namun minat yang mendalam dalam bidang perniagaan serta latar belakang keluarga yang menjalankan perniagaan sejak turun temurun telah menguatkan semangat beliau untuk terlibat sama dalam bidang perniagaan. Sepanjang 20 tahun dalam perniagaan, pelbagai pengalaman berharga telah ditimba oleh beliau. Turun naik adalah asam garam biasa dalam sesebuah perniagaan. Namun wanita ini tetap gigih membangunkan perniagaannya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kini 3 orang anak beliau turut terlibat dalam bidang perniagaan

Keaktifan dalam keusahawanan tidak menghalang beliau untuk aktif berpersatuan malah turut memberi sumbangan secara langsung dalam organisasi masjid dan kemasyarakatan. Beliau merupakan Naib Pengerusi Hal Ehwal Wanita Masjid Sultan Yahya Petra Machang. Selain itu beliau telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Koperasi Jabatan Pertanian Machang dan merupakan Ketua Wanita PERDASAMA Kelantan.

Penglibatan beliau dalam industri pembuatan makanan khususnya kicap dan sos telah diiktiraf pelbagai pihak dan memenangi pelbagai pertandingan. Terkini beliau telah merangkul tempat Pertama bagi kategori Sos Pencicah Cili Kering dan tempat Kedua kategori Kicap Lemak Manis di Ekspo Tani & Ekspo Hijau Negeri Kelantan 2018. Pada tahun 2017 beliau telah menerima Anugerah Kecemerlangan Pemasar Tani Jaya di Hari Peladang, Penternak dan  Nelayan Negeri Kelantan 2017. Beliau juga telah menerima anugerah TESCO’s Top SME 2017 dan TESCO Potential Growth SME 2017. Beliau juga telah merangkul Anugerah Usahawan Cemerlang Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *