Insya-Allah, sekarang ini musim sebahagian besar jemaah haji sudah bertolak untuk menunaikan haji. Topik kali ini isu-isu khusus berkaitan dengan wanita ketika menunaikan haji. Statistik persoalan yang paling banyak ditanya di tanah suci adalah berkaitan dengan permasalahan wanita. Untuk ibadah haji semua baik-baik buat wanita kecuali ketika tawaf terutama ketika wanita datang haid. Masalah tersebut banyak di tanah suci kerana ketika sudah dekat mahu suci, perasaan was-was sama ada darah sudah betul-betul kering membelenggu.
Ambil ubat tahan haid boleh ke?
Pendapat Imam Ahmad bin Hambali, hukum mengambil pil penahan haid adalah harus. Kedua, perlukan keizinan suami. Cuma kalau untuk haji, tidak digalakkan mengambil ubat penahan haid kerana pakej buat haji biasanya jangka masa panjang 30 hingga 40 hari.
Bila lihat kepada rukun haji, semua ibadah yang ada tidak ada masalah untuk dilaksanakan oleh wanita haid kecuali hanya tawaf sahaja. Meskipun datang haid, masih kena niat ihram. Sebaiknya, tidak perlulah mengambil pil penahan haid. Tetapi, sekiranya hendak ambil juga, dinasihatkan supaya merujuk kepada pakar sakit puan untuk dapatkan khidmat nasihat.
Pil penahan haid atau pil pengatur haid ada prosedur pengambilannya tersendiri kerana ubat-ubat ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada keadaan haid kita.
5 jenis warna haid.
Bila sebut berkenaan haid, perbahasannya adalah panjang. Ringkasnya antara warna-warna haid adalah:
- Merah kehitaman.
- Merah cair.
- Coklat.
- Kekuningan.
- Kekeruhan macam air tanah. (Sering menjadi kekeliruan).
Selagi mana ada masih ada warna-warna tersebut walaupun hanya segaris dan dalam tempoh hari kebiasaan, maka masih dikira haid.
Larangan-larangan ihram 13 perkara. (Antara isu yang popular)
(Isu rambut)
Kadang-kadang bangun dari tidur, tengok-tengok ada rambut di atas bantal. Ada juga ketika mandi ada rambut di lubang bilik air serta isu-isu lain. Bab rambut ini menjadi dilemma paling ramai dalam kalangan wanita.
Dam dikenakan apabila rambut yang digugur adalah disebabkan tangan kita. Contohnya, menggaru kepala, sikat rambut ataupun semasa tanggalkan getah pengikat rambut.
Kalau sengaja atau tidak sengaja juga dikenakan dam. Tidak sengaja maksudnya ketika dalam keadaan terlupa kemudian duduk sikat rambut akan dikenakan dam. Manakala, sengaja pula berdosa dan dikenakan dam.
(Pakai pelitup muka bagi perempuan) *Terbaru.
Pelitup muka dikuatkuasa setelah datangnya Pandemik Covid-19. Hukumnya, pakai pelitup muka disebabkan ulul amri ataupun SOP kerajaan, maka tidak berdosan dan tidak dikenakan dam.
Peringatan buat bakal Jemaah haji.
Semoga Allah kekalkan kewarasan kita sepanjang berada di tanah suci. Buat Jemaah yang akan menunaikan haji, galilah ilmu haji sebanyak-banyaknnya walaupun sesibuk mana ada. Sebagai contoh, dengar juga di radio semasa hendak pergi kerja, tengok di youtube dan platform-platform lain.
Hal ini demikian kerana, berbeza sangat mereka yang pergi haji dengan ilmu yang mantap berbanding Jemaah hati yang hanya ikut-ikut tanpa ilmu. Maksud Jemaah haji ikut-ikut ini mereka hanya ikut apa yang mutawwif seru untuk buat. Namun, penghayatan dan roh itu tidak ada.
Pesanan lain buat mereka yang hendak pergi haji sebaiknya ikuti kursus-kursus haji tiga (3) tahun sebelum pergi haji. Ilmu haji ini luas kerana pergi sekali kita belum tentu faham.
Jemaah haji yang memakai alat solek serta pemilihan pakaian yang sesuai.
Antara soalan yang kerap ditanya adalah dari segi pemakaian Sunscreen dan bedak ketika berada di dalam ihram. Jawapannya, boleh dipakai walaupun berbau kerana tujuannya bukan untuk cantik tetapi untuk perubatan demi melindungi kulit dari sinaran matahari. Walaupun berbau, masih dibenarkan dipakai sewaktu di dalam ihram.
Soalan lain yang ditanya boleh ke pakai kasut tumit tinggi ketika dalam ihram. Jawapannya boleh kalau anda sanggup pakai.
Dari segi aurat, kadar aurat kita sama sahaja walau di mana pun kita berada. Kemudian, bab pakaian tidak ada pemakaian khusus. Kebanyakan Jemaah wanita Malysia suka pakai telekung solat ketika dalam ihram. Ada yang lebih praktikal adalah dengan memakai mini telekung. Konsep mini telekung mudah untuk kita bergerak seperti sewaktu hendak ke tandas.
Pastikan material yang sesuai dan tidak membalut aurat terutamanya yang jenis melekat, jarang, nipis dan berwarna cerah. Kalau boleh elakkan pakai seluar yang ketat dan baju singkat. Mengakibatkan ketika sujud menunjukkan pemandangan yang kurang sesuai.
Cadangan buat jemaah wanita bila bergerak dari hotel dan hendak pergi ke Arafah, Muzdalifah, dan Mina (Tempoh lebih kurang 3 hingga 4 hari). Barangan apa yang sesuai berada di dalam beg?
- Dua atau tiga persalinan untuk dipakai.
- Bawa Disposable panties ataupun seluar dalam yang pakai buang. Tidak perlu hendak basuh dan sebagainya.
- Bawa tuala wanita dari rumah yang kita selesa.
- Tuala wanita untuk menahan air kencing (Terutama jemaah yang ada masalah kencing tidak lawas).
- Lain-lain keperluan bergantung kepada keperluan diri-sendiri.
Pesanan kepada wanita yang hendak tawaf.
Kalau boleh dalam beg kita ada tiga benda wajib.
- Cermin muka. Salah satu syarat sah tawaf adalah menutup aurat dengan sempurna. Sebelum mula tawaf pastikan kita check keadaan anak rambut sama ada terkeluar atau tidak terutama yang pakai cermin mata. Pakai sarung lengan dan sarung kaki. Gloves atau sarung tangan tidak dibolehkan.
- Panty Liner.
- Tisu
Kesimpulannya.
Haji adalah sebuah jihad buat wanita kerana berkorban meninggalkan segala-galanya di kampung halaman. Kita serahkan mereka dalam jagaan Allah SWT.
Dari Abu Hurairah sebuah doa, ‘Aku titipkan engkau dalam jagaan Allah yang tidak akan rosak binasa segala apa yang di dalam jagaanNya.”
Bagi yang masih ada ibu, mintalah doa daripada beliau sebanyak mungkin. Doa seorang ibu adalah doa yang sangat mustajab.
Semoga bermanfaat dan jangan lupa untuk kongsikan.
Artikel disediakan oleh penulis wk.com
Sumber: FB Page Ustazah Asmak Husin