Antara musim kebajikan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya ialah sepuluh hari yang terawal bulan Zulhijjah.
Terdapat beberapa dalil dari al-Quran dan hadis yang telah menyebut tentang kelebihan sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini. Antaranya firman Allah SWT:
وَالفَجرِ وَلَيالٍ عَشرٍ
Surah al-Fajr (ayat 1-2)
Maksudnya: “Demi fajar, dan malam yang sepuluh.”
Ibnu Kathir rahimahullah telah menukilkan tiga pandangan tentang penafsiran malam yang sepuluh ini. Tiga pandangan tersebut ialah:
- Sepuluh malam pertama Zulhijjah
- Sepuluh malam pertama Muharram
- Sepuluh malam terakhir Ramadan
Walau bagaimanapun beliau telah menyimpulkan bahawa pandangan yang paling sahih ialah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah.
Pandangan ini bertepatan dengan penafsiran Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan lain-lain. [Tafsir Ibnu Kathir, jilid 4, ms 652]
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj:
لِّيَشْهَدُوْا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللّٰهِ فِيْٓ اَيَّامٍ مَّعْلُوْمٰتٍ عَلٰى مَا رَزَقَهُمْ مِّنْۢ بَهِيْمَةِ الْاَنْعَامِۚ فَكُلُوْا مِنْهَا وَاَطْعِمُوا الْبَاۤىِٕسَ الْفَقِيْرَ ۖ.
Maksudnya: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurnian-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, yang fakir miskin”. (Surah al-Hajj, ayat 28)
Ibnu Abbas r.a juga telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang menyebut:
Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya, Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah SAW menjawab, “Walaupun di jalan Allah; kecuali orang yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
H.R Al-Tirmizi, no. 757, dinilai sahih
Ibnu Umar r.a pula meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.
H.R Ahmad, No. 5446, dinilai sahih
Jelas di sini bahawa antara faktor keistimewaan sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ialah kerana terhimpun padanya beberapa ibadah besar iaitu solat, puasa, korban, sedekah dan haji. Sedangkan pada musim yang lain, ibadah-ibadah ini tidak terhimpun sedemikian rupa.
Dalam suasana pandemik yang masih belum surut, Insya-Allah mari kita isi dan manfaatkan bulan Zulhijjah ini antaranya dengan melakukan amalan-amalan sunat 10 awal bulan Zulhijjah. Moga kita menjadi golongan yang diredhai Allah SWT.
Artikel telah disunting oleh penulis wk.com
Artikel asal ditulis oleh Dr. Nurul Akma bt Mohamad